Isnin, Oktober 05, 2026

Konvensyen Tadabbur Al-Quran 2026

Assalamualaikum dan selamat petang. Hari Sabtu baru ni sempat menghadiri Konvensyen Tadabbur Al-Quran 2026 bersama isteri. Program ini dianjurkan oleh Shabab Way dan Lin Nisa'. Tak pernah dengar sebenarnya dua penganjur ni tapi duk rasa mungkin ada kaitan juga dengan Ghulam Al-Dakwah yang diterajui oleh Ustaz Abdul Muien Abdul Rahman yang masyhur dengan kuliah tadabbur di samping aktiviti dakwah dan kebajikan mereka. 

Konvensyen diadakan di PICC, Putrajaya. Mula-mula daftar acara ni sebenarnya tak berjaya sebab dah penuh tapi penganjur ada tambah seat kemudiannya. Bila mula daftar dan penuh tu aku terus pm penganjur. Dalam beberapa hari mereka inform ada buat penambahan seat. Aku pun cepat-cepat daftar, tak sangka puan isteri pun teringin nak join. Mungkin sebab di Putrajaya, senanglah sebab dah ada tempat tinggal yang dekat.

Program bermula jam 9 pagi, dalam dua sesi awal, ustaz Muien membuat kupasan tentang  awal adalah tentang 1. Siapa Ahlul Quran? dan 2. Al-Quran Sumber Ketenangan Dan Rezeki. Bagi yang dah lazim membaca Al-Quran, konvensyen ini membuka minda tentang apa yang tujuan utama Al-Quran diturunkan. Tidak cukup sekadar dibaca dan dihafal tetapi yang lebih utama Al-Quran perlu difahami dan kandungannya perlu disebarkan melalui dakwah. 

Di sebelah petang ada perkongsian dari ustaz-ustaz lain dan ada juga slot yang disampaikan oleh pelajar-pelajar tadabbur. Ada yang menyampaikan tazkirah dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Bagus rencana mereka kerana dah petang tetapi tak mengantuk dibuatnya. Slot di akhiri dengan forum bagaimana tadabbur mampu mengubah seseorang itu.  

Ringkas sahaja catatan kali ini, untuk rekod peserta yang hadir mencecah 2,600 orang. Satu angka yang besar, dan tak sangka banyak peminatnya tadabbur ni. Selesai program aku dan isteri singgah Amir Damascus di Cyberjaya. 

Rakaman disediakan:

Rabu, September 30, 2026

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 29/40 (Ayat 229-231)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 29/40 (Ayat 229-231)

Ruku' 29 dari 40 ruku' dalam Surah Al-Baqarah ini berkisar tentang hukum berkaitan perceraian dan perintah melayan wanita yang diceraikan dengan cara yang baik dan penuh ihsan.

Ayat 229

ٱلطَّلَٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَٰنٍ ۗ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا۟ مِمَّآ ءَاتَيْتُمُوهُنَّ شَيْـًٔا إِلَّآ أَن يَخَافَآ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا ٱفْتَدَتْ بِهِۦ ۗ تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ

Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu daripada apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

  1. Talak hanya boleh dirujuk dua kali, ini hak yang ada pada suami. Setelah tiga kali talak, suami tidak boleh lagi boleh untuk rujuk semula isterinya. Inilah had yang Islam bawa berbanding praktik zaman jahiliyah dahulu iaitu talak dan rujuk tiada had. Perbuatan ini digunakan untuk menzalimi isteri dengan mencerai dan rujuk berkali-kali. Penceraian bukanlah suatu yang hina, ia peluang untuk memulakan hidup baharu namun prosesnya perlu baik dan memberi keadilan.

  2. Berkenaan bilangan talak, terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan para alim ulama; ada yang berpegang bahawa dibolehkan menalak 2 atau 3 dalam sekali lafaz, dan ada yang berpegang bahawa talak itu hanya dikira sekali walaupun yang menalak menyebutnya 2 atau 3 kali. Ini kerana melalui ayat 229 ini, difahami bahawa seharusnya talak itu perlu ada ruang untuk rujuk kembali. Perbuatan menalak secara sekaligus ini seperti menolak Kitabullah.

  3. Rukanah Bin Abd Yazid menceraikan isterinya dengan talak tiga dalam satu majlis, maka sesudah itu beliau jatuh sedih yang amat sangat. (Apabila dibawa kepada Nabi ﷺ). Rasulullah ﷺ bertanya kepadanya: “Bagaimanakah kamu menceraikannya?” Beliau menjawab: “Dengan tiga sekaligus dalam satu majlis”, lalu Nabi ﷺ menjawab: “Sesungguhnya itu hanyalah satu, rujuklah dengannya sekiranya kamu mahu”, lalu beliau pun kembali rujuk dengan isterinya.

  4. Sekiranya penceraian tidak jadi dan suami merujuk, ia perlu dilakukan dengan tujuan yang baik. Tidak boleh rujuk itu hanyalah untuk menzalimi isterinya. Melepaskannya juga perlu dilakukan dengan cara yang baik. Apa yang telah diberikan sepanjang perkahwinan tidak boleh diambil semula walaupun sedikit. Dalam masyarakat telah popular hadist dhaif yang menyatakan penceraian itu menggegarkan Arash Allah. Namun, bukanlah kita menggalakkan penceraian pula.

  5. Di pihak isteri, ada juga hak untuk memohon penceraian dengan talak khulu'. Pihak mahkamah akan memutuskan sama ada perkara ini dibenarkan dan pihak isteri perlu membayar ganti rugi. Jumlah ganti rugi akan ditetapkan oleh mahkamah dan suami perlu bersetuju dengan jumlah tersebut. Sekiranya suami tidak bersetuju dengan jumlah ganti rugi, mahkamah akan pertimbangkan semula sehingga kes selesai iaitu apabila ianya mendapat persetujuan kedua pihak.

Ayat 230

فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُۥ مِنۢ بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُۥ ۗ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَآ أَن يَتَرَاجَعَآ إِن ظَنَّآ أَن يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ ۗ وَتِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga dia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau dia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis iddahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.

  1. Lanjutan daripada hukum talak dan rujuk, sekiranya pasangan telah bercerai untuk kali ketiga setelah ditalak tiga kali, maka bekas isterinya tidak lagi halal untuk dirujuk. Islam telah mengehadkan rujuk sebanyak 2 kali sahaja. Setelah itu, bekas suami isteri itu boleh berkahwin dengan siapa yang dimahukan kecuali bekas suami atau isterinya. Jika bekas isteri itu bercerai dan telah habis idahnya baru boleh bekas suami pertamanya berkahwin dengannya semula.

  2. Perkahwinan kali kedua ini memerlukan maskahwin semula. Dalam masyarakat, situasi ini selalu dikaitkan dengan istilah "cina buta". Di mana bekas suami berpakat dan mengupah seseorang untuk berkahwin dengan bekas isterinya untuk tempoh tertentu kemudian menceraikannya. Kerap disebutkan syaratnya mestilah tidak melakukan jimak. Perkara sebegini tidak dibenarkan kerana perbuatan ini adalah helah dalam mengikuti apa yang telah Allah tetapkan.

  3. Perkahwinan kedua seorang isteri itu perlulah dengan syarat telah berjimak kerana nikah itu antara maksudnya ialah jimak. Penceraian kedua juga perlulah berlaku dengan natural dan bukan kerana pakatan, paksaan atau kerana upah tertentu. Perkahwinan semula juga bersyarat iaitu perlu boleh menegakkan hukum Allah dalam kehidupan rumah tangga. Dalam masyarakat, ramai beranggapan syarat utama perkahwinan adalah mampu sedangkan yang utamanya adalah menegak hukum.

Ayat 231

وَإِذَا طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ ۚ وَلَا تُمْسِكُوهُنَّ ضِرَارًا لِّتَعْتَدُوا۟ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُۥ ۚ وَلَا تَتَّخِذُوٓا۟ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ هُزُوًا ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَمَآ أَنزَلَ عَلَيْكُم مِّنَ ٱلْكِتَٰبِ وَٱلْحِكْمَةِ يَعِظُكُم بِهِۦ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh iddahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

  1. Suami yang merujuk kembali isterinya semasa dalam tempoh iddah perlulah melakukannya dengan tujuan baik. Dalam surah Thalaq ayat 2; "Apabila mereka telah mendekati akhir iddahnya, maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah." Saksi diperlukan supaya tidak timbul isu dikemuadian hari dalam hal cerai dan rujuk.

  2. Suami yang menceraikan isterinya perlu menceraikannya dengan baik juga. Walaupun penceraian berlaku, hubungan kekeluargaan tetap ada. Ini terutamanya sekiranya pasangan sudah mempunyai anak, tetap ada hubungan dengan mertua, anak dengan datuk dan nenek, ibu dan bapa saudara yang perlu dijaga. Orang yang merujuk semula atau menceraikan dengan buruk sebenarnya menganiaya diri sendiri. Ada juga yang menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan permainan.

  3. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan: "Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu nikah, cerai, rujuk." (Riwayat Abu Daud No. 2194 dinilai hasan oleh Albani). Tiga perkara ini tidak boleh dibuat main-main. Apa yang disebutkan tetap dikira walaupun orang itu berkata dia hanya bergurau. Kerana itulah diberikan masa supaya seorang suami itu dapat berfikir masak-masak sebelum penceraian berlaku.

  4. Allah mengingatkan kita semua supaya mengenang segala nikmat yang telah Allah kurniakan. Dalam bab perkahwinan yang bermasalah, tetap sahaja Allah kurniakan rahmatnya dan nikmatnya dalam perkahwinan tersebut, cumanya manusia mudah melupakan nikmat yang telah Allah kurniakan. Anak-anak merupakan nikmat besar dalam rumah tangga selain nikmat bersama antara suami dan isteri. Dengan mengenang nikmat-nikmat ini, ia akan menjadikan seseorang itu lebih rasional.

  5. Nikmat terbesar yang sebenarnya adalah nikmat kitab Al-Qur'an yang diturunkan. Allah mahu kita lihat kebesaran-Nya melalui kitab yang diturunkan. Di dalamnya ada petunjuk untuk menjalani kehidupan. Selain itu, sunnah Nabi ﷺ juga adalah nikmat yang besar. Banyak sekali ditunjukkan perbuatan Nabi ﷺ dalam menjaga hubungan dengan isteri-isterinya r.a. Banyak keruntuhan institusi kekeluargaan berlaku kerana kalam manusia lebih diutamakan daripada wahyu.

Tamat ruku’ 29 daripada 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah.

 

Sabtu, September 26, 2026

Menghidupkan Semula Laptop Dell Latitude 5480


Assalamualaikum dan selamat pagi Sabtu. Minggu ni puan isteri tidak balik kerana ada jemputan kenduri anak saudaranya di Kuantan. Dia pergi pun tumpang keluarga adiknya. Aku pula rasa jauh sangat kalau nak ke Kuantan tu dari Penang. Dan hujung minggu depan aku nak ke Cyberjaya pula kerana ada Konvensyen Tadabbur di Putrajaya. Eryna pula ada kelas tambahan Pendidikan Agama Islam. Cara menjawab soalan ke apa dia cakap sebelum ni. Macam-macam zaman sekarang ni. Zaman aku dulu kalau Pendidikan Islam ini subjek wajib dapat A1. Baca banyak, hafal banyak akan skor A1.   

Berbalik kepada tajuk, sengaja aku buat catatan ini kerana ada kisahnya yang pada aku sedikit menarik. Untuk makluman, aku ada juga buat kerja repair-repair laptop as part time, lebih kepada tolong-tolong orang yang ada masalah laptop. Kisahnya satu laptop ni ada jiran hantar. Laptop tak boleh nak on, bila semak-semak didapati masalah motherboard. Bila isu motherboard ni biasanya tak ramai nak proceed repair kerana kosnya mahal dan ambil masa juga. Biasanya orang nak cepat. Dan customer ni tak nak proceed, mungkin dia beli laptop lain dah. Bila ditanya dia nak lagi atau tak laptop ni, dia kata suruh aku buangkan. 

Aku pun simpan dulu sambil duk cari-cari kut ada orang jual motherboard murah-murah. Kadang tu masa memainkan peranan, ini sebenarnya termasuk dalam usaha juga. Kalau nak cepat kadang terpaksa beli dengan harga mahal, kalau bersabar sedikit mungkin ada orang jual dengan harga lebih murah. Bila terjumpa harga yang agak murah, aku pun proceed beli. Dalam masa yang sama bila beli secara online dengan pos ni kena standby risiko ditipu juga jadi kena banyak berdoa sahajalah. 

Pendekkan cerita, aku pun pasanglah motherboard ganti ni dan bila dicuba laptop tak mahu hidup juga. Aduss, terkena dah kali ni. Sampaikan aku dan hantar mesej kepada penjual. Dan tak berbalas dekat 12 jam. Lagilah aku duk rasa macam aku dah terkena. "Nak pasang dah satu hal, keluar duit pula lagi last-last kena tipu." Aku duk kata dalam hati. Apapun malam tadi aku cuba satu trick lagi iaitu check connector ke screen. Sebenarnya dah pasang elok dah, cuma saja aku try semula dan tiba-tiba baru hidup laptop ni. Syukur sangat dan aku punya kesimpulan, kalau tukar motherboard ni, walaupun dah pasang elok kena juga cuba-cuba pasang connector-connector semua jika sekali boot tak berjaya. Sebabnya mungkin sekali boot tu belum tentu charge dah sampai ke semua cip komponen. Kena trigger dengan unplug dan sambung semula connector. Nak cerita pun susah tapi itulah yang aku agak. jangan cepat nak mengalah kata rosak terus. 

Itulah sahaja catatan kali ini. Kut ada yang nak buang laptop, bolehlah saya tolong buangkan.    

Rabu, September 16, 2026

Menyantuni Sahabat Lama yang Bertandang ke Penang

Uploaded Image
Bertemu sahabat lama di Kayu Nasi Kandar. 

Assalamualaikum dan selamat malam. Catatan ringkas untuk hari ini ialah tentang menyantuni seorang sahabat lama yang bertandang ke Penang. Dua hari lepas dia ada hantar mesej yang mengatakan yang dia berada di Bayan Lepas. Rupanya dia ada kursus di Penang ni. Aku pula sibuk kalau hari kerja dan nak ke pulau tu memang berat sikit. Rezeki hari ni cuti Hari Malaysia dan dia pun masih ada di sini. Aku pun planlah nak jumpa dia dan kidnap dia sekejap dari kursusnya. 

Aku pun bertolak ke Hotel Iconic Mojavie dalam waktu tengah hari tadi untuk mengambil sahabar ni. Dia ni sebenarnya sahabat semasa belajar di Asasi Sains Fizikal di Universiti Malaya. Kami tinggal di Kolej Kediaman Kedua dan kemudian menyewa rumah yang sama di Pantai Dalam. Walau pun kami belajar di fakulti yang berbeza setelah Asasi tetap sahaja kami berkawan rapat. Banyak sekali kenangan zaman belajar ni, zaman mula nak kenal dunia. 

Kami lunch nasi kandar di Kayu Nasi Kandar, cari tempat makan yang berdekatan sahaja kerana di sebelah petang dia akan berkursus lagi. Gigih betul berkursus semasa orang semua bercuti. Sempatlah berborak hal-hal semasa dan juga perihal kawan-kawan lain. Paling mengejutkan bila tahu ada seorang kawan ni sedang menjalani hukuman penjara. Semoga dipermudahkan urusannya sepanjang menjalani hukuman. Selesai makan, sambung borak-borak sikit dan kemudian aku pun hantar semula dia ke hotelnya. Itu sahajalah catatan untuk kali ini. Hingga bertemu lagi dalam catatan yang lain.  

Ahad, September 13, 2026

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 28/40 (Ayat 222-228)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 28/40 (Ayat 222-228)

Ruku' 28 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah berkisar tentang larangan hubungan suami isteri semasa haid, larangan salah guna sumpah yang dibuat atas nama Allah, tempoh empat bulan untuk membuat keputusan membatalkan hubungan suami isteri dan tempoh tiga kali haid untuk berkahwin semula selepas perceraian.

Ayat 222

وَيَسأَلونَكَ عَنِ المَحيضِ ۖ قُل هُوَ أَذًى فَاعتَزِلُوا النِّساءَ فِي المَحيضِ ۖ وَلا تَقرَبوهُنَّ حَتّىٰ يَطهُرنَ ۖ فَإِذا تَطَهَّرنَ فَأتوهُنَّ مِن حَيثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّٰبينَ وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

  1. Sahabat yang telah beristeri bertanya kepada Nabi ﷺ tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh mereka lakukan kepada isteri mereka apabila isteri dalam tempoh haid. Nabi ﷺ menjawab, darah haid adalah suatu yang kotor. Seorang suami tidak boleh melakukan hubungan dengan isterinya dalam tempoh haid. مَحِيضِ bermaksud tempat keluar haid iaitu faraj isteri. Ia juga boleh bermaksud tempoh keluarnya haid. Jadi, batasnya adalah faraj isteri dalam tempoh haid.

  2. Persoalan tentang haid ini muncul kerana ketika di Madinah, ada para sahabat yang terikut-ikut dengan perbuatan orang Yahudi. Bagi orang Yahudi, ketika isteri mereka sedang haid, mereka tidak memberi isteri mereka makan dan tidak mempedulikan mereka. Ini sesuatu yang melampau; batas sepatutnya hanyalah faraj isteri. Selain daripada itu, kita melayaninya seperti biasa sahaja. Batas sementara ini akan hilang setelah mereka bersuci dengan mandi wajib.

  3. Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها beliau berkata, “Jika salah seorang daripada kami sedang mengalami haid dan Rasulullah ﷺ berkeinