Thursday, August 11, 2005

Jerat kelab pembelit

JOHOR BAHRU: ‘Duduk diam dapat duit’, begitulah pujukan licik sindiket skim cepat kaya `Kelab Usahawan Internet’ yang menawarkan pulangan AS$9,000 (RM33,300) dalam tempoh sebulan dengan hanya melabur RM380.

Sindiket berkenaan didakwa bergiat aktif di negeri ini dan Kuala Lumpur menawarkan pelbagai pakej pelaburan palsu.

Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, beliau hampir menjadi mangsa apabila tertarik dengan pakej pelaburan sindiket berkenaan yang turut menawarkan laman web percuma, portal perniagaan dan pengurusan kewangan secara online kepada ahlinya.

Beliau berkata, antara taktik kotor bagi menjerat pelanggan ialah menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh sebulan sekiranya melaburkan AS$100 (RM370).

Menurutnya, sindiket berkenaan juga cuba meyakinkan orang ramai yang melayari laman webnya kononnya membantu pelanggan meningkatkan pengetahuan komputer termasuk strategi mempromosikan barangan menerusi rangkaian teknologi maklumat (IT).

“Sebagai pengusaha tempatan yang ingin mengikuti perkembangan terkini perniagaan menerusi internet, pada mulanya saya tergerak hati untuk membuat pelaburan, namun atas nasihat rakan seperjuangan, saya menyedari taktik sindiket berkenaan.

“Saya meragui operasi sindiket yang mendakwa mempunyai rangkaian perniagaan di 35 negara berikutan cara pembayaran deposit yang nampak kurang selamat,” katanya.

Beliau berkata, selain gagal memberi sebarang maklumat mengenai alamat syarikat berkenaan beroperasi atau nombor pendaftaran syarikatnya, sistem pelaburan yang dikendalikan sindiket berkenaan tidak profesional.

Menurutnya, setiap penduduk yang berminat diminta membuat pembayaran deposit menerusi beberapa bank tempatan.

“Selepas memasukkan duit dalam akaun berkenaan, orang ramai diminta membuat pengesahan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) termasuk menyatakan nama penuh dan nombor ahli kepada seorang kakitangan syarikat berkenaan,” katanya.

Katanya, kewujudan sindiket skim cepat kaya berkenaan bukan sahaja mengelirukan masyarakat malah mengakibatkan sesetengah daripada mereka terpedaya dengan pelbagai janji palsu.

“Pihak berkuasa seharusnya menyekat operasi sindiket sebegini kerana ia bukan sahaja mengundang pelbagai jenayah siber malah memberi impak kepada pengusaha tempatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment