Hari-hari akhir bersama Abah (rahimahullah) Part 2
Bismillah.
Sambung sikit hari ni dari posting semalam dalam siri Hari-hari akhir bersama Abah (rahimahullah).
Abah telah dihantar dengan ambulan ke Jabatan Kecemasan HKL pada petang hari Isnin, 1 April 2019. Abah telah masukkan ke Zon Ember pada petang itu sehingga pagi keesokan harinya. Ketika itu aku masih berada Pulau Pinang. Selepas waktu Maghrib baru kami bergerak ke KL dalam keadaan yang tergesa-gesa dan letih. Beberapa kali berhenti dalam perjalanan hingga terpaksa tidur sekejap di R&R Rawang. Wife kurang sihat dan tak biasa memandu waktu malam. Setelah ada katil kosong baru Abah dimasukkan ke Wad Perubatan 18B HKL. Doktor pada mulanya menjangkakan masalah stroke tetapi bila doktor yang lebih pakar lihat CT Scan otak terus dia beritahu otak Abah bengkak dan itu yang menyebabkan Abah lemah dan tidak lagi dapat kontrol anggota dengan baik. Fungsi untuk menelan makanan pun telah terganggu. Seterusnya Abah direfer ke Onkologi di mana mengikut doktor kanser prostat abah dan merebak sampai ke otak. Abah hanya dapat ke onkologi pada hari Jumaat pagi kerana katil yang penuh.
Sewaktu menjaga Abah, Abah sangat perlukan seseorang yang dapat membantunya setiap masa. Kami adik beradik dan Emak bergilir-gilir menjaga Abah. Aku akan mula menjaga jam 5 pagi hingga petang. Diganti Emal / Along / Hani hingga malam, seterusnya adik akan akan jaga waktu malam hingga pagi. Biasanya bila waktu Subuh sampai aku akan minta sekejap untuk solat di surau dan Abah akan benarkan. Pernah satu masa Aku cuba minta untuk makan sekejap tetapi Abah sebut "Ikut awak lah..". Dapat difahamkan disini Abah takkan nak lepaskan orang yang menjaganya walau sekejap kecuali untuk solat Subuh. Seperti dipost sebelum ini abah dalam masa ini dalam keadaan sangat sakit dan tidak selesa. Dia sentiasa nak di gerak-gerakkan mengiring ke kiri / kanan dan didudukkan dalam kadar yang kerap. Abah juga tidak dapat bercakap dengan baik lagi.
Sewaktu di Wad Onkologi waktu Solat Jumaat Azan sangat jelas kedengaran, begitu juga Khutbah. Sewaktu azan Jumaat abah mengisyaratkan seperti orang solat maknanya suruh aku solat Jumaat walaupun dia sangat memerlukan orang membantu setiap masa. Aku cakap takpa, nak jaga Abah dan boleh jama' kerana darurat dan dalam musafir. Sewaktu khutbah sekali lagi abah isyaratkan solat. Begitulah Abah yang sentiasa pentingkan solat berbanding dirinya yang sakit itu.
Semoga dengan amalan dan redha Allah, Abah sedang berada dalam kenikmatan ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan