Rabu, Mei 18, 2011

Lebih banyak geran penyelidikan universiti untuk bajet 2012

Berita Harian Online | Bajet 2012: Perbanyakkan geran penyelidikan demi kemajuan sains, teknologi:
MELAKA: Bajet 2012 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Oktober ini diharap menyediakan lebih banyak geran bagi tujuan penyelidikan, kata Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan.

Beliau berkata, geran penyelidikan tersebut amat diperlukan bagi memastikan kesinambungan kemajuan pesat bidang sains dan teknologi dalam negara.

"Persaingan untuk geran ini tinggi, jadi kita mesti berusaha gigih untuk memperolehinya," katanya pada Majlis Hari Kualiti UTeM 2011 di kampus induk universiti itu di Durian Tunggal dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Yusoff menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 142 petugas universiti itu.

Ahmad Yusoff berkata, UTeM berjaya menghasilkan kejayaan cemerlang dalam bidang penyelidikan tahun lalu dan menerusi produk reka cipta universiti itu berjaya memenangi 41 anugerah dalam dan luar negara.

Katanya, tahun ini produk reka cipta UTeM berjaya memperolehi 18 anugerah di mana lima daripadanya diperolehi menerusi satu pameran reka cipta di Geneva, Switzeland.

Ahmad Yusoff berkata, UTeM akan berusaha memperolehi lebih banyak geran penyelidikan bagi meneruskan usaha menghasilkan lebih banyak produk reka cipta, sekali gus memajukan bidang penyelidikan dalam negara.

Beliau berkata, selain geran penyelidikan, UTeM juga berharap dapat memperolehi bantuan untuk menambah fasiliti di kampus induk universiti itu seperti membina bangunan baru untuk Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.

Sementara itu, beliau berkata, UTeM bakal memperkenalkan program baru sarjana muda dalam bidang teknologi kejuruteraan berteraskan elektrik, elektronik, mekanikal dan pembuatan.

"Kami menyasarkan kemasukan 570 pelajar dalam program sarjana muda bidang teknologi kejuruteraan pada kemasukkan September ini dan menjelang 2015 kami sasar kemasukkan 6,000 pelajar," katanya.

UTeM kini mempunyai lebih 7,500 penuntut dan 750 tenaga pengajar akademik bagi enam fakulti iaitu empat fakulti kejuruteraan, sebuah fakulti teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) dan sebuah fakulti pengurusan teknologi dan tekno keusahawanan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan