Memaparkan catatan dengan label Aidil Adha. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aidil Adha. Papar semua catatan

Sabtu, Jun 14, 2025

Menyambut Aidil Adha 1446 Hijrah di Kota Bharu

Assalamualaikum dan selamat petang. Selamat berhujung minggu kepada teman-taman blogger dan pembaca-pembaca semua. Seronok baca catatan teman-teman berkaitan Aidil Adha atau ibadah korban pada blog masing-masing. Rasa tidak lengkap atau tidak patut pula jika tidak membuat cacatan berkaitan Aidil Adha. Aidil Adha adalah perayaan bagi umat Islam selain Aidil Fitri. Aidil Fitri dimuliakan kerana padanya ada ibadah puasa di bulan Ramadan, adanya ibadah zakat fitrah, turunnya Al-Quran pada malam lailatul qadar begitu juga ada kitab-kitab terdahulu diturunkan pada bulan Ramadan. Pendek kata Aidil Fitri itu tanda bermulanya syariat terakhir yang membatalkan syariat-syariat sebelumnya. Aidil Adha pula dimuliakan kerana ia adalah penutup bagi ajaran-ajaran dalam Islam melalui khutbah Arafah oleh baginda nabi Muhammad saw. Disampai ayat "“… Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku ridhai Islam sebagai agama bagimu …” [Al-Maa-idah/5: 3]". Maknanya setelah ketika itu tiada lagi petunjuk baru dalam amalan atau ibadah yang boleh diikuti kerana agama Islam telah sempurna. Jika ada yang mengikuti cara ibadah baru yang tidak ditunjukkan nabi saw seolah-olah dia beranggapan bahawa Islam masih belum sempurna. Pada Aidil Adha juga adanya ibadah haji yang mulia, adanya juga ibadah qurban. Padanya ada hari yang paling banyak Allah ampunkan manusia iaitu hari Arafah.

Kali ini kami berhari raya di Kota Bharu, awalnya aku dan isteri merasakan mungkin tidak dapat bersama beraya di Kota Bharu kerana berharapkan rayuan haji akan berjaya tetapi akhirnya masih belum dijemput Allah sebagai tetamunya untuk tahun ini. Kakak ipar di Kota Bharu ada majlis bertunang anaknya kerana itu semua adik-beradik berkumpul sana. Kami betolak pada hari Jumaat, paling risau bila bermusafir pada hari Jumaat ialah nak plan supaya dapat solat Jumaat. Kami bertolak dari Penang sebelum Subuh lagi dan solat Subuh di Kulim. Perjalanan lancar berbanding kerisauan takut berlaku kesesakan ke Kota Bharu. Sempat kali check in hotel sebelum solat Jumaat di Masjid Negeri Kelantan atau lebih kenal dengan Masjid Muhammadi. Jaraknya dari hotel dalam 700m sahaja. Rezeki betul rasanya. Keesokan harinya pun kami solat hari raya di situ dan khatibnya adalah SS Mufti Negeri Kelantan.

Selesai solat hari raya kami terus ke rumah kakak ipar dan beraya bersama adik-beradik. Oh ya sebelum balik raya tu aku sempat mencari penternak kambing di kawasan dekat rumah akak ipar tu bertanyakan jika masih ada kambing untuk korban, jawapan awalnya sudah penuh. Ialah 2 hari sebelum raya aku tanya tu. Tapi setelah negosiasi dan atas izin Allah jua dia terima untuk bantu korbankan kambing siap digulaikan untuk majlis bertunang tu iaitu pada 11 Zulhijjah. Allah mudahkan semuanya, kami ambil gulai dan hantar semula bekas di masjid tanpa berjumpa pun dengan pengusaha itu. Semua atas percaya sahaja. Majlis bertunang berjalan lancar dan selain lauk kenduri ada tambahan lauk korban aku sekali. Banyaklah juga lauknya dan sampai ke petang tetamu dapat makan gulai kambing. 

Keesokan harinya kami balik ke Penang iaitu pada hari Isnin tu. Sebelum itu pada awal pagi tu jam 1 pagi terjadi tragedi kemalangan bas yang membawa pelajar UPSI yang mengorbankan 15 pelajar di jalan yang kami lalui. Sewaktu kami melalui jalan itu bas yang terbalik itu masih ada lagi. Semoga Allah terima mereka semua yang terkorban dalam keadaan telah terampun dosa-dosa mereka jika ada. Banyak juga tragedi yang berlaku setelah itu antaranya flight Air India yang terhempas sejurus berlepas dan terkini serangan kejam Israel ke atas Iran. 

Setakat ini dahulu catatan Aidil Adha 1446.

Rabu, Julai 21, 2021

Aidil Adha 1442H

Assalamualaikum, selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha bagi tahun 1442H. Hari raya ini masih disambut dalam keadaan serba kekurangan dengan pelbagai sekatan. Rentas negeri dan juga rentas daerah masih lagi tidak dibenarkan, cuma kali ini solat telah boleh dilaksana di surau dan masjid dengan bilangan jemaah terhad. Aku membuat keputusan untuk solat di surau hospital yang telah pun diberi kebenaran untuk melaksanakannya.

Hari raya kali ini sangat sederhana sekali, pakaian raya pun tidak dipakai. Yang dipakai hanyalah pakaian biasa sahaja. Persediaan pula hanyalah 2 batang lemang. Mujurlah ada juga. Isteri masak rendang daging dan membuat laksam untuk menu tengah hari. 

Tahun ni Alhamdulillah dapat masuk korban 1 bahagian untuk keluarga termasuk untuk abah (Rahimahullah) yang telah pergi dahulu. Ada dengar penjelasan seorang ustaz yang mana kita boleh niat berkorban seminimanya satu bahagian untuk satu keluarga termasuk untuk ibu bapa yang telah meninggal dunia. Lembu akan disembelih pada hari kedua tasyrik iaitu pada tanggal 12 Zulhijjah 1442H. Maknanya lambat sikit nak boleh potong kuku, rambut dan bulu. Larangan ini hanya dapat lepas selepas lembu disembelih. Nak menaip ni pun rasa semacam sebab kuku panjang betul rasanya. Semoga ada nilainya di sisi Allah Azza wa Jalla.

Beli dua batang lemang di Jalan Baru

Takbir raya di surau hospital

Khatib menyampaikan khutbah dengan penuh semangat

 Sekian dahulu, bagaimana anda beraya?