Memaparkan catatan dengan label Muhammad. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Muhammad. Papar semua catatan

Selasa, Julai 16, 2024

Sejarah Puasa Hari Asyura (10 Muharram)

Assalamu'alaikum dan selamat pagi, pagi ini ambil kesempatan sedikit untuk membuat catatan pada blog ini berkenaan Hari Asyura iaitu bersamaan dengan 10 Muharram iaitu sama tarikhnya dengan tarikh hari ini. Sebenarnya dua hari ini sedang berkursus dua hari jadi agak lapang sedikit dari bebanan tugas hakiki. Berkenaan hari Asyura ramai yang telah mengetahui tentang kelebihan puasa padanya tetapi mungkin ada yang kurang tahu tentang sejarahnya. Terdapat 4 peringkat bagi puasa Asyura iaitu:

  1. Semasa di Makkah Rasululluh saw telah pun berpuasa hari Asyura begitu juga kaum musyrikin Mekah. Ternyata kaum musyrikin Mekah melaksanakan ibadah2 seperti ibadah kaum muslimin bagaimana pun kesilapan mereka ialah dalam menyembah Allah mereka mensyirikkan Allah dengan berlebihan mengagungkan orang alim di kalangan mereka sehingga mereka menggantung patung-patung berbentuk orang alim mereka yang telah meninggal dunia. Mereka menambah-nambah dan mengubah apa yang tidak sepatutnya ditambah dan diubah dalam ibadah.
  2. Tahap kedua ialah ketika nabi saw telah berhijrah di Madinah dan mendapati orang Yahudi berpuasa juga pada pada hari Asyura. Bila ditanya kepada orang Yahudi, mereka menyatakan hari Asyura adalah hari yang baik di mana nabi Musa berpuasa pada hari Asyura sebagai tanda syukur kepada Allah kerana menyelamatkan nabi Musa as dan pengikutnya dan menenggelamkan Firaun dan pengikutnya. Nabi Muhammad saw menyatakan kaum musliminlah yang sepatutnya lebih lebih mengikuti amalan nabi Musa as ini. Lalu nabi Muhammad saw menganjurkan puasa hari Asyura. Bahkan ketika itu hukumnya berpuasa hari Asyura adalah wajib. 
  3. Tahap ketiga ialah apabila turunnya perintah kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan maka pada ketika ini kewajipan puasa pada hari Asyura berubah hukumnya menjadi sunat.    
  4. Tahap keempat ialah apabila hampir kewafatan nabi saw. Rasulullah saw mahu membezakan amalan puasa Asyura ini dengan kaum Yahudi lalu baginda mensunnahkan berpuasa pada tanggal 9 Muharram. Bagaimana pun Rasulullah saw tidak sempat melaksanakannya kerana sebelum tanggal 9 Muharram itu Rasullullah telah dahulu wafat. Bagaimana pun walaupun sunnah ini tidak sempat dilakukan oleh Rasulullah namun ia tetap menjadi sunnah kerana telah dikhabarkan kepada para sahabat ra. 

Catatan ilmu dari Ustaz Dr Firanda Andirja. Sekian dahulu catatan kali ini, selamat berpuasa dan mendalami ilmu syari'e.

Sabtu, September 22, 2012

Mencintai Nabi Muhammad SAW

Sejak akhir-akhir ini kerap juga terbaca di laman sosial berkenaan tindakan marah dan protes atas penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW. 

Dilihat ada yang berpendapat seperti tidak perlu untuk marah-marah padahal sembahyang 5 waktu pun tidak cukup. Ada juga yang menyaran supaya ikut sunnah nabi dahulu sebelum nak marah-marah. Sedikit sebanyak terasa ada yang tidak kena dengan lontaran sebegini. 

Sebenarnya tidak benar kerana Rasulullah ada bersabda seperti di bawah:

عنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- «لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ»

Anas bin Malik radhiyallahu 'anhu berkata: "Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Tidak beriman salah seorang dari kalian sampai aku ia lebih cintai daripada orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia." HR. Bukhari dan Muslim.

Nyata kita sebagai umat Muhammad perlu menjunjung setinggi penghormatan, kecintaan pada Rasulullah lebih dari diri sendiri. Setiap muslim perlu mezahirkan kemarahan atas pinghinaan pada Nabi Muhammad SAW dalam masa yang sama kita cuba menyempurnakan tuntutan Islam. Wallahualam. 

Jumaat, Februari 03, 2012

Khutbah terakhir Rasulullah SAW

Semoga kita sama-sama renung dan hayati kembali – Khutbah Terakhir Nabi Muhammad s.a.w.

Khutbah terakhir Rasulullah SAW.

Ketika Rasulullah s.a.w mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:

“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

“Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang”.

“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil”.

“Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

“Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

“Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

“Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.

“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”