Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 26/40 (Ayat 211-216)
Ruku' 26 dari Surah Al-Baqarah ini berkisar tentang: 1. Tingkat orang beriman lebih tinggi daripada orang kafir pada hari Kiamat, 2. Manusia adalah satu umat yang mempunyai satu agama, 3. Ujian adalah jalan ke Syurga, 4. Sedekah dan diwajibkan berperang (untuk tujuan yang benar).
Ayat 211
سَل بَني إِسرٰئيلَ كَم ءَاتَينَـٰهُم مِّن ءَايَةِۭ بَيِّنَةٍ ۗ وَمَن يُبَدِّل نِعمَةَ اللَّهِ مِن بَعدِ ما جاءَتهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ
Bertanyalah kepada Bani Israil, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepadanya, maka (hendaklah dia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya.
Allah mencontohkan Bani Israil sebagai pedoman buat kita, Bani Israil telah diberikan petunjuk, begitu juga kita. Mereka berbangga dengan bangsa mereka yang diutus banyak nabi dan kitab. Mereka mengaku sebagai ahli kitab, namun sebenarnya mereka memilih-milih apa yang ada di dalam kitab. Ada yang diamalkan dan ada yang dibiarkan. Yang tidak kena dengan nafsu, mereka akan tolak ke tepi. Jangan sampai kita mencontohi perangai buruk mereka ini.
Allah suruh bertanya kepada Bani Israil yang ada di Madinah pada ketika itu tentang banyaknya bukti yang menunjukkan kebenaran agama yang telah dibawa oleh para nabi. Berapa banyak mukjizat yang telah Allah berikan kepada nabi di zaman mereka agar dapat memberi mereka keyakinan untuk beriman. Namun, mereka memilih apa yang mereka sukai dan mengganti yang tidak mereka sukai dari kitab mereka. Dalam masyarakat Islam sekarang pun ada yang berperangai begini.
Telah banyak nikmat yang telah Allah kurniakan kepada mereka. Di kalangan mereka ada yang mengambil hukum dari ahli kitab mereka walaupun tidak bertepatan dengan wahyu. Mereka utamakan amalan pendeta-pendeta mereka berbanding amalan yang ditunjukkan para nabi. Dalam masyarakat kita pun sama, mengaku Al-Qur'an sebagai kitab, tetapi mengambil hukum agama dari kitab-kitab lain. Mengaku nabi ﷺ sebagai contoh, tetapi lebih mencontohi manusia lain dalam beramal.
Ayat 212
زُيِّنَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَيَسْخَرُونَ مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا ۘ وَالَّذِينَ اتَّقَوْا فَوْقَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ وَاللَّهُ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ
Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturan-Nya).
Dunia ini diperhiaskan dengan indah sehingga ia menjadi idaman bagi orang kafir untuk menguasainya. Mereka ingin menguasai dunia ini semata-mata atas dorongan nafsu mereka. Setelah menguasai dunia dengan kesungguhan mereka, mereka menghina pula orang Islam yang tidak dapat menikmati habuan dunia. Mereka bebas melakukan kerosakan dari dalam kesyirikan dan tingkah laku mereka. Sebolehnya mereka mahukan orang Islam mengikuti jejak mereka tanpa batasan syariat.
Allah mengabarkan dunia ini hanyalah tempat permainan untuk bermegah-megah. Hakikatnya, apa yang dimegahkan itu akan hancur juga. Nabi ﷺ telah membuat perbandingan nilai dunia berbanding akhirat seperti sisa air pada jari yang dicelupkan ke dalam air laut berbanding lautan yang luas. Nilai dunia cukup rendah, bahkan jika dibandingkan dengan sayap nyamuk, lebih bernilai sayap nyamuk. Bahkan dunia juga lebih rendah nilainya berbanding bangkai anak kambing.
Orang Islam yang dihina di dunia lebih tinggi kedudukannya daripada orang kafir di hari akhirat nanti. Kita disuruh untuk mencari rezeki di dunia, tetapi jangan sampai semua itu menyebabkan kita mengabaikan tanggungjawab kita kepada Allah. Hal akhirat perlu dipertimbangkan terlebih dahulu berbanding hal dunia. Kita perlu bertaqwa iaitu dengan melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan barulah kita berkedudukan tinggi berbanding orang kafir.
Ayat 213
كانَ النّاسُ أُمَّةً وٰحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيّينَ مُبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ لِيَحكُمَ بَينَ النّاسِ فيمَا اختَلَفوا فيهِ ۚ وَمَا اختَلَفَ فيهِ إِلَّا الَّذينَ أوتوهُ مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ ٱلبَيِّنَـٰتُ بَغيًا بَينَهُم ۖ فَهَدَى اللَّهُ الَّذينَ ءَامَنُواْ لِمَا اختَلَفوا فيهِ مِنَ الحَقِّ بِإِذنِهِ ۗ وَاللَّهُ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, – mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya).
Walaupun di dunia ini ada pelbagai-bagai bangsa, hakikatnya semua manusia adalah daripada umat yang satu. Kita semua dikurniakan akal untuk menjalankan kehidupan. Asal semua manusia adalah Nabi Adam dan Hawa. Asalnya semua keturunan mereka beriman kepada tuhan yang satu iaitu Allah. Dalam pada keturunan membiak, mula timbul perselisihan antara satu kelompok dengan kelompok yang lain. وٰحِدَةً juga bermaksud tauhid iaitu umat yang bertuhankan tuhan yang satu.
Allah mengutuskan nabi bagi setiap kaum supaya manusia kembali kepada agama tauhid yang menyembah Allah. Allah berfirman dalam surah Fatir ayat 24: "Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan." Tujuan diutuskan rasul ialah memberi khabar gembira buat yang taat dan memberi ancaman kepada yang ingkar.
Setelah diutuskan nabi untuk setiap kaum, Allah utuskan pula kitab kepada mereka. Inti semua kitab adalah mengajak manusia memilih jalan yang benar dengan mentauhidkan Allah. Kitab juga merupakan panduan untuk menyelesaikan perselisihan antara manusia. Setiap konflik di kalangan manusia ada penyelesaiannya di dalam kitab yang diutuskan. Bagi umat akhir zaman, ada keistimewaan tertentu iaitu Allah sendiri akan menjaga Al-Quran supaya terpelihara kandungannya.
Allah memberi pimpinan hidayah bagi orang yang mahu beriman. Ada di antara manusia yang menerima hidayah ilmu, tetapi tidak menerima hidayah amal yang benar seperti yang diajarkan nabi. Dalam setiap hati manusia telah diterapkan kecondongan untuk mencari kebenaran dan kebenaran itu ada dalam wahyu yang diturunkan. Selain mencari kebenaran melalui wahyu yang diturunkan, kita juga diajar supaya berdoa kepada Allah agar memberi petunjuk ke jalan yang lurus.
Ayat 214
أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
Ayat ini diturunkan ketika Perang Khandaq atau dikenali juga sebagai Perang Ahzab. Khandaq merujuk kepada strategi peperangan dengan menggali parit, manakala Ahzab merujuk kepada banyaknya musuh daripada pelbagai kelompok bersekutu untuk menjatuhkan Islam di Madinah pada tahun kelima Hijrah. Allah mengingatkan kaum muslimin tentang ujian berat yang mereka hadapi. Kaum muslimin tidak boleh mengharapkan bantuan Allah dengan mudah sebelum mereka diuji.
Walaupun ayat ini berkaitan dengan Perang Ahzab, ia merupakan peringatan buat kita. Mungkin hidup kita senang, tetapi sebenarnya kita perlu bimbang kerana orang beriman sepatutnya diuji. Yang beriman akan menghadapi ujian yang lebih tinggi lagi. Kita perlu selalu ingat bahawa kita belum lagi diuji. Rasulullah ﷺ bersabda: “Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya sedang kuat, maka ujiannya akan ditambah.” (Musnad Ahmad No. 1481).
Penting untuk kita pelajari sejarah ujian-ujian yang menimpa para nabi terdahulu. Begitu juga apa yang menimpa Nabi Muhammad ﷺ, para sahabat dan kaum muslimin dalam menyebarkan Islam hingga hari ini. Ketika Perang Khandaq, kaum muslimin diuji dengan tiga perkara utama iaitu: 1. Kemiskinan dalam pada kaum muslimin dikepung, 2. Penyakit yang banyak menimpa orang Islam yang dikepung, dan 3. Goncangan emosi dan perasaan putus asa dari pertolongan Allah.
Dalam situasi dikepung, ada yang tertanya-tanya tentang bilakah pertolongan Allah akan sampai. Dari satu sudut, kaum Muslimin seperti tidak sabar, tetapi persoalan ini timbul kerana ujian yang mereka hadapi ketika itu amat berat. Mereka telah kehabisan makanan, hinggakan Nabi ﷺ mengikat perutnya dengan batu dalam pada menahan kelaparan. Allah menjawab: pertolongan-Nya sudah dekat. Kita perlu sentiasa sabar dalam menghadapi ujian walau seberat mana pun ia.
Ayat 215
يَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ ۖ قُل ما أَنفَقتُم مِّن خَيرٍ فَلِلوٰلِدَينِ وَالأَقرَبينَ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰكِينِ وَابنِ السَّبيلِ ۗ وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).
Dalam surah Al-Baqarah ayat 195 telah diperintahkan infaq kepada orang Islam, dalam ayat ini, para sahabat bertanya tentang infaq itu. Apabila tidak jelas tentang sesuatu ibadah, kita boleh sahaja bertanya tentangnya kepada orang yang berilmu. Sahabat bertanyakan tentang apakan yang boleh diinfaqkan. Di dalam hadith ada disebutkan tentang ayat ini dan sahabat yang bertanya itu ialah Amru bin al-Jamuh R.A. Beliau merupakan seorang sahabat yang berharta.
Apa yang boleh diinfaqkan ialah harta benda yang baik. Tidak diperintahkan untuk infaq sesuatu yang buruk. Sekiranya kita ingin berinfaq, bagus sekiranya kita tahu tujuan infaq itu juga, pastikan ianya untuk perkara yang baik sahaja. Selain itu, sahabat juga ingin tahu, ke mana infaq itu perlu disalurkan. Allah menyebutkan turutannya adalah: 1. Kedua ibu bapa, 2. Kaum kerabat yang susah, 3. Anak yatim, 4. Orang miskin, dan 5. Orang yang dalam perjalanan.
Allah juga menyebutkan tentang apa sahaja kebaikan yang buat, Allah mengetahuinya. Infaq sebenarnya tidak terhad kepada harta benda sahaja. Boleh jadi perbuatan membantu, meluangkan masa bersama, menjaga dan membahagiakan lima golongan yang disebutkan juga dikira sebagai infaq, dan kesemuanya termasuk dalam pengetahuan Allah. Semua perkara baik yang kita lakukan akan dibalas oleh Allah, terdapat hadith tentang galakan infaq walaupun dengan separuh kurma.
Ayat 216
كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ وَهُوَ كُرهٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ
Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Ayat ini merupakan perintah jihad kepada umat Islam. Ia diturunkan di Madinah, di mana umat Islam sudah mula ada kekuatan berperang. Ketika di Mekah umat Islam belum diperintahkan jihad walaupun untuk mempertahankan diri hinggakan terpaksa berhijrah untuk menyelamatkan agama dan nyawa. Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa mati, sedangkan dia tidak pernah berjihad dan tidak mempunyai keinginan untuk jihad, maka dia mati dalam satu cabang kemunafikan.”
Jihad menjadi wajib dengan 4 keadaan: 1. Ketika telah berada dalam peperangan ke atas Islam, 2. Setelah diwajibkan pemimpin Islam, 3. Apabila negara Islam diserang negara kafir, dan 4. Apabila seseorang itu diperlukan untuk berperang kerana kepakaran. Selain dan 4 keadaan ini, jihad menjadi fardhu kifayah. Orang yang berperang menyelamatkan umat Islam dari berdosa kerana tidak berperang. Jihad ini perlu dilakukan berdasarkan syariat bukan sendiri-sendiri.
Jihad ini tetap diwajibkan walaupun orang tidak menyukainya. Jika dibandingkan hidup aman dengan perang, mesti orang akan pilih aman. Dalam situasi tertentu, aman itu bukan selamanya. Sekiranya tidak bertindak, musuh akan mengumpul kekuatan. Kuasa Rom di utara dan Parsi di Timur bila-bila masa sahaja boleh menyerang Mekah sekiranya umat Islam tidak menguasai Mekah. Tujuan utama jihad adalah menghilangkan kesyirikan yang ada di sekeliling Kaabah.
Pertimbangan manusia selalu tersilap kerana "boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu." Di zaman ini manusia bukan hanya tersalah pertimbangan sendiri malah ada yang mengikuti pula pertimbangan akal orang kafir dalam menghancurkan umat Islam. Hakikat sebenarnya sesuatu perkara itu hanya Allah yang tahu. Penting untuk sorang Islam faham hikmah untuk tiap sesuatu.
Tamat tadabbur ruku' 26 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan