Memaparkan catatan dengan label 2024. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 2024. Papar semua catatan

Khamis, Oktober 10, 2024

World Mental Health Day

World Mental Health Day 2024

Assalamualaikum dan selamat malam semua. Hari ni berjaya unlocked badge World Mental Health Day dari Apple Fitness. Cara untuk mendapatkannya agak mudah iaitu kena buat mindful minute selama 10 minutes. Antara aktiviti yang boleh dibuat ialah untuk menarik nafas dan menghembus nafas dengan dalam beberapa minit, kemudian boleh ikut membayangkan situasi-situasi tertentu contohnya sedang menikmati bunyi ombak menghempas pantai. Aktiviti mencatat di app Journal juga dicatatkan sebagai mindful minute.

Aktiviti-aktiviti dianggap sedikit sebanyak boleh memberi kesihatan mental kepada seseorang. Dia nak kita dari sebentar dari sibuk kehidupan. Bagi orang Islam sebenarnya solat sahaja sudah cukup melegakan dan membantu dalam menjaga kesihatan mental. Kita boleh nampak beza kesihatan mental orang yang solat dan orang yang tidak solat. Apapun esok mungkin ada booth khas dibuka berkenaan kesihatan mental ni di tempat kerja. Boleh singgah nanti untuk tayang badge ni.

Isnin, Ogos 26, 2024

National Park Challange 2024

Assalamualaikum dan selamat pagi.  

You earned this award by working out for 20 minutes or more
on 25 August 2024.

Satu lagi badge dari Apple Watch berjaya di unlocked. Kali ni bersempena National Park Challenge 2024. 25 August merupakan tarikh mulanya National Park Faudation diwujudkan 108 tahun yang lalu. Bila dicari maklumatnya event ini hanya disambut di U.S. Mulanya ingatkan ia merupakan hari sedunia. Kalau di Malaysia biasanya Taman Negara akan ada event khas pada sepanjang bulan Julai, ia kenali dengan nama July Fest.


Khamis, Ogos 01, 2024

Ogos Pun Menjelma

Assalamualaikum dan selamat pagi. Kembali lagi bersiaran dengan catatan baharu pada blog ini. Sedar tak sedar sudah masuk bulan Ogos 2024, benarlah sabdaan Rasulullah saw di mana akhir zaman ini sebulan dirasakan seperti seminggu sahaja. 

Banyak yang diazamkan tapi masih mencari-cari rentak. Salah satu yang aku azamkan tetapi masih susah nak nak dijadikan rutin ialah untuk beristiqomah mentadabbur Al-Quran setiap hari. Mungkin apabila masuk bulan Ogos ini boleh mula atau mula pada bulan 1 Safar nanti. Kadang-kadang aku suka nak mulakan sesuatu mengikut kalendar hijri. Bila umur semakin meningkat ni aku rasa untuk tadabbur ni cara paling selesa untuk aku lazimi ialah dengan bacaan. Agak konvensional tetapi aku rasa susah nak kejar bila cuba tengok video. Durationnya panjang dan ada banyak ulasan dari penceramahnya sedangkan aku kalau boleh nak cuba fahami dalam tempoh masa yang terhad. Sebagai sumbernya aku ingat nak gunakan Celik Tafsir. Sebelum ni aku dah ada baca cuma tidak istiqomah setiap hari. 

Berbalik kepada kehidupan seharian rasa ralat pula jika tidak membuat catatan berkenaan Hari Anugerah Kecemerlangan SMK Pauh Jaya pada hari Sabtu lepas. Tahniah kepada Aliff kerana telah menerima jemputan untuk hadir menerima Anugerah Kecemerlangan SPM dan dinobatkan juga sebagai Tokoh Kokurikulum SMK Pauh Jaya 2023. Semoga terus cemerlang dalam menuntut ilmu.

Selasa, Mei 21, 2024

World Meditation Day and May 2024 Challenge

Assalamualaikum dan selamat malam. Sejak kebelakangan ni masa yang digunakan untuk membuat catatan di blog dah bertukar kepada waktu malam pula nampaknya. Biasanya sebelum-sebelum ini akan buat catatan pada waktu pagi. Sebenarnya sedang ada task kerja yang agak mendesak sekarang ini, jadi biasanya pagi-pagi dah berserabut dengan kerja. 

