Isnin, April 22, 2019

Hari-hari akhir bersama Abah (rahimahullah) Part 3

Hari-hari akhir bersama Abah (rahimahullah) Part 3

Bismillah.

Hari-hari akhir bersama Abah (rahimahullah) Part 3 merupakan sambungan dari Part 1 dan Part 2 yang asalnya diblogkan di faizalr.com. Ini merupakan bahagian akhir coretan kenangan ketika detik-detik akhir bersama abah secara khususnya ketika abah dah tak boleh bercakap dengan jelas. Semuanya melalui isyarat dan pergerakan pada hari-hari akhir.

Pada hari Sabtu 6 April 2018 iaitu 3 hari sebelum Abah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Juga hari ini merupakan hari akhir aku menjaga Abah kerana aku balik ke Penang pada keesokan harinya dan planning untuk kerja dahulu memandangkan telah bercuti 4 hari dalam minggu itu. Seperti biasa aku akan menjaga dari pukul 5 pagi hinggalah petang. Lega sikit pada tengah hari tu ada sepupu yang datang ziarah jadi dapatlah lari sekejap untuk makan dan Zohor.

Di sebelah pagi tu, walau pun abah dan tak boleh bercakap dengan jelas, ada ketikanya aku akan cuba bercakap-cakap dengan abah. Kalau masa sihatnya sebelum ini Abah seorang yang sangar berilmu, abah sangat berminat dengan politik dan konflik dunia terutamanya yang melibatkan negara Islam. Jarang sekali abah tidak menonton Dunia Jam 10 diwaktu malam. Mungkin ini juga sedikit sebanyak mempengaruhi minat aku selama bertahun-tahun.

Berbalik kepada ketika abah mula sakit teruk, abah dah mula kurang minat untuk ambil tahu pelbagai perkara, abah lebih banyak membaca Al-Quran dan jika dah tak mampu abah akan minta pasangkan ayat-ayat Quran di Youtube. Abah dan tak boleh fokus, abah dah sangat sakit ketika itu. Semoga sakit itu menjadi penebus dosa dan penyebab abah diberikan kemuliaan di sisi Allah azza wa jall.

Pagi itu aku berbicara perihal sakit kanser abah tu, aku buat-buat tanya kanser ni mungkin warisi oleh ahli keluarga. Aku ada sebut abah dapat dijaga oleh 4 orang anaknya masa abah sakit dengan bergilir-gilir. Andaikatalah kalau aku nanti dah tua dan menghadapi nasib yang sama macam abah nak harapkan siapa. Hanya Eryna seorang sahajalah kut yang akan jaga. Dalam keadaan abah sedang baring terlentang tiba-tiba abah menggerakkan kedua-dua tangannya seperti orang berdoa. 

Itulah jawapan terbaik kepada sebegitu banyak kerisauan kita di dunia ini. Siapalah kita untuk menghadapi pelbagai ujian dan masalah tanpa doa. Sekali lagi abah mengajar sesuatu kali ini di hari-hari akhir bersama abah. Pelbanyakkanlah doa dalam apa juga keadaan. Semoga abah di dalam alam kenikmatan pada ketika ini.

Tamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan