Memaparkan catatan dengan label Al-Quran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Al-Quran. Papar semua catatan

Ahad, Julai 13, 2025

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 13/40 (Ayat 104-112)

Ruku' ke 13 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah ini menceritakan tentang beberapa perkara, antaranya; adab kepada Nabi Allah, pemansuhan ayat al-Quran, Kedengkian Yahudi dan Nasrani, serta dakwaan palsu Yahudi dan Nasrani untuk mewarisi syurga.

Ayat 104

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَقولوا رٰعِنَا وَقولُوا انظُرنا وَاسمَعوا ۗ وَلِلڪَـٰفِرِينَ عَذابٌ أَليمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: “raaina”, (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: “unzurna”, dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

  1. Jika ayat-ayat sebelum ini banyak menyentuh tentang perangai orang Yahudi kali ini kita masuk kepada ayat yang menegur kaum muslimin yang hadir dalam majlis bersama nabi saw. Allah melarang menggunakan perkataan raa'ina untuk menarik perhatian nabi saw kerana perkataan yang sama digunakan Yahudi Bani Israil untuk menghina nabi. Selain itu perkataan itu juga bermaksud awasilah kami atau jagalah kami yang lebih sesuai ditujukan kepada Allah.

  2. Allah menjaga nabi saw dengan menutup jalan-jalan yang digunakan musuh untuk menghina nabi Muhammad saw. Selain dari melarang Allah meminta ganti perkataan raaina kepada unzurna yang membawa maksud yang sama iaitu berilah perhataian kepada kami. Para sahabat yang sedang menadah ilmu pasti ada soalan yang ingin diajukan kepada nabi dan dengan perintah ini para sahabat gunakan perkataan unzurna. Selain itu Allah perintahkan mereka supaya sami'na iaitu dengar dengan baik.

  3. Menuntut ilmu memerlukan penuntutnya berdisplin, ilmu bukan sekadar masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Ayat ini mengajarkan kepada kita perlunya interaksi antara pengajar dan orang yang belajar, jika ada yang tidak difahami maka perlu ada ruang untuk bertanya kepada yang berilmu. Mengajar bukan sahaja menyampaikan tetapi juga perlu memastikan pelajarnya faham sepenuhnya, ditekankan juga kepada yang belajar supaya dengar baik-baik dan beri fokus atas ilmu.

  4. Teguran ini bukan teguran yang biasa-biasa, terdapat ancaman kepada yang ingkar dengan arahan ini iaitu azab siksa yang pedih. Apabila adanya larangan dari Allah maka perlulah kita patuh sepenuhnya dan tidak berdolak dalik menggunakan akal dan nafsu kita. Walaupun maksud perkataan itu sama sahaja dalam bahasa Arab tetapi apabila ada larangan maka hendaklah kita patuh sahaja. Jangan sampai pengingkaran itu menyebabkan kita diseksa dengan azab yang pedih.

Ayat 105

مّا يَوَدُّ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ وَلَا المُشرِكينَ أَن يُنَزَّلَ عَلَيكُم مِّن خَيرٍ مِّن رَّبِّكُم ۗ وَاللَّهُ يَختَصُّ بِرَحمَتِهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

Orang-orang kafir dari Ahli kitab, dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu walau sedikit pun dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu. Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.

  1. Ayat ini adalah teguran Allah kepada para sahabat nabi saw ketika di Madinah. Para sahabat di Madinah terlalu bersangka baik dengan Yahudi, ialah mereka telah tinggal lama bersama mereka di Madinah, bersosial dan berjual beli bersama mereka. Mereka juga merupakan orang beragama dan berkitab. Yahudi yang dilihat baik tidak semestinya akan selamanya baik. Hakikatnya mereka tidak suka jika umat Islam mendapat kebaikan kerana sifat dengki dalam diri mereka.

  2. Bukan semua ahli kitab memusuhi Islam, Allah masih lagi menggelar mereka sebagai alhi kitab. Yang perlu berhati-hati ialah yang kafir dikalangan mereka. Kafir di sini bermaksud mereka yang telah tahu kebenaran Islam tetapi tetap tidak mahu menerimanya. Golongan kedua yang Allah mahu para sahabar berhati-hati ialah kaum musyrikin seperti musyrikin Mekah. Mereka yang yang pertama menentang Islam sehinggakan nabi saw dan sahabat berhijrah ke Madinah.

  3. Kedengkian utama Yahudi Madinah ialah diutusnya nabi akhir zaman bukan dari kalangan kaum mereka, mereka juga dengki bangsa arab diturunkan kitab Al-Quran. Allah memberikan kebaikan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Ada di kalangan sahabat yang asalnya dari suku yang hina dan dipandang rendah oleh masyarakat tetapi diangkat mereka menjadi mulia dengan Islam. Mereka menerima kebenaran di atas kefahaman yang benar seperti yang diajarkan nabi saw.

Ayat 106

ما نَنسَخ مِن ءَايَةٍ أَو نُنسِها نَأتِ بِخَيرٍ مِّنها أَو مِثلِها ۗ أَلَم تَعلَم أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ


Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?

  1. Ayat ini menempelak orang Yahudi yang cuba memperolokkan Islam, mereka mempersoalkan agama apa ini yang membatalkan kitab mereka (Taurat) seolah-olah Allah tidak konsisten dan berubah-ubah syariatnya. Pendapat kedua ialah berkenaan adanya ayat Al-Quran yang dimansukhkan seperti ayat wasiat kepada ibu-bapa dan waris, ayat berkenaan arak dan beberapa ayat lagi. Terdapat khilaf dalam bilangan ayat yang mansukhkan dalam Al-Quran.

  2. Sebenarnya yang dimansukhkan itu bukan dihapuskan terus, ia sebenarnya relevan pada ketika ianya diturunkan dan kemudian Allah ganti dengan aturan yang lebih baik sesuai dengan perkembangan Islam dan peradaban manusia. Bukan semua ayat dalam Taurat dimansukhkan, ada ayat yang apabila sama dengan Al-Quran kita wajib beriman padanya contohnya ayat penciptaan langit dan bumi dalam 6 masa.

  3. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa "Aayah" yang dimansukhkan itu ialah tanda atau mukjizat para nabi as. Kesemua mukjizat para nabi telah dimansukhkan dan tiada siapa boleh melakukan seperti mukjizat para nabi terdahulu lagi. Mukjizat-mukjizat ini diganti dengan mukjizat yang lebih baik iaitu Al-Quran. Ia adalah bukti atau mukjizat yang kekal dan dijamin dipelihara sampai ke akhir zaman.

  4. Orang Yahudi lebih gemar mencari kesalahan dalam Al-Quran berbanding mencari kebenaran. Ada sahaja hukum yang kekal dari Taurat dan dibenarkan dalam ajaran Islam contohnya hukum berkaitan qisas dan hukuman rejam, kedua-dua hukum ini kekal tetap ada. Dalam kalangan orang Islam pula ada yang cuba memandai-mandai mahu membatalkan hukum contohnya jihad. Ada yang mengatakan jihad perang telah tiada dan diganti dengan jihad melawan nafsu dan jihad ekomoni sahaja.

Ayat 107

أَلَم تَعلَم أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلكُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالأَرضِ ۗ وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.

  1. Ayat ini adalah sambungan kepada pemansuhan ayat-ayat dari kitab terdahulu setelah turunnya Al-Quran. Pemansuhan kitab terdahulu dipertikaikan ahli kitab Yahudi dan Nasrani kerana menganggap Allah tidak konsisten sedangkan Allah lebih mengetahui malah maha mengetahui segala yang di langit dan di bumi. Syariat Islam telah lengkap melalui Al-Quran dan Al-Sunnah. Syariat terdahulu tidak lagi boleh dipakai dan syariat (cara beragama) baru setelah Al-Quran adalah tertolak.

  2. Tiada makhluk yang boleh menentukan syariat atau membatalkan syariat. Apa yang telah Allah tetapkan tidak boleh dipertikaikan sampailah ke akir zaman. Jika masih ada yang mahu pertikaikannya tiada siapa yang dapat menyelamatkan seseorang itu dari diazab di hari akhirat. Ada juga di kalangan ahli kitab yang tidak mahu masuk Islam kerana takut kedudukan mereka tidak lagi dilindungi, takut dipulaukan, takut susah, takut hilang harta dan kedudukan walhal Allahlah sebaik-baik pelindung kepada orang yang menerima Islam.

  3. Allah bukan sahaja memberi jaminan perlindungan tetapi juga jaminan sebagai penolong sama ada di dunia atau di akhirat. Jika di dunia mungkin kita masih boleh meminta perlindungan atau pertolongan manusia tetapi di hari akhirat tiada lagi penolong selain Allah. Allah sentiasa menolong orang yang masuk Islam. Seseorang itu perlu sentiasa bertawakkal kepada Allah, serahkan semua urusan kepada Allah dan setelah itu tiada lagi gundah di dalam kehidupan kerana kita tahu Allahlah yang terbaik dalam menetapkan sesuatu itu pada kita.

Ayat 108

أَمْ تُرِيدُونَ أَن تَسْأَلُوا رَسُولَكُمْ كَمَا سُئِلَ مُوسَىٰ مِن قَبْلُ ۗ وَمَن يَتَبَدَّلِ الْكُفْرَ بِالْإِيمَانِ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya dia telah sesat dari jalan yang lurus.

  1. Di antara sikap Yahudi ialah mereka gemar bertanya perkara yang tidak perlu, mereka juga gemar meminta sesuatu yang tujuannya hanya nak menyakitkan hati nabi Muhammad saw. Antaranya mereka meminta Al-Quran yang telah lengkap sedangkan Al-Quran turun beransur-ansur selama 23 tahun. Mereka sebenarnya nak menunjukkan Taurat lebih mulia kerana Taurat turus sekali gus. Penurunannya pula disaksikan sebahagian dari bani Israil di Bukit Tursina. Sebenarnya mereka hanya mempertikaikan Allah.

  2. Ayat ini juga adalah peringatan kepada para sahabat dan kita semua supaya tidak bertanyakan perkara yang tidak perlu. Ia selari dengan ayat 101 dari surah Al-Maidah; "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu." Di dalam hadits ada juga larangan nabi saw supaya para sahabat tidak bertanyakan perkara yang belum ditetapkan hukumnya. Ini semua hanya akan menyusahkan diri sahaja.

  3. Di antara persoalan para sahabat yang mencetus kemarahan nabi saw ialah soalan yang menanyakan siapa bapa mereka. Konteksnya ialah ketika di zaman jahiliah banyak berlaku zina dan kerap terjadi seorang anak itu tidak tahu siapa bapanya yang sebenar dan persoalan ini ditanyakan kepada nabi saw. Ini adalah soalan yang tidak patut ditanya dan tiada faedahnya lagi. Para sahabat diingatkan supaya tidak mengikut perangai Yahudi yang suka bertanyakan perkara yang tidak patut.

  4. Apapun bukanlah kita langsung tidak boleh bertanya, seeloknya sebelum kita bertanya hendaklah kita belajar dahulu sesuatu perkara itu. Baca dahulu perbahasan para ilmuan sebelum kita bertanya kepada ustaz. Dalam surah An-Nahl ayat 43 Allah berfirman; "Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui." Ada juga hadith nabi saw; "Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit). (Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad)".

Ayat 109

وَدَّ كَثيرٌ مِّن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ لَو يَرُدّونَكُم مِّن بَعدِ إِيمَـٰنِكُم كُفّارًا حَسَدًا مِّن عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الحَقُّ ۖ فَاعفوا وَاصفَحوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

  1. Dalam ayat sebelum ini diterangkan betapa orang kafir telah menolak keimanan dengan meminta yang bukan-bukan hanya sebagai alasan untuk menolak kebenaran, ayat ini pula lebih teruk lagi diterangkan tentang perangai mereka yang sebenar iaitu mereka sangat suka jika orang Islam kembali kepada kekufuran. Pelbagai kesangsian akan disebut kepada orang Islam dan usaha ini sentiasa berterusan hingga umat Islam menjadi sesat dan lemah. Mereka menjalankan kerja-kerja syaitan.

  2. Salah satu cara yang dilakukan oleh orang kafir ialah menjauhkan orang Islam dengan Al-Quran sehingga ramai yang tidak faham Al-Quran, jika mereka tidak berjaya memurtadkan orang Islam secara zahir mereka akan cuba mengajak supaya orang Islam meninggalkan ketaatan dalam ibadah seperti solat, puasa, umrah, haji dan sebagainya. Mereka sentiasa menimbulkan kesangsian dalam beragama jadi mereka yang kurang ilmu agamanya akan mudah ditipu dan disibukkan dengan perkara keduniaan sahaja.

  3. Dalam surah Fussllat ayat 26 Allah berfirman; "Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Qur’an ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (menghalang mereka dari baca Al-Qur’an)!”" Orang kafir akan sentiasa cuba melalaikan orang Islam dengan filem, muzik dan nyanyian, game, sukan dan macam-macam lagi. Perkara yang haram seperti musik telah dinormal dalam kehidupan seorang muslim.

  4. Orang Yahudi memilih kekafiran sebagai cara hidup mereka bukan kerana mereka jahil bahkan mereka banyak mengkaji Al-Quran untuk melemahkan umat Islam. Mereka memilih kekafiran kerana degil. Mereka sangat tahu punca kepada kebenaran ialah Al-Quran dan sebab itulah mereka akan sedaya upaya menjauhkan umat Islam dengan Al-Quran. Dalam ayat ini Allah perintahkan umat Islam memaafkan mereka, ini sebenarnya bukan memaafkan kesalahan tetapi sudah memang sebegitu perangai mereka yang degil dan biarkan sahaja mereka.

  5. Allah menyuruh kita membiarkan kedegilan mereka itu, kerakusan mereka itu, kekejaman mereka itu hinggalah datang ketentuan dari Allah. Sebagai mana Yahudi diusir dari Madinah sampai satu masa mereka juga akan diusir dan dikalahkan dengan penuh penghinaan. Kemenangan mutlak hanya akan diberikan kepada pejuang yang bertauhid dengan tauhid yang benar, beriman dengan sempurna dan bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa. Mereka berjuang bukan kerana negara atau bangsa tetapi kerana agama Islam yang murni.

Ayat 110

وَأَقيمُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّڪَوٰةَ‌ۚ وَما تُقَدِّموا لِأَنفُسِكُم مِّن خَيرٍ تَجِدوهُ عِندَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.

  1. Ayat ini menjawab shubhat orang kafir dari ayat sebelumnya. Orang kafir bukan sahaja menolak kebenaran tetapi juga sentiasa berusaha menyesatkan orang Islam. Bukan semua kejahatan mereka perlu dibalas dengan kejahatan. Allah mengajarkan dua ibadah besar dalam ayat ini iaitu solat dan zakat. Solat menjaga hubungan dengan Allah manakala zakat menjaga hubungan sesama manusia. Kedua amalan ini akan dibalas dengan balasan yang berkali ganda di akhirat kelak. Solat perlu dijaga mengikut sifat solat nabi saw sahaja.

  2. Ketika di Mekah, komuniti Islam masih kecil. Mereka ditindas dah Allah mengajarkan solat. Mereka solat sembunyi-sembunyi di rumah Arqam ra kerana tidak dibenarkan solat di Kaabah. Syariat solat dan zakat ketika itu masih belum ada dan ada pendapat mengatakan di peringkat awal solat adalah mengikut syariat nabi Ibrahim tanpa ada kesyirikan di dalamnya. Allah mahu kita supaya kuatkan iman dahulu sebelum melawan musuh yang berkuasa dan lebih ramai ketika itu. Nabi saw diperintahkan solat malam dalam surah Muzammil ayat 1-3.

  3. Allah memerintahkan zakat supaya menjaga hubungan sesama orang Islam. Tanpa hubungan yang kukuh umat Islam tidak akan dapat mengalahkan musuh. Setelah kita belajar sifat solat nabi saw, kita kena belajar pula fiqh zakat. Masih ramai yang buat-buat tak tahu dengan perintah mengeluarkan zakat hingga ada yang beranggapan zakat telah selesai setelah dibayar zakat fitrah di bulan Ramadan. Setelah solat dan zakat disebut juga amal kebaikan secara umum. Apa sahaja kebaikan akan menjadi bekal di akhirat kelak.

  4. Dalam surah Al-An'am ayat 160; " Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka dia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikit pun)." Allah sentisa melihat apa yang kita lakukan, maksudnya kebaikan yang dilakukan pasti akan dibalas. Dalam hadits ada disebut antara kebaikan yang mudah dibuat ialah senyum, jangan meremehkan senyum dalam kebidupan.

Ayat 111

وَقالوا لَن يَدخُلَ الجَنَّةَ إِلّا مَن كانَ هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ‌ۗ تِلكَ أَمانِيُّهُم ۗ قُل هاتوا بُرهَـٰنَڪُم إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

  1. Bagi ahli kitab dalam kalangan Yahudi dan Nasrani selain dari agama mereka semuanya akan masuk neraka, sebenarnya bagi Yahudi hanya mereka yang masuk syurga dan bagi Nasrani hanya mereka yang akan masuk syurga tetapi apabila berlawan dengan orang Islam mereka berpakat menetapkan selain dari mereka akan masuk neraka. Semua ini hanya angan-angan mereka sahaja. Inilah antara dakwah mereka kepada orang Islam supaya keluar murtad dari agama. Mereka mengatakan nabi Isa telah berkorban dan menanggung dosa pengikutnya.

  2. Dalam kalangan orang Islam pula ada yang masih ragu-ragu tentang adakah semua orang kafir akan masuk neraka bahkan ada yang mendoakan mereka masuk syurga pula apa dengar kematian mereka dengan mengucapkan RIP. Walhal hanya Islam sahaja agama yang diredhai Allah. Apapun Islam mengajarkan beradab, jangan pula kita katakan mereka akan masuk neraka bila mengucap takziah kepada mereka. Cukup kita tujukkan simpati kita dah kita tidak boleh berpura-pura dalam urusan agama seperti taqiyyah orang Syiah.

  3. Ramai orang Islam keluar dari agama kerana budi pekerti pendakwah Nasrani, ada yang terpikat dengan cara dakwah dan bukan isi dakwah. Dalam kalangan pendakwah Islam pula ada yang gemar mengeluarkan orang Islam sendiri dari Islam dengan melebel kumpulan tertentu dengan perkataan yang tidak baik sedangkan mereka tiada hujah atau dalil untuk menguatkan dakyah mereka. Dalam ayat ini Allah mengajar kita untuk meminta dalil dalam urusan agama, dalam kalangan orang Islam ada pula yang marah-marah apabila diminta dalil sedangkan Allah sendiri menetapkan agama ini adalah agama dalil.

Ayat 112

بَلَىٰ مَن أَسلَمَ وَجهَهُ ۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحسِنٌ فَلَهُ ۥۤ أَجرُهُ ۥ عِندَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوفٌ عَلَيهِم وَلَا هُم يَحزَنُونَ

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

  1. Sangkaan Yahudi dan Nasrani hanya kelompok mereka sahaja yang akan masuk syurga sekali lagi dibantah, yang akan masuk syurga ialah siapa yang menyerahkan dirinya sepenuhnya kepada Allah. Perkataan Islam itu dari perkataan Istislam yang bermaksud berserah diri kepada Allah. Wajah digunakan sebagai mewakili semua anggota badan, wajah adalah anggota paling mulia dan emosi seseorang tergambar melalui wajahnya. Dengan wajah, kita merendahkan diri kita dalam sujud.

  2. Syarat kedua setelah berserah diri kepada Allah ialah ikhlas. Tidak boleh ada syirik tersembunyi dalam ibadah iaitu mengharapkan pujian manusia atau mengharapkan dipandang mulia sedangkan apa yang perlu kita harapkan ialah balasan dari Allah semata. Ihsan bermaksud mengetahui semua perbuatan kita sentiasa dilihat Allah dan kita beribadat seperti melihat Allah. Sifat muhsin; 1. Mendirikan solat malam dan 2. Beristighfar di waktu subuh (Al-Dzariayat 16-19).

  3. Setelah berserah diri sepernuhnya kepada Allah kemudian mengikhlaskan diri dengan sifat ihsan, syarat seterusnya dalam memastikan amalan kita diterima Allah ialah dengan mengikuti sunnah nabi saw. Amalan-amalan yang diajarkan oleh manusia lain adalah tidak berlandaskan wahyu, kita tidak boleh menganggap-anggap atau bersangka-sangka suatu amalan itu akan diterima melainkan adanya dalil dari Al-Quran dan Sunnah.

  4. Setelah lengkap syarat pemerimaan ibadah tiada lagi rasa takut kepada seseorang yang telah melaksanakannya. Apapun ujian musibah atau ujian kebahagiaan yang ditempuhinya diketahui semuanya adalah dari Allah, dia juga tidak takut disoal jika ditanya dari mana amalannya diambil adakah dari Al-Quran dan sunnah atau dari yang lain. Sifat orang mukmin sentiasa tenang, tiada yang terlalu merisaukannya begitu juga yang tiada yang terlalu menyedihkannya.

Tamat ruku' 13 dari 40 ruku' dalam Surah Al-Baqarah.

Selasa, Jun 10, 2025

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 12/40 (Ayat 97-103)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 12/40 (Ayat 97-103)

Ruku' ke-12 Surah Al-Baqarah (ayat 97–103) membicarakan beberapa isu penting berkaitan dengan wahyu, permusuhan terhadap para malaikat, sihir, dan keengganan sebahagian Bani Israil menerima kebenaran.

Ayat 97

قُل مَن كانَ عَدُوًّا لِّجِبريلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلىٰ قَلبِكَ بِإِذنِ اللَّهِ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَهُدًى وَبُشرىٰ لِلمُؤمِنينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Qur’an ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman”.

  1. Salah satu dari rukun iman ialah beriman dengan malaikat. Bani Israil juga beriman dengan adanya malaikat, mereka percaya Taurat yang turun kepada nabi Musa melalui perantaraan Jibril. Namun dalam masa yang sama mereka memusuhi Jibril kerana; 1. Jibril banyak menurunkan bala pada mereka, 2. Jibril menurunkan kitab Al-Quran kepada nabi yang salah kerana bukan dari kalangan mereka. Mereka percaya malaikat adalah anak-anak Allah yang bernafsu dan sering bergaduh antara mereka.

  2. Pemahaman mereka salah, yang menurunkan bala atau musibah adalah Allah. Membenci malaikat adalah kesalahan yang besar, mengingkari rukun iman membawa kepada murtad dan kekafiran. Dalam kalangan pengikut Syiah, ada juga yang membenci Jibril kerana berpendapat atau berpegang kepada bahawasanya Jibril telah tersilap menurunkan wahyu kepada nabi Muhammad saw, bagi mereka sepatutnya Ali ra yang mendapat wahyu.

  3. Hakikatnya dalam penurunan kitab Jibril hanyalah perantara, Allah bukan sahaja menyampaikan kitab kepada nabi pilihanNya bahkan memberi faham kepada para nabi juga adalah Allah. Wahyu yang diturunkan tidak hanya cukup dibaca atau dihafal, adalah wajib bagi kita memahaminya melalui tadabbur kepada setiap ayat yang diturunkan. Setelah itu diamalkan.

  4. Kitab terdahulu adalah petunjuk sehinggalah ia diselewengkan, Al-Quran yang diturunkan kepada nabi Muhammad saw juga adalah petunjuk. Tidak sepatutnya seseorang menjadi petunjuk lain yang lebih utama berbanding Al-Quran. Semua kitab, ajaran atau pandangan yang bertentangan atau menyimpang dengan Al-Quran tidak boleh dijadikan rujukan dalam memahami agama.

Ayat 98

مَن كانَ عَدُوًّا لِّلَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتِهِۦ وَرُسُلِهِ وَجِبريلَ وَمِيكَٮٰلَ فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِّلكَـٰفِرِينَ

Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka dia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.

  1. Dalam ayat sebelum ini disebut Bani Israil telah memusuhi Jibril. Hakikatnya apabila memusuhi malaikat Allah sebenarnya mereka telah memusuhi Allah. Apabila mereka memusuhi Jibril sebenarnya juga mereka telah memusuhi kesemua malaikat. Mereka telah ingkari sifat malaikat yang hanya menurut perintah Allah. Begitu juga apabila mereka memusuhi seorang rasul bermakna mereka juga telah memusuhi keseluruhan rasul dan nabi. Apa yang nabi sampaikan hanyalah wahyu dari Allah.

  2. Disebut dalam ayat ini bahawa mereka memusuhi Mikail juga walaupun mereka katakan mereka sukakan Mikail kerana memberi rezeki berbanding Jibril yang banyak menurunkan ujian kepada mereka. Sebenarnya apabila mereka berani menolak satu malaikat lambat laun mereka akan menolak Mikail pula mungkin kerana lambat memberi rezeki. Begitu juga dengan kitab yang diturunkan, menolak 1 ayat bahkan 1 huruf pun membawa kepada kekafiran dan murtad dari agama.

  3. Disebutkan dua malaikat Jibril dan Mikail di dalam ayat ini adalah kerana kedua-dua malaikat ini adalah antara malaikat yang utama. Israfil juga malaikat yang utama tetapi masih belum berinteraksi dengan kehidupan manusia. Dalam doa nabi saw, disebutkan nama malaikat utama ini untuk mengagungkan Allah, nabi berdoa memuliakan Allah yang menjadikan malaikat, yang menjadikan langit dan bumi, yang mengetahui nyata dan ghaib, dan zat yang akan mengadili hamba-hambanya.

  4. Hakikatnya sesiapa yang memusihi atau mengingkati atau menyelisihi apa yang telah Allah tetapkan termasuk dalam kalangan orang-orang kafir. Ancaman ini bukan hanya ditujukan kepada Bani Israil atau Yahudi sahaja tetapi juga kepada kita. Apa yang telah Allah tetapkan untuk kita beriman kepadanya hendaklah kita beriman sepenuhnya. Penting untuk kita pelajari dan mendalami bab beriman kepada malaikat-malaikat Allah supaya tidak tersalah pemahaman.

Ayat 99

وَلَقَد أَنزَلنا إِلَيكَ ءَايَـٰتِۭ بَيِّنَـٰتٍ ۖ وَما يَكفُرُ بِها إِلَّا ٱلفَـٰسِقُونَ

Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Qur’an), dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik.

  1. Allah memberi kekuatan kepada nabi Muhammad saw bahawa memang Al-Quran ini Allah turunkan kepada beliau. Al-Quran diturunkan sekali gus ke Luh Mahfuz dan di turunkan kepada nabi Muhammad beransur-ansur selama 23 tahun melalui malaikat Jibril as. Dalam masyarakat kita ada yang susah nak terima kedudukan kita di bawah dan Allah di atas, macam-macam hujah diberi tapi Al-Quran sendiri menyebut ia diturunkan dari langit.

  2. Dalam masyarakat Arab ketika sebelum diturunkan Al-Quran mereka memang memandang mulia nabi Muhammad saw, baginda kenali sebagai seorang yang jujur, adil dan dipercayai. Apabila turunnya Al-Quran masyarakat Arab di Mekah tidak dapat menerima kebenaran jadi mereka mempersoalkan Al-Quran yang diturunkan. Ada yang buat-buat tak faham dengan apa yang diturunkan sedangkan ayat yang turun adalah jelas dan terang untuk diikuti.

  3. Dalam konteks ayat ini yang dikatakan kufur kepada ayat-ayat Allah ialah orang-orang Yahudi di Madinah namun secara umumnya sesiapa pun yang mengingkari ayat-ayat Allah adalah termasuk dalam golongan kufur termasuklah dilakang orang Islam sendiri, kefasikan yang banyak dan berlanjutan membawa kepada kepada kekufuran. Antara maksud fasik ialah menolak kebenaran, melanggar larangan dan tidak taat.

Ayat 100

أَوَكُلَّما عَـٰهَدُواْ عَهدًا نَّبَذَهُ فَريقٌ مِّنهُم ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يُؤمِنونَ

Patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah

tiap-tiap kali mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dicabuli

oleh segolongan dari mereka? Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman.

  1. Allah menempelak bani Israil dalam bentuk pertanyaan pula. Banyak perjanjian mereka dengan Allah antaranya tidak mensyirikkan Allah namun akhirnya mereka sembah patung anak lembu, mereka berjanji tidak beraktiviti pada hari Sabtu tetapi mereka cuba tipu Allah dengan menahan pukat pada hari Jumaat dan menuai hasil pada hari Ahad. Janji mereka untuk beriman dengan dengan nabi akhir zaman juga mereka langgar.

  2. Bukan semua dari mereka melanggar janji, ada juga sebahagian yang beriman dengan ajaran yang dibawa nabi Muhammad saw. Allah mengajar kita supaya tidak pukul rata. Dalam Islam perjanjian kita dengan Allah ialah hanya menyembah dan meminta pertolongan denganNya sahaja namun ada juga sebahagian dari kita yang menyembah selain Allah dengan mewujudkan perantara dalam berdoa dan menjalankan ibadah yang diambil dari kepercayaan lain.

  3. Allah menyatakan bahawa kebanyakan mereka tidak beriman, sekali lagi ditunjukkan kepada kita supaya tidak pukul rata. Yang beriman hanya sedikit sahaja iaitu yang menerima syariat dari Al-Quran. Kebanyakan mereka menyambil syariat dari kitab yang tidak jelas dan telah terpesong. Siapa sahaja yang menolak kebenaran setelah tahu mengenai sesuatu kebenaran sebenarnya berperangai Yahudi. Ayat ini juga memujuk nabi Muhammad agar tidak bersedih dalam berdakwah.

Ayat 101

وَلَمّا جاءَهُم رَسولٌ مِّن عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّما مَعَهُم نَبَذَ فَريقٌ مِّنَ الَّذينَ أوتُوا ٱلكِتَـٰبَ ڪِتَـٰبَ اللَّهِ وَراءَ ظُهورِهِم كَأَنَّهُم لا يَعلَمونَ

Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah, yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).

  1. Allah mengingatkan bani Israil bahawa nabi Muhammad saw adalah utusan Allah sama seperti nabi Musa as dan sekin banyaknya nabi-nabi yang diutuskan buat mereka. Sebagaimana Taurat diturunkan kepada mereka begitu juga Al-Quran. Bukan itu sahaja Al-Taurat dan Al-Quran sama-sama membenarkan antara satu sama yang lain namun mereka mengenepikan semua itu kerana ia tidak kena dengan nafsu mereka. Apa yang kononnya mereka tunggu selama ini akhirnya mereka tolak.

  2. Sebahagian mereka (jangan pukul rata) bahkan melemparkan kitab itu ke belakang. Mereka bukan sekadar lempar tetapi mereka lempat ke belakang. Ini menunjukkan mereka langsung tak mahukan kitab sebagai panduan beragama. Dalam kalangan kita pun ada yang tidak mahu lagi mempelajari kitab Al-Quran, jika tidak dipelajari bagaimana kita boleh jadikannya panduan ibadah kepada Allah dan panduan hidup sesama manusia.

  3. Apa yang dibawa di dalam Taurat dan Al-Quran sama sahaja dari segi tauhidnya iaitu tidak menyekutukan Allah dalam beribadah. Setelah diutuskan nabi Muhammad saw sebagai rasul semua ajaran terdahulu perlu ditinggalkan bahkan nanti apabila nabi Isa as turun dari langit baginda akan mengikut syariat yang dibawa nabi Muhammad seperti di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Syariat lama telah terbatal. Apa yang mereka buang itu adalah kitabullah.

  4. Apa yang mereka lakukan itu seolah-olah mereka tidak tahu langsung dengan kebenaran ajaran Islam. Dalam kalangan kita pun ada yang tidak tahu langsung apa yang ada di dalam Al-Quran. Beragama perlu belajar dan menuntut ilmu agama itu tiada kesudahannya. Kita banyak ditekankan dengan kaedah beribadah (fekah) tetapi ilmu tentang Al-Quran kurang ditekan dari kecil lagi. Kita lebih ditekankan wirid berbanding membaca Al-Quran walhal wirid paling utama ialah membaca Al-Quran.

Ayat 102

وَاتَّبَعوا ما تَتلُو ٱلشَّيَـٰطِينُ عَلىٰ مُلكِ سُلَيمَـٰنَ‌ ۖ وَما كَفَرَ سُلَيمَـٰنُ وَلٰكِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ كَفَروا يُعَلِّمونَ النّاسَ السِّحرَ وَما أُنزِلَ عَلَى المَلَكَينِ بِبابِلَ هَـٰرُوتَ وَمَـٰرُوتَ‌ ۚ وَما يُعَلِّمانِ مِن أَحَدٍ حَتّىٰ يَقولا إِنَّما نَحنُ فِتنَةٌ فَلا تَكفُر ۖ فَيَتَعَلَّمونَ مِنهُما ما يُفَرِّقونَ بِهِ بَينَ المَرءِ وَزَوجِهِ ۚ وَما هُم بِضارّينَ بِهِ مِن أَحَدٍ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۚ وَيَتَعَلَّمونَ ما يَضُرُّهُم وَلا يَنفَعُهُم ۚ وَلَقَد عَلِموا لَمَنِ ٱشتَرَٮٰهُ ما لَهُ فِي الآخِرَةِ مِن خَلَـٰقٍ ۚ وَلَبِئسَ ما شَرَوا بِهِ أَنفُسَهُم ۚ لَو كانوا يَعلَمونَ

Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telah pun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.

  1. Nabi Sulaiman as adalah salah seorang nabi yang diturunkan kepada bani Israil. Keturunan nabi Musa dan nabi Sulaiman adalah dari adik beradik yang berbeza dari 12 orang anak nabi Yaakub. Ketika setelah wafatnya nabi Sulaiman as amalan sihir menjadi-jadi dan amalan ini syaitan telah kaitkan dengan nabi Sulaiman supaya manusia tertipu. Dikatakan nabi Sulaiman mempunyai cincin hikmat yang mempunyai kuasa walhal itu semuanya adalah dustaan syaitan.

  2. Ketika zaman nabi Sulaiman as, ahli sihir dan pengamal sihir ditangkap dan dipancung, mayatnya tidak dimandikan dan juga tidak ditanam di tanah perkuburan Islam. Syariat ini berlanjutan sampai hari kiamat. Pengamal sihir merasakan mereka memperoleh kuasa atau ilmu dari amalan mereka yang soleh (sebenarnya amalan songsang), mereka sebenarnya mengamalkan apa yang diajarkan syaitan supaya manusia melepaskan diri dari kebergantungan kepada Allah sahaja.

  3. Syaitan telah mengelirukan manusia dengan mukjizat yang telah Allah kurniakan kepada nabi Sulaiman dan sihir. Jangan tertipu dengan sihir yang menggunakan ayat Al-Quran, banyak sihir menggunakan ayat Al-Quran dengan tujuan yang tidak betul dan menyeru kepada sesuatu yang selain Allah. Manusia diajak untuk percaya kepada tangkal dan azimat dalam menjalani kehidupan.

  4. Kesamaran seterusnya bani Israil ialah tentang malaikat Harut dan Marut yang mengajarkan tentang sihir di Babylon. Daripada mengambil pengajaran dari kefahaman atas sihir ada pula sebilangan yang beramal dengan sihir itu pula. Ada juga yang mengatakan Harut dan Marut hanya menguji manusia yang ada dengan sihir-sihir supaya manusia menjauhinya atau tidak tertipu dengannya tetapi ada pula yang menjadi pengamalnya.

  5. Dizaman moden ini ada sebilangan masyarakat moden mula menolak tentang kewujudan sihir. Walhal sihir tetap ada dan nabi Muhammad saw mengamalkan menbawa surah Al-Falaq dan surah Al-Nas sebagai pelindung dari sihir (hakikatnya yang melindungi kita adalah Allah). Nabi Muhaammad sendiri pernah disihir yang kemudiannya disembuhkan Allah. Antara bentuk sihir ialah sihir yang memisahkan hubungan suami isteri, hakikatnya apa yang belaku adalah atas izin Allah sahaja.

Ayat 103

وَلَو أَنَّهُم ءَامَنُواْ وَاتَّقَوا لَمَثوبَةٌ مِّن عِندِ اللَّهِ خَيرٌ ۖ لَّو كانوا يَعلَمونَ

Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui.

  1. Sebahagian bani Israil percaya mereka masih beriman sedangkan iman mereka tidak sungguh-sungguh dan tidak sempurna. Mereka percaya kepada Allah tetapi dalam masa yang sama mereka juga percaya kepada sesuatu selain Allah. Mereka percaya tukang sihir mempunyai kelebihan tertentu dan mempunyai kuasa tertentu. Ini semua adalah sihir, walaupun tukang sihir itu menggunakan ayat-ayat dari kitab mereka tetapi tujuannya bathil.

  2. Orang yang beriman dengan sempurna dan menolak kepercayaan kepada ahli sihir adalah orang yang bertaqwa. Ahli sihir bukan sahaja memandai-mandai dalam urusan dunia malahan mereka juga memandai-mandai dalam urusan agama. Mereka gemar menetapkan ayat tertentu dari kitab Allah untuk diamalkan sedangkan tiada petunjuk dari rasulullah saw. Mempercayai mereka sama seperti menganggap apa yang dibawa oleh rasulullah masih belum sempurna.

  3. Dalam masyarakat kita selalu bomoh menggunakan ayat 31 dari surah Ali-Imran; "Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." Kononnya ayat ini adalah ayat pengasih, penunduk, pemikat, pengikat antara pasangan sedangkan tidak ada pun petunjuk dari nabi saw dalam hal ini.

  4. Amalan lain yang mahsyur dalam masyarakat kita ialah ayat 9 dari surah Yasin; "Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." Kononnya ayat ini boleh menyebabkan musuh tidak boleh melihat kita, belindung dari perompak, binatang liar dan sebagainya. Ini juga tiada petunjuknya dari nabi saw.

  5. Masyarakat kita juga mudah tertipu di antara mukjizat, karamah dan sihir. Sedangkan para nabi pun tak mampu nak membuat sesuatu mukjizat tanpa keizinan Allah, begitu juga karamah yang diberikan kepada orang beriman yang tidak melakukan syirik, Allah memberi mereka kelebihan pada waktu tertentu (sekali sahaja berlaku). Sedangkan kalau benda-benda pelik yang boleh dilakukan bomoh berkali-kali itu nyata syirik dengan meminta bantuan syaitan kebiasaanya melalui jin.

  6. Nabi saw bersabda “Barangsiapa mendatangi dukun lalu mempercayai apa yang dikatakannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad.” (Riwayat. At-Tirmidzi 135 disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam “Irwa’ul Gholil” 6817). Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita supaya sentiasa kenal yang mana orang boleh dipercayai akidahnya dan orang yang tidak boleh dipercayai akidahnya (pengamal amalan bukan dari nabi saw).

Tamat ruku' 12 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah.

 

Sabtu, Mei 10, 2025

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 11/40 (Ayat 87-96)

Ruku' 11 dari 40 ruku' dalam Surah Al-Baqarah ini menceritakan tentang; 1. Kedatangan Nabi Isa as., 2. Yahudi telah menolak kebenaran dengan keadaan mengetahuinya, 3. Sifat kepercayaan orang Yahudi 2, 4. Kecintaan mereka kepada anak lembu melebihi cinta mereka kepada Allah dan 5. Kepercayaan orang Yahudi tentang hak eksklusif untuk mewarisi syurga diuji.

Ayat 87

وَلَقَد ءَاتَينَا موسَى ٱلكِتَـٰبَ وَقَفَّينا مِن بَعدِهِ بِالرُّسُلِ ۖ وَءَاتَينَا عيسَى ابنَ مَريَمَ ٱلبَيِّنَـٰتِ وَأَيَّدنَـٰهُ بِروحِ القُدُسِ ۗ أَفَكُلَّما جاءَكُم رَسولٌ بِما لا تَهوىٰ أَنفُسُكُمُ استَكبَرتُم فَفَريقًا كَذَّبتُم وَفَريقًا تَقتُلونَ

Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?

  1. Kitab utama Bani Israil adalah Taurat, banyak rasul dan nabi diutuskan kepada Bani Israil setelah Nabi Musa as. Mereka sangka mereka istimewa kerana diutuskan banyak rasul dan nabi sebenarnya mereka banyak kali diberi peringatan untuk kembali kepada kebenaran kerana mereka banyak masalah dalam beragama. Sehinggalah diutuskan Nabi Isa iaitu nabi terakhir dari Bani Israil.

  2. Walaupun Nabi Isa as diberikan kitab Injil tetapi syariat yang dibawa adalah syariat Nabi Musa as. begitu juga Nabi Daud as yang diberikan Zabur tetap membawa syariat Nabi Musa. Zabur dan Injil ini melengkapkan apa yang ada di dalam Taurat, juga sebagai peringatan kepada Bani Israil. Nabi Isa as ialah satu-satunya manusia yang dibinkan kepada ibunya Maryam kerana tiada ayah (kecuali Nabi Adam as). Tidak sepatutnya orang lain yang mempunyai bapa dibinkan atau dibintikan kepada ibunya.

  3. Ayat ini ditujukan kepada Bani Israil di zaman Rasulullah saw, juga sebagai pengajaran buat kita. Sedangkan Nabi Isa as yang dari keturunan mereka pun mereka tolak apatah lagi nabi dari keturunan lain. Di zaman Nabi Isa, Bani Israil menolak kenabian Nabi Isa kecuali sedikit yang disebut sebagai Hawariyyun (Ali-Imran 52), dikatakan yang mengikut Nabi Isa hanya 12 orang sahaja. Kebanyakkan mereka bukan sahaja menolak malah ingin membunuh Nabi Isa as.

  4. Nabi Isa as ditakdirkan tidak mempunyai ayah jadi Allah jadikan Jibril sebagai pembantu rapat Nabi Isa, antara pertolongan Jibril kepada ialah; 1. Nabi Isa dilahirkan dengan tiupan dari Jibril, 2. Jibril memelihara Nabi Isa daripada diganggu syaitan ketika kelahiran, 3. Jibril sentiasa mendampingi untuk mempertahankan Nabi Isa dari kejahatan golongan Yahudi dan 4. Jibril yang mengangkat Nabi Isa ke langit.

  5. Allah menggelarkan orang yang menolak kebenaran sebagai sombong. Ada perbezaan tentang pemahaman perkataan sombong dalam Al-Quran berbanding ertinya dalam bahasa Melayu, songbong dalam bahasa Melayu biasanya dikaitkan dengan orang yang ada kedudukan dan kaya, sedangkan sombong dalam Al-Quran bermaksud menolak kebenaran. Orang miskin dan tiada kedudukan pun sebenarnya sombong apabila menolak ajaran Islam.

  6. “Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“ (Sahih Muslim no. 91).

Ayat 88

وَقَالُواْ قُلُوبُنَا غُلفُۢ‌ۚ بَل لَّعَنَہُمُ ٱللَّهُ بِكُفرِهِم فَقَلِيلاً مَّا يُؤمِنُونَ

Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.

  1. Orang Yahudi memberi alasan yang mereka tidak menerima Islam yang dibawa Nabi Muhammad saw adalah kerana hati mereka telah tertutup. Mereka sangka mereka telah cukup ilmu agama jadi tidak perlu lagi belajar isi Al-Quran. Mereka sangka mereka telah pandai ilmu agama dan ilmu Al-Quran hanya untuk orang jahil. Mereka sangka hati mereka telah cukup berada di jalan yang benar dan merasakan ilmu yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw susah difahami.

  2. Allah menyangkal sangkaan-sangkaan mereka dengan mengatakan bahawa sebenarnya mereka tidak menerima Islam yang benar kerana mereka telah dilaknat Allah. Telah terlalu banyak kekufuran yang mereka amalkan dalam beragama. Laknat Allah ini menjauhkan lagi mereka dari kebenaran bahkan mengunci terus hati mereka. Mulanya mereka ragui dakwah, kemudian menolaknya, kemudian menolaknya secara terang-terang dan akhir sekali mereka dilaknat Allah.

  3. Hanya sedikit dari orang Yahudi yang dapat menerima Islam. Dalam Islam sendiri ada yang menolak untuk belajar Al-Quran dengan pelbagai alasan seperti "telah tepu" otaknya untuk belajar, ada juga yang beralasan "belum sampai seru" untuk belajar Al-Quran (mungkin menunggu seruan akhir malaikat maut). Ada juga yang merasakan ilmu yang mereka pegang telah cukup dan telah benar kerana masyarakat ramai yang melakukannya, ada juga beralasan telah tua.

Ayat 89

وَلَمّا جاءَهُم كِتَـٰبٌ مِّن عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّما مَعَهُم وَكانوا مِن قَبلُ يَستَفتِحونَ عَلَى الَّذينَ كَفَروا فَلَمّا جاءَهُم مّا عَرَفوا كَفَروا بِهِ ۚ فَلَعنَةُ اللَّهِ عَلَى ٱلكَـٰفِرِينَ

Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Qur’an), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Qur’an), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.

  1. Kitab di sini merujuk kepada Al-Quran, Bani Israil di Madinah diingatkan sebagaimana mereka beriman Taurat adalah kitab yang diturunkan Allah maka Al-Quran juga kitab yang diturunkan oleh Allah. Dilantiknya Nabi Muhammad saw dan turunnya Al-Quran sebenarnya membenarkan apa yang ada di dalam kitab Taurat dan juga Injil. Mereka sangat mengetahuinya.

  2. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad ke Madinah, Yahudi berperang dengan Musyrikin Madinah. Dalam berperang mereka sentiasa berdoa supaya disegerakan kemunculan nabi akhir. Yahudi di Madinah tahu Mushrikin Madinah bersalah dari segi pegangan agama kerana menyembah berhala dengan menjadikan berhala sebagai perantara untuk berdoa. Hakikatnya mereka pun telah banyak menyimpang dari ajaran yang benar.

  3. Yahudi Madinah sangat kenal Nabi Muhammad saw. Dalam surah Al-Baqarah 146 disebut, "Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian)."

  4. Mereka ada ilmu tetapi mereka degil untuk menerima kebenaran, mereka tidak sangka nabi akhir datang dari Bani Ismail dan bukan Bani Israil. Mereka pun mengkufurinya walaupun dari segi syariatnya ada perbezaan tetapi dari segi tauhid sama sahaja apa yang di dalam Al-Quran dan dalam kitab terdahulu. Oleh kerana kekufuran mereka maka Allah melaknat mereka.

  5. Laknat Allah kepada seseorang itu ialah dengan; 1. Seseorang itu dibiarkan dalam kekufuran dan kesesatan, 2. Allah tidak memberi ampun kepadanya dengan tidak menggerakkan hati seseorang itu untuk insaf, meminta ampun seterusnya bertaubat atas dosa-dosanya. Perbuatan buruk yang dilakukan dirasakan biasa sahaja. Walaupun ayat ini menceritakan tentang Yahudi Madinah tetapi tentang laknat di luaskan skopnya kepada semua individu yang kufur ingkar.

Ayat 90

بِئسَمَا اشتَرَوا بِهِ أَنفُسَهُم أَن يَكفُروا بِما أَنزَلَ اللَّهُ بَغيًا أَن يُنَزِّلَ اللَّهُ مِن فَضلِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ ۖ فَباءوا بِغَضَبٍ عَلىٰ غَضَبٍ ۚ وَلِلكَـٰفِرِينَ عَذابٌ مُّهينٌ

Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Qur’an yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.

  1. Allah menggunakan perumpamaan "jual-beli" dalam ayat ini kerana apa yang Bani Israil lakukan adalah atas kerelaan; 1. Mereka tukar keampunan Allah dengan neraka, 2. Mereka membeli dunia dengan menjual rahmat Allah, mereka sangka jika mereka masuk neraka pun hanya sekejap. Jual-beli orang mukmin ada 3 seperti disebut dalam Surah Al-Taubah 111 iaitu; 1. Mereka guna harta ke jalan Allah, 2. Mereka berjihad ke jalan Allah dan 3. Mereka membunuh dan terbunuh di jalan Allah.

  2. Bani Israil mengkufuri apa yang diturunkan Allah melalui Al-Quran, mereka tidak mahu mempelajari Al-Quran. Mereka hanya mahu percaya kepada ajaran dari Taurat yang telah terpesong, mereka juga beriman dengan kitab karangan manusia yang bukan dari ajaran yang benar. Mempelajari Al-Quran hukumnya adalah wajib, Al-Quran bukan hanya perlu dipelajari oleh golongan agama atau oleh orang yang telah tahu bahasa Arab sahaja.

  3. Kedegilan Bani Israil menerima kebenaran hanya menyebabkan mereka akan bertemu dengan Allah nanti dengan kemurkaan di atas kemurkaan. Kemurkaan mereka bertalu-talu. Mereka diberi banyak peluang untuk kembali ke jalan yang benar, kemurkaan pertama mereka ialah mereka tidak ikuti kitab mereka dengan sepenuhnya dan kemurkaan kedua mereka menolak terus Al-Quran. Mereka memilih untuk beragama di atas sangkaan dan hawa nafsu.

  4. Kekufuran mereka menyebabkan mereka akan diazab dengan azab yang hina. Orang yang melakukan dosa akan diazab, dan orang yang melakukan dosa kerana "kesombongan" pula akan diazab dengan kehinaan. Hakikatnya apa sahaja azab adalah hina. Azab hina ini tidak khusus buat Bani Israil sahaja tetapi kepada semua yang melakukan dosa kerana kesombongan.

Ayat 91

وَإِذا قيلَ لَهُم ءَامِنُواْ بِما أَنزَلَ اللَّهُ قالوا نُؤمِنُ بِما أُنزِلَ عَلَينا وَيَكفُرونَ بِما وَراءَهُ وَهُوَ الحَقُّ مُصَدِّقًا لِّما مَعَهُم ۗ قُل فَلِمَ تَقتُلونَ أَنبِياءَ اللَّهِ مِن قَبلُ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)”, mereka menjawab: “Kami hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)”. Dan mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Qur’an itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?”.

  1. Pelbagai alasan bani Israil dalam menolak Al-Quran, alasan paling utama mereka ialah mereka telah pun ada Taurat jadi mereka hanya perlu beriman kepada Taurat. Nampak seperti logik tetapi nanti Allah akan bongkarkan pendustaan mereka. Alasan lain mereka ialah nabi Muhammad saw adalah nabi bagi orang Arab sahaja. Mereka telah ada tanggung jawab sendiri melalui kitab Taurat,

  2. Semua ini hanyalah alasan-alasan sahaja kerana kitab Injil juga diturunkan kepada keturunan mereka tetapi tetap juga mereka tolak, nabi Isa as juga merupakan keturunan mereka tetapi tetap juga mereka tolak bahkan cuba dibunuh. Sebelum itu lagi telah banyak nabi dalam kalangan mereka yang telah mereka bunuh seperti nabi Zakaria as dan nabi Yahya as.

  3. Selain itu mereka bukan beriman sangat dengan kitab Taurat itu banyak dalil yang mereka tolak. Dalil bakal munculnya nabi akhir zaman dalam kitab Taurat, Zabur dan Injil awalnya mereka percaya namun akhirnya mereka menolaknya kerana tidak kena dengan hawa nafsu mereka. Akal bijaksana yang Allah berikan kepada mereka digunakan untuk mencipta alasan dalam menolak kebenaran.

Ayat 92

وَلَقَد جاءَكُم مّوسىٰ بِٱلبَيِّنَـٰتِ ثُمَّ اتَّخَذتُمُ العِجلَ مِن بَعدِهِ وَأَنتُم ظَـٰلِمُونَ

Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.

  1. Allah mengutuskan nabi Musa as sebagai nabi utama bagi bani Israil, mereka beriman kepada nabi Musa dan kitab Taurat tetapi tidak sepenuhnya. Bagi membuktikan kerasulan nabi Musa as banyak pula telah ditunjukkan mukjizat dan peristiwa-peristiwa ajaib ditunjukkan kepada mereka. Apabila telah ada petunjuk yang jelas dan nyata maka yang mengingkarinya ialah orang yang betul-betul degil.

  2. Kitab-kitab yang diturunkan adalah sebagai panduan dan petunjuk supaya memudahkan kehidupan manusia. Ia adalah mudah dipelajari untuk dijadikan peringatan dan pelajaran seperti firman Allah dalam Al-Qamar 17; Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

  3. Yahudi di zaman nabi Muhammad saw di Madinah bukanlah Yahudi yang menyembah anak patung lembu, yang menyembah lembu ialah nenek moyang mereka. Mereka mengetahui perkata ini salah tetapi mereka tetap mempertahan amalan salah nenek moyang mereka. Bagi mereka keturunan adalah lebih penting dari kebenaran. Perbuatan mereka ini merupakan perbuatan yang zalim kerana mempertahankan syirik.

Ayat 93

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما ءَاتَينَـٰڪُم بِقُوَّةٍ وَاسمَعوا ۖ قالوا سَمِعنا وَعَصَينا وَأُشرِبوا في قُلوبِهِمُ العِجلَ بِكُفرِهِم ۚ قُل بِئسَما يَأمُرُكُم بِهِ إِيمَـٰنُكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman): “Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)”. Mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami menderhaka”. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):” Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman”.

  1. Bani Israil diajak untuk mengingat kembali perjanjian mereka taat beriman kepada Allah setelah Allah hampir sahaja menghempap mereka dengan hempapan Bukit Tursina. Setelah sebilangan mereka diberi peluang menyaksikan bagaimana nabi Musa as menerima wahyu di Bukit Tursina seterusnya mereka meminta untuk melihat Allah pula. Ini sungguh melampau. Mereka tidak mahu menerima apa yang Allah sifatkan diriNya dari ayat-ayatNya.

  2. Setiap apa yang telah Allah turunkan perlulah dipegang dengan bersungguh-sungguh walaupun tidak kena dengan selera atau nafsu kita. Apa yang didengari perlu ditaati. Bani Israil bukan sahaja tidak taat malah menjawab "Kami dengar tetapi kami ingkar." Ingkar di sini bukan sahaja ingkar perbuatan malah ingkar di hati-hati mereka. Ada yang beribadah tetapi hati mereka tetap ingkar.

  3. Di hati mereka, mereka masing mengagungkan patung anak lembu. Mereka tidak dapat buang rasa inginkan perantara dalam beribadah kepada Allah. Hati mereka sentiasa condong kepada kesyirikan, bermula dari melihat ada kaum menyembah patung maka mereka pun ingin ada patung mereka sendiri. Mereka tidak minta banyak dari nabi Musa as, mereka hanya minta satu. Jadilah mereka bangsa yang jahil dan bodoh seperti dinyatakan dalam Al-A'raf 138.

  4. Akhirnya Allah minta nabi Muhammad saw sampaikan kepada mereka, mereka sangka mereka beriman sedangkan jika beriman pun teruk sangat iman mereka itu. Jika betul-betul seseorang itu beriman dia tak akan buat begitu. Iman sepatutnya membawa hati kepada perkara yang baik dan sentiasa kembali kepada ajaran yang benar. 'Iman' mereka ikut hawa nafsu, mereka gemar mereka cipta.

Ayat 94

قُل إِن كانَت لَكُمُ الدّارُ الآخِرَةُ عِندَ اللَّهِ خالِصَةً مِّن دونِ النّاسِ فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): “Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwa itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar”.

  1. Dalam ayat ini Yahudi percaya mereka akan masuk syurga kerena meraka adalah keturunan terpilih. Di kalangan mereka diutuskan nabi-nabi yang banyak. Mereka juga percaya jika mereka dimasukkan ke dalam neraka pun hanya beberapa hari seperti disebut dalam Al-Baqarah 80; Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”.

  2. Jika itu keyakinan mereka, Allah mencabar mereka supaya mintalah kematian sekarang supaya dapat masuk ke syurga itu. Berbeza dengan orang Islam yang beriman, kita yakin dan percaya orang Islam beriman akan masuk syurga tetapi bukan secara individu, setiap individu akan diperiksa amalannya sama ada betul atau tidak. Dalam mengharap untuk masuk syurga kita juga perlu rasa takut dihumbankan ke neraka.

  3. Keturunan tidak dapat menyelamatkan individu, anak nabi Lut as sendiri masuk ke neraka. Ramai di kalangan kita tertipu dengan keturunan, ada yang mengikuti kelompok habib hanya kerana kelompok ini mendakwa (tanpa pasti) mereka adalah keturunan nabi sedangkan dari segi keilmuan dan amalan jauh dari apa yang Islam ajarkan. Mereka hanya mencari populariti atas kebodohan manusia.

Ayat 95

وَلَن يَتَمَنَّوهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.

  1. Kepercayaan Yahudi bahawa mereka akan masuk ke syurga tidaklah hanya angan-angan mereka sahaja, apabila berkaitan dengan mati mereka sangat takut. Jika boleh mereka tidak mahu mati walaupun kononnya mereka bakal penghuni syurga. Allah mengetahui apa di dalam hati-hati mereka, bukan hanya Yahudi zaman dahulu sahaja yang takut mati bahkan sampai ke zaman ini pun mereka takut mati.

  2. Sebenarnya Yahudi takutkan mati kerana mereka tahu dosa mereka terlalu besar dan banyak. Selain mereka banyak dosa mereka juga sedikit amalan dari apa yang disuruh di dalam wahyu. Mereka beramal dengan amalan-amalan palsu. Allah memberi perumpamaan tangan bukan kerana anggota lain tidak melakukan dosa tetapi kerana tanganlah yang paling banyak buat kejahatan. Allah juga gunakan tangan untuk mencela Abu Lahab seperti dalam A-Masad 1.

  3. Allah maha mengetahui kezaliman orang-orang Yahudi, terlalu banyak kezaliman yang telah mereka lakukan dan sedang mereka lakukan. Kezaliman mereka melibatkan 3 perkara utama iaitu; 1. Zalim di dalam hal agama, 2. Zalim dalam akidah, 3. Zalim dalam hubungan sesama manusia. Celaan ini hanyalah supaya orang Yahudi meninggalkan kezaliman mereka dan kembali kepada Islam yang benar. Perasaan yang murni itu boleh dibentuk jika ada kemahuan untuk berubah.

Ayat 96

وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَيَوٰةٍ وَمِنَ الَّذينَ أَشرَكوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُم لَو يُعَمَّرُ أَلفَ سَنَةٍ وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.

  1. Allah memberitahu sifat orang Yahudi iaitu sifat tamak mereka kepada kehidupan dunia. Ketamakan mereka melebihi orang Musyrikin Mekah. Jika Musyrikin Mekah tidak percaya adanya kehidupan setelah kematian, Yahudi pula, walaupun percaya adanya syurga dan neraka tetap memilih untuk merebut habuan dunia. Mereka suka berdoa supaya panjang umur agar dapat menikmati kehidupan dunia. Kononnya mereka yakin masuk syurga namun sangat takutkan kematian.

  2. Orang yang beriman dan taat beribadah sepatutnya tidak takutkan kematian, mereka mahu segera bertemu dengan Allah kerana mereka telah menyiapkan bekal untuk akhirat. Orang beriman sentiasa mempertimbangkan nasibnya di akhirat dalam menjalani kehidupan dunia. Dunia tidak sampai menyebabkan mereka hanyut dalam kehidupan seharian mereka, hak-hak Allah tetap ditunaikan dengan taat. Daripada berdoa panjang umur, orang beriman berdoa supaya dimatikan dalam iman.

  3. Orang Yahudi digambarkan sebagai suka untuk hidup 1000 tahun, jika boleh memang mereka mahu. Mereka sangka umur yang panjang dapat menyelamatkan mereka dari siksa neraka. Tiada guna umur yang panjang jika umur itu disia-siakan dengan kemaksiatan kepada Allah. Orang Yahudi sebenarnya mencontohi Iblis dalam memohon dipanjangkan usia seperti dalam surah Al-A'raf ayat 14. Orang beriman diajar supaya berdoa supaya dimatikan dalam pengakhiran yang baik.

Khamis, Mac 20, 2025

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 10/40 (Ayat 83-86)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 10/40 (Ayat 83-86)

Ayat 83

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَ بَني إِسرٰءِيلَ لا تَعبُدونَ إِلَّا اللَّهَ وَبِٱلوٰلِدَينِ إِحسانًا وَذِي القُربىٰ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰڪِينِ وَقولوا لِلنّاسِ حُسنًا وَأَقيمُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَآتُوا ٱلزَّڪَوٰةَ ثُمَّ تَوَلَّيتُم إِلّا قَليلًا مِّنكُم وَأَنتُم مُّعرِضونَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

  1. Allah menyenaraikan perjanjian setia dengan dengan Bani Israil iaitu; 1. Tidak menyembah selain Allah, 2. Berbuat baik dengan kedua orang tua, kerabat, anak yatim dan orang miskin, 3. Bercakap perkara yang baik sahaja, 4. Dirikan Solat, 5. tunaikan Zakat. Seruan utama yang dibawa oleh mana-mana nabi sama sahaja iaitu seruan untuk mentauhidkan Allah. Tiada tuhan kedua, ketiga atau tuhan-tuhan sampingan selain Allah.

  2. Lima perkara inilah perjanjian setia Bani Israil, jika dilihat sama sahaja tuntutan kepada mereka dengan apa yang Allah tuntut kepada orang Islam. Walaupun syariat atau tatacara beribadahnya berlainan tetapi intipatinya sama kerana semuanya dari Allah dan Allah betul-betul mahu semua manusia mengikuti tuntutan ini. Ajaran-ajaran ini menjaga 2 jenis hubungan; 1. Hubungan dengan Allah, 2. Hubungan sesama manusia.

  3. Berbuat baik kepada dua ibu bapa bukan hanya kerana mereka menjaga, mengeluarkan duit untuk kita, buat baik dengan kita maka kita kena balas jasa dengan buat baik kepada mereka. Ini adalah arahan Allah walau apapun sejarah kita dengan ibu bapa kita, walaupun ada ibu bapanya jahat, tidak beriman kepada Allah, tidak bertanggungjawab tetapi tetap sahaja Allah perintahkan untuk berbuat baik kepada mereka.

  4. Disebutkan aturan ibu bapa kemudian kerabat menunjukkan kita perlu jaga hubungan dengan orang dekat dahulu, untuk bersedekah utamakan kepada yang dekat dahulu. kemudian baru berbuat baik kepada anak yatim dan orang miskin yang bukan dari keluarga kita. Bani Israil juga diperintahkan solat dan membayar zakat cuma syariat bagi mereka berbeza. Ada yang mengatakan solat mereka tiada rukuk.

  5. Bani Israil juga diperintahkan zakat, tetapi mereka tinggalkannya. Dalam masyarakat kita pun ada yang meninggalkan zakat. Atau hanya bayar zakat tertentu, contohnya mungkin ada yang hanya bayar zakat fitrah supaya puasanya sempurna atau sebab hendak raya. hakikatnya ada zakat lain yang perlu juga ditunaikan seperti zakat pendapatan, simpanan, zakat pertanian, penternakan, emas, perak dan lain-lain.

Ayat 84

وَإِذ أَخَذنا ميثٰقَكُم لا تَسفِكونَ دِماءَكُم وَلا تُخرِجونَ أَنفُسَكُم مِن دِيَـٰرِكُم ثُمَّ أَقرَرتُم وَأَنتُم تَشهَدونَ

Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: “(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing”. Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).

  1. Dalam ayat sebelum ini dinyatakan perkara yang Bani Israil perlu lakukan dalam perjanjian mereka, ayat ini punya menyatakan perkara yang perlu mereka tinggalkan. Perkara pertama yang perlu mereka tinggalkan ialah bunuh membunuh sesama mereka. Larangan bunuh ini adalah dalam bentuk berita, jadi ia bukanlah larangan kepada Yahudi di zaman nabi tetapi inilah perkara larangan tetapi telah pun diingkari.

  2. Dalam kalangan orang Islam pun ada larangan bunuh ini tetapi tetap sahaja ada yang mengingkarinya. Dalam hadits ada disebut perbuatan membunuh seorang muslim tanpa hak ini seperti membunuh kesemua orang Islam. Nyawa manusia bukanlah suatu yang boleh diambil sesuka hati, hakikatnya semakin ramai yang telah meninggalkan syariat Islam dalam bab menjaga nyawa sesama Islam.

  3. Larangan kedua dalam ayat ini ialah larangan menghalau orang lain dari tempatnya. Bani Israil ini cukup berbangga dengan keturunan mereka, di zaman nabi Musa as telah disebut mereka terbahagi kepada 12 puak. Di zaman Nabi Muhammad saw di Madinah pula mereka terpecah kepada Aus dan Khazraj. Di antara mereka ada yang suka mengusir musuh mereka keluar dari kawasan. Sekarang mereka mengusir rakyat Palestin pula.

Ayat 85

ثُمَّ أَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تَقۡتُلُونَ أَنفُسَكُمۡ وَتُخۡرِجُونَ فَرِيقٗا مِّنكُم مِّن دِيَٰرِهِمۡ تَظَٰهَرُونَ عَلَيۡهِم بِٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِ وَإِن يَأۡتُوكُمۡ أُسَٰرَىٰ تُفَٰدُوهُمۡ وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيۡكُمۡ إِخۡرَاجُهُمۡۚ أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ

Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

  1. Ayat ini ditujukan kepada Bani Israil di zaman Nabi saw. Mereka berperang bertahun-tahun sesama mereka, satu puak menyokong puak Arab Aus dan satu puak lagi menyokong puak Arab Khazraj. Dalam peperangan itu mereka tidak pedulikan agama musuh mereka, kerana meninggalkan panduan wahyu walaupun mereka sama-sama Yahudi mereka tetap bunuh.

  2. Selain dari membunuh ada juga pihak lawan yang ditawan, apabila mengetahui ada Yahudi yang ditawan mereka menebus tebusan itu kerana arahan sebegini ini ada di dalam wahyu. Mereka telah mengambil wahyu mengikut hawa nafsu mereka sahaja, mana yang senang nak diiikut dan mana yang susah bari mereka mereka langgar sahaja arahan.

  3. Arahan untuk berbaik sesama agama ini bukan sahaja ajaran Taurat bahkan ada juga di dalam Al-Quran (Surah Al-Hujurat 10); "Orang-orang beriman itu sesungguhnya adik beradik. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara keduanya itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat."

  4. Satu lagi perkara haram yang telah Bani Israil buat ialah mengusir sebahagian mereka dari kampung halaman sedangkan mereka telah pun mengikut perjanjian dengan Allah dari zaman Nabi Musa as lagi. Larangan membunuh dan mengusir mereka tinggalkan dan arahan membebaskan tawanan mereka buat pula.

  5. Dalam Surah Al-Ahzab 36 kita juga dilarang memilih-milih dalam Al-Quran, wajib bagi kita untuk menerimanya sepenuhnya; "Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata."

  6. Sikap buruk ini menyebabkan mereka dihina di dunia dan kemudiannya di akhirat. Di zaman Nabi saw di Madinah Bani Quraizhah akhirnya dihalau dan para lelaki mereka dibunuh semua sekali (disebut di dalam Surah Ahzab); Bani Nadhir pula dihalau ke Syam dan mereka wajib membayar ufti (disebut di dalam Surah Hasyr). Dan di zaman Saidina Umar ra mereka semuanya diusir terus dari Tanah Arab.

Ayat 86

أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا ٱلحَيَوٰةَ الدُّنيا بِالآخِرَةِ ۖ فَلا يُخَفَّفُ عَنهُمُ العَذابُ وَلا هُم يُنصَرونَ

Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.

  1. Siapakah orang yang membeli kehidupan dunia dengan menjual akhirat? Mereka adalah orang yang mengambil sebahagian hukum dari kitab yang diturunkan dan meninggalkan sebahagian hukum yang lain (perangai Yahudi). Walaupun mereka membeli dunia dan mungkin meraih untung darinya sebenarnya mereka sedang membeli neraka. Kerana sayangkan kedudukan mereka belakangkan nasib mereka di akhirat.

  2. Ada yang mengatakan membeli dunia dan menjual akhirat ini hanya orang kafir sebenarnya tidak betul kerana dalam kalangan orang beriman juga ada yang berbuat sebegitu. Ia bukan sahaja berlaku pada ahli kita dahulu tetapi berlaku juga pada ahli kitab di zaman kita. Mereka sangka mereka peroleh untung sedangkan ia adalah istidraj yang menjauhkan lagi mereka dari jalan yang benar dan diterima.

  3. Allah berfirman dalam Al-Hadid 20 bahawa dunia ini hanyalah permainan. Yang suka bermain ini ialah kanak-kanak sahaja, jadi mengapa pula orang dewasa mahu bermain-main? Ini adalah kerana tidak adanya rasa tanggung jawab dan kesedaran. Maka jadilah orang dewasa yang mengambil dunia ini seperti kanak-kanak yang tiada rasa tanggungjawab kepada agamanya.

  4. Allah menggunakan perkataan beli dan bukannya ambil, terkeliru, tersilap atau telah ditakdirkan kerana "beli" itu menunjukkan seseorang itu memang sengaja memilih dunia bahkan mungkin sanggup pula mengeluarkan modal untuk memperoleh habuan dunia. Mereka ini akan diazab di akhirat tanpa dikurangkan sedikit pun azabnya.

  5. Di dalam neraka azab tidak pernah berkurang bahkan azab sentiasa semakin mengazabkan buat penghuninya. Dalam surah Al-Isra ayat 97 dinyatakan perihal azab, "Tempat kediaman mereka adalah neraka jahannam. Tiap-tiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalanya." Dalam pada itu mereka tidak diberi apa-apa pertolongan.

Selesai ruku' 10 dari 40 ruku' Suran Al-Baqarah.