Untuk catatan kali ini cuma nak kemaskini sikit tentang 2 challange pada Apple Watch yang berjaya di selesaikan atau unlocked dalam masa terdekat ini. Yang menariknya hari ini 21 May adalah hari meditasi sedunia. Mungkin kurang mendapat perhatian di negara kita. Konsep meditasi juga agak kurang kena dengan Islam kerana dalam Islam ada konsep yang lebih besar dari meditasi dalam seharian beribadah. Paling utama adalah solat. Pergerakan, ketundukan, kepatuhan, pujian, pengharapan dan penghambaan kepada Allah itu semua adalah bentuk meditasi dalam Islam. Ia boleh juga dihuraikan sebagai kesedaran bahawasanya kita ini dijadikan semata-mata untuk beribadah kepada Allah sama ada ibadah zahir (5 rukun Islam) atau ibadah batin (6 rukun Iman). Selain dari solat, ibadah seperti puasa, 'iktikaf, do'a, zikir, tafakkur (muhasabah), bersyukur, menyendiri, membaca AlQuran dan mengkaji isinya semuanya perbuatan yang mendekatkan diri kita kepada Allah. Mungkin sebab itulah hari meditasi kurang disedari dalam kalangan masyarakat. 

Apapun aku dah selesaikan task-task yang mudah untuk unlocked medal World Meditation Day yang cantik ni. Selain itu cabaran untuk bulan Mei juga berjaya diselesaikan. Agak desperate juga nak unlock cabaran bulan Mei tu kerana bagi bulan April, cabarannya tak berjaya diselesaikan. Kalau banyak cuti agak susah nak selesaikan biasanya. 

Setakat ini sahaja dahulu yang dapat dikongsikan dalam catatan kali ini. Semoga bermanafaat kepada semua.

Isnin, April 22, 2024

Happy Earth Day 2024

Assalamualaikum semua. Petang ni nak buat catatan sedikit berkenaan program sambutan Earth Day peringkat tempat kerja. Untuk makluman 22 April setiap tahun telah ditetapkan sebagai hari bumi atau Earth Day di seluruh dunia. Di antara tujuannya ialah sebagai awareness kepada semua orang agar menjaga bumi dengan lebih baik. 

Salah satu inisiatif yang dijalankan di peringkat tempat kerja pada pagi tadi ialah aktiviti menanam pokok di sekitar tempat kerja. Semua HOD telah dikerahkan untuk terlibat dalam aktiviti penanaman pokok ni. Kesian juga kerana ketika penanaman ini matahari agak panas juga. 

Satu lagi dalam merekodkan aktiviti ini drone telah digunakan untuk buat rakan live ke facebook. Problemnya susah betul nak koordinasi masa dengan tempat2 lain. Kemudian dengan masalah lagnya yang tak dapat nak dikawal dah. Sudahnya jadi tak menarik lagi untuk ditonton kerana banyak masalahnya. Apapun pada pagi ini sahaja 1 juta pokok telah ditanam di seluruh Pulau Pinang. Jika tak silap ia akan masuk dalam Malaysian Book Of Record. 

Khamis, April 18, 2024

Raya Di Temerloh

Assalamualaikum dan selamat pagi. Mungkin ramai yang dah mula puasa 6 tapi aku baru sahaja nak mula puasa 6 hari ini. Pada yang tak biasa puasa 6 tu mungkin boleh mula buat kali ni. Catatan kali ini ialah berkaitan raya. Seperti yang aku maklumkan pada catatan sebelum ini aku akan bahagikan catatan berkenaan raya kepada 2 bahagian. Yang ini adalah catatan yang kedua. Boleh check catatan sebelum ini untuk catatan pertama bertajuk Raya Di Gombak. 

Kami bertolak ke Temerloh pada hari raya kedua. Dalam perjalanan tu sempat singgah beraya di dua rumah iaitu rumah kawan wife di Batang Kali dan rumah sepupu wife di Mentakab. Ruginya jalan ke Genting Highland dari Ulu Yam masih ditutup kerana kejadian tanah runtuh, kalau tidak tidak perlu ikut jalan ke Gombak semula. Satu benda yang kita agak kecewa tentang jalan raya di Malaysia ni ialah nampak seperti sambil lewa sangat pihak2 tertentu dalam nak upgrade jalan2 utama dan jalan2 alternatif. Macam2 cerita kita dengar tentang kesesakan trafik sewaktu cuti raya baru2 ni. 

Petang raya kedua tu kami pun sampai ke Hotel Seri Malaysia di Temerloh. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini keluarga adik beradik belah isteri akan berkumpul di hotel ni. Pada malamnya ada sesi makan2 di hotel. Menunya ikan patin masak tempoyak. Ini menu yang mesti kena cuba bila di Temerloh yang cukup sinonim dengan gelaran bandar ikan patin selain gelaran titik tengah semenanjung Malaysia. Selepas itu ada sesi bersalaman antara keluarga dan yang paling seronok mestilah anak2 yang akan dapat duit raya. 

Keesokan harinya kami berkonvoi raya ke beberapa rumah, sebelum itu kami ziarah kubur ibu dan ayah dahulu di Bukit Keledang. Kami beraya di sekitar Mengkarak dan Guai kemudian ke Felda Mayam. Di Felda Mayam kami sempat solat Jumaat di sana. Isu utama di kawasan2 Felda sekarang ini ialah masalah air. Kesian betul sampai ada yang mula menggunakan perigi semula sebagai sumber air. 

Keesokan harinya sebelum balik ke KL aku sempat beraya ke rumah sahabat baik dari zaman sekolah menengah di Kerayong. Dia sekarang ni dah jadi wakil rakyat bagi kawasan Kemayan. Sebelum balik sempat kami makan nasi dahulu di rumah adik kepada isteri yang tidak jauh dari situ. Nasib baik kami makan dahulu tengah hari tu sebab perjalanan balik yang sepatutnya hanya 3 jam akhirnya jadi 8 jam kerana kesesakan teruk di lebuhraya. Di harap kerajaan dapatlah besarkan lagi jalan2 alternatif supaya kesesakan dapat dikurangkan.

Selasa, April 16, 2024

Raya Di Gombak

Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Di kesempatan ini aku nak mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin kepada semua yang rajin membaca catatan di blog ini. Secara spesifiknya permohonan maaf dalam blog ini adalah berkisar tentang catatan2 yang mungkin menyinggung perasaan mana2 orang. Juga nak mohon maaf sekiranya ada komen2 yang tidak berbalas. Kalau boleh memang nak membalas kesemua komen2 anda tapi apakan daya kadang terlepas pandang juga. 

Sebenarnya pagi ni baru masuk kerja setelah cuti seminggu dan extra 1 hari lagi semalam untuk berehat dan mengemas apa2 yang patut di rumah. Satu minggu punya trip tahu2 sahajalah, banyak yang perlu diselesaikan. Untuk catatan berkenaan raya aku nak pecahkan kepada dua, nanti akan pos pula di bawah satu lagi pos bertajuk Raya Di Temerloh, Pahang kerana memang ada dua fasa biasanya raya cara kami ni. Kami balik ke rumah emak di Gombak pada hari Isnin jadi sempatlah dua hari lagi puasa dan berbuka di Gombak. Berbuka yang akhir tu dah rasa feel raya sebab dah mula ada lemang dan rendang. Malam itu juga ada dua orang kawan datang berkunjung. Kedua2nya adalah kenalan semasa belajar di Universiti Malaya dahulu. Seorang tu pegawai polis dan seorang lagi guru. Lama juga tak jumpa diorang ni jadi lamalah berboraknya sampai macam tak nak balik.

Keesokan harinya kami solat hari raya idul fitri di Madrasah Al-Hilaliah. Bagus sekali khutbah raya kali ini, antara yang masih segar dalam ingatan ialah petanda kita mendapat pahala Ramadan ialah semua amalan yang kita lakukan pada Ramadan kita sambung pada bulan2 seterusnya. 

  1. Jika kita boleh puasa di bulan Ramadan maka kita sambung puasa2 sunat di bulan lain.
  2. Jika kita boleh bangun sahur pada Ramadan, kita sambung bangun awal untuk solat malam 8 rakaat dan 3 witir. Juga lazimi solat subuh berjemaah di masjid.
  3. Jika kita boleh taja berbuka di masjid maka kita taja juga makan2 untuk orang miskin, pelajar atau kawan2 pejabat di bulan lain.
  4. Jika kita boleh berlama2 'iktikaf di masjid, lakukan juga di bulan lain.
  5. Jika kita boleh baca Al-Quran sehari satu juzuk, maka lakukan juga pada bulan lain supaya kita dapat khatam sekali sebulan mengikut kiraan bulan hijriah.
  6. Jika kita dapat mengawal percakapan kita di bulan Ramadan maka kita jaga juga percakapan kita di bulan seterusnya.
  7. Jika kita banyak berdoa meminta keampunan di bulan Ramadan maka kita banyakkan juga doa pada bulan2 seterusnya.

Itulah antara peringatan yang dapat aku fikirkan dari khutbah yang disampaikan. Selesai solat hari raya kami bersalaman di antara satu sama lain selain memberi duit raya kepada anak2 buah. Pada hari raya pertama itu kami juga berkunjung ke rumah saudara mara di Wangsa Maju, Batang Kali, dan Semugkis. Sampai2 rumah dah malam dan kepenatan. Setakat ini dahulu, ikuti sambungan catatan raya nanti.

Isnin, April 01, 2024

Balik Ke Gombak

Assalamualaikum semua. Sedar tak sedar kita sudah memasuki fasa akhir Ramadan. Hari ini juga kita telah memasuki bulan April 2024. Laju sungguh masa berjalan. Bulan Mac mencatatkan catatan paling sedikit untuk blog ini iaitu hanya 3 catatan. Sedih betul sebab kalau boleh nak maintainlah sekurang2nya 2 catatan dalam seminggu. Apa pun tiada paksaan dalam blog ini. Kita cuba berkongsi mengikut rentak masing2. 

Dari Mu’awiyah bin Haidah Al Qusyairi radhiallahu’ahu, beliau bertanya kepada Nabi:
يا رسولَ اللهِ ! مَنْ أَبَرُّ ؟ قال : أُمَّكَ ، قُلْتُ : مَنْ أَبَرُّ ؟ قال : أُمَّكَ ، قُلْتُ : مَنْ أَبَرُّ : قال : أُمَّكَ ، قُلْتُ : مَنْ أَبَرُّ ؟ قال : أباك ، ثُمَّ الأَقْرَبَ فَالأَقْرَبَ
“Wahai Rasulullah, siapa yang paling berhak aku perlakukan dengan baik? Nabi menjawab: Ibumu. Lalu siapa lagi? Nabi menjawab: Ibumu. Lalu siapa lagi? Nabi menjawab: Ibumu. Lalu siapa lagi? Nabi menjawab: ayahmu, lalu yang lebih dekat setelahnya dan setelahnya” (HR. Al Bukhari dalam Adabul Mufrad, sanadnya hasan).

Cuti Nuzul Al-Quran pada hari Khamis lepas aku dan keluarga pulang ke kampung di Gombak. Kampungnya tidaklah kampung sangat kerana letaknya di Kuala Lumpur. Kebiasaannya apabila tiba bukan Ramadan aku akan usaha untuk dapat balik kampung untuk berbuka bersama emak (ibu). Kali ini peluang itu agak lewat kerana sudah melewati separuh dari Ramadan. Di antara sebabnya aku memilih minggu ini ialah ia lebih panjang dan anak yang bersekolah tidak perlu ponteng. Kebetulan sekolahnya mengambil cuti peristiwa pada hari Jumaat. Dapatlah berlama2 sedikit bersama emak. 

Pada hari Khamis itu kami bertolak dengan menaiki kereta seawal jam 7.30 pagi. Aku memang dah pesan supaya siap awal supaya perjalanan awal pagi mengurangkan mengantuk sewaktu memandu. Sebelum pukul 11.00 tengah hari kami dah pun sampai ke Gombak. Puan isteri bergerak dari Cyberjaya dan kami bertemu di rumah emak. Dalam menunggu2 tu ramai pula saudara mara yang datang, dapatlah beramah mesra sejurus tiba. 

Bila balik dalam bulan Ramadan, semestinya waktu berbuka ialah saat yang ditunggu2. Setiap petang kami ke bazar Ramadan mencari juadah tambahan kepada apa yang emak masak. Dia mesti nak masak juga apa2 walaupun dah pesan supaya tak perlu masak apa2. Hari Sabtu pula kami berbuka nasi arab yang dibeli di Sultan Kebab. Sedap nasinya sampaikan ada yang bertambah sampai tiga kali.  

Di antara perkara lain yang aku suka bila balik kampung ialah berulang ke surau berdekatan rumah iaitu Madrasah Al-Hilaliah. Ia mengimbau kenangan dari waktu2 kecil di mana di situlah aku mula belajar mengaji dengan ustaz yang garang sekali. Pernah sekali ada seorang murid yang dimarahinya sampai patah cermin matanya. Begitulah cara guru dulu2 mengajar. Di surau ini jugalah abah (rahimahullah) berulang2 sepanjang hayatnya. Banyak juga kenalan2 di surau ini.

Selain itu dapat juga masing2 membeli kasut raya. Disebabkan malas nak ke bandar KL, kami bershopping di Wangsa Maju sahaja. Memang untung shopping di KL ni berbanding di Penang. Susah nak jumpa tawaran yang berbaloi. Aku sendiri dapatlah sepasang Dr Cardin slip on moccasin shoes. Ntah macam mana boleh teringin pula nak pakai kasut yang kadang orang panggil sampan. Mula kenal kenal kasut macam ni masa zaman sekolah dulu. Masa tu kalau pakai kasut ni kira hebat dan up to datelah dari segi nak bergaya tu.

Setakat ini dahulu catatan kali ini. Harap lepas raya nanti dapatlah memperbanyakkan catatan2 di blog ini. Semoga kita terus mempertingkatkan ibadah di akhir2 Ramadan ini. Enjoy gambar2 di bawah.

Selasa, Januari 02, 2024

Trip to Rawang and Cyberjaya

Assalamualaikum semua. Bertemu lagi di tahun baru 2024. Agak lama juga tidak buat catatan di blog ini kerana bila berada di luar kawasan dan di luar kebiasaan jadi kurang sedikit upaya untuk membuat catatan. Ingatkan sempat membuat catatan akhir 2023 hari tu tetapi tersasar atas sebab2 tertentu. Tahun baru ini dimulakan dengan kejutan gempa bumi kuat disusuli tsunami di Jepun. Begitulah fasa2 akhir dunia ini seperti yang telah diperingatkan lama. Apa pun kehidupan perlu diteruskan tanpa terlalu risaukan urusan dunia ini walaupun dunia ini dan rasa semakin sempit dari segi kehidupannya. Dengan pencerobohan Israel yang entah bila akan berakhir. Kita hanya mampu berdoa supaya semuanya berakhir dan Islam akan kembali mulia. 

Seperti yang aku catatkan sebelum ini, aku sekeluarga menyertai family day belah isteri di Carpe Diem Orchard Home Serendah di Rawang. Menarik sekali tempatnya, dan yang paling best hanya kami2 yang ada pada 2 malam kami di situ. Kesemuanya ada 7 keluarga yang hadir dari pelbagai negeri, sepatutnya ada 8 tetapi terpaksa kansel di saat akhir kerana covid. Setiap keluarga menetap di rumah2 yang berasingan mengikut kesesuaian saiz keluarga. Rumahnya adalah rumah kayu yang sangat terjaga dah hanya bahagian bilik air yang diperbuat dari batu. Di sekeliling rumah2 adalah kebun buah2an dan pengunjung boleh mengambil apa2 sahaja buah yang ada. Kebetulan musim buah rambutan baru bermula dapatlah kami pungut 2 beg besar buah rambutan. Selain rambutan ada juga buah durian, cempedak, ciku, limau bali dan pulasan.

Banyak juga aktiviti yang telah dijalankan di sana, seronok semuanya. Paling seronok ialah budak2 kerana dapat bertemu sepupu sepapat dan ada kolam di tengah2 kawasan ini. Semuanya berakhir setelah dua malam kawasan kebun ini. Setelah selesah di kebun, kami bermalam di Gombak pula dua malam. Dapatlah sembang2 dengan mak terutamanya yang masih trauma dengan insiden homestay dimasuki pencuri. Setelah dua malam di Gombak kami teruskan permusafiran ke Cyberjaya pula. Ketika ini puan isteri bekerja jadi Cyberjaya dengan tempat kerjanya dekatlah. Aku pula ketika itu mengalami diarrhea teruk. Kalau dikirakan hampir seminggu juga untuk ok semula. Naya betul. Memang kat Cyberjaya tak dapat nak ke mana pun. Puncanya ialah aku ini ada masalah lactose intolerence. Sebelum ni dah perasan cuma kadang teringin nak pekena kopi mahal punya pasal merana berhari2. Bukan semua orang tahan dengan susu kotak yang di panaskan tu, bila enzim lactase yang ada tak mampu nak menguraikan gula dari susu maka jadilah diarrhea. Alhamdulillah semalam dah elok banyak. Lepas2 ni kena beringatlah kalau nak minum kopi mahal kena minum yang tak pakai susu dairy.

Begitulah kisahnya berakhir 2023 dan bermula 2024 aku. Semoga tahun ini baik2 sahaja untuk kami sekeluarga.