Assalamualaikum dan selamat pagi. Lambat sedikit kemas kini catatan berkenaan tahun baru 2025, ramai rakan-rakan blogger lain dan mencatat pos berkenaan 2025 lebih awal. Hari ini pun dan 7 Januari. Bila menginjak ke tahun baru maka bertambahlah umur kita. Ada yang menginjak ke 30an, 40an, dan 50an. Ada ke pembaca yang di luar dari julat ini? Dari pertambahan umur ini mungkin kita boleh tanya beberapa perkara pada diri kita sendiri. Semakin berusia kita sepatutnya kita kenangkan banyaknya Allah beri kita peluang untuk menjadi seorang yang lebih dari sebelumnya.
Bagaimana usia kita yang panjang ini kita gunakan untuk ketaatan kepada suruhan Allah?
Adakah ketaatan yang kita telah buat ini berlandaskan ilmu, kajian atau kita hanya ikut-ikut orang sekitar sahaja?
Dalam tahun 2024 mungkin ada di antara keluarga kita yang terdekat, saudara-mara atau rakan-rakan telah meninggal dunia. Ada yang perginya setelah bertahun-tahun sakit, ada yang perginya secara tiba-tiba. Bagaimana pula nasib mati kita nanti, tidak ada jaminan kita hidup sampai tua. Justeru insafilah pertambahan usia agak menjadikan kita ini lebih bersemangat dalam ketaatan, dalam mempelajari ilmu-ilmu agama.
Sepanjang minggu awal tahun 2025 ini tiada apa sangat yang berlaku, puan isteri sambung cuti sampai 1 Januari jadi banyak aktiviti meneroka tempat makan baru. Antaranya Restoran Sawah Lebar di Permatang Pauh. Mulanya tertengok satu video tentang restoran ini, kemudian terasa ingin mencubanya. Restoran ini kelainannya ialah ia menyediakan pelbagai jenis ikan, telur ikan, kepala ikan untuk digulaikan cara masakan utara semenanjung. Kami ke restoran ini pada 1 Januari, ambil satu kepala ikan dan sepotong ini ikan. Cukup dan boleh ratah-ratah lagi bagi kami yang makan bertiga.