Jumaat, Julai 29, 2005

Penduduk bakar lori rempuh mati remaja

GOMBAK: Beberapa penduduk membakar sebuah lori dan membelasah pemandunya selepas kenderaan itu terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan seorang remaja di Jalan Pinggiran Wira Damai, Kampung Bahtera Wira Damai, Batu Caves di sini, semalam.

Mangsa, Mohd Lokman Kadir, 18, yang menunggang motosikal bagi menghantar sepupunya, Siti Aishah Mohd Isa, 11, ke Sekolah Agama Seri Temenggong kira-kira satu kilometer dari rumahnya, tercampak selepas dirempuh lori itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.35 pagi itu, lori berkenaan dikatakan terbabas sebelum bergesel dengan sebuah lori lain yang diletakkan di tepi jalan serta merempuh kereta Perodua Kancil dan satu lagi motosikal.

Siti Aishah hanya cedera ringan manakala penunggang sebuah lagi motosikal berusia 40-an yang identitinya belum dikenal pasti, pula parah. Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Selayang, manakala mayat Mohd Lokman dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kemalangan itu mencetuskan kemarahan penduduk yang sebelum ini beberapa kali membuat bantahan mengenai tindakan pemandu lori menggunakan jalan di kampung berkenaan untuk mengangkut tanah ke projek perumahan berhampiran.

Malah, pernah beberapa lori dikatakan terbabit dalam kemalangan di jalan berkenaan sebelum ini.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian semalam lori terbabit yang dipercayai membawa muatan berlebihan dan dipandu laju ketika menuruni bukit, dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh kereta dan motosikal itu.

“Lori itu turut melanggar tembok konkrit menyebabkan ketulan konkrit berkenaan tercampak dan menghentam kepala Mohd Lokman menyebabkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori itu cuba melarikan diri tetapi ditahan serta dibelasah beberapa penduduk sebelum diserahkan kepada polis.

Sementara itu, seorang penduduk kampung berkenaan, Abdul Khalid Abdul Hamid, 62, berkata, penduduk sudah beberapa kali menghantar memorandum bantahan bagi mendesak pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Selayang (MPS), menghentikan projek itu.

“Projek itu menyebabkan jalan kampung kami menjadi sibuk kerana dilalui banyak lori tanah. Bagaimanapun, rungutan penduduk tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, penduduk juga memfailkan bantahan di mahkamah pada 1 Februari lalu dan kes itu akan disebut semula pada 18 November ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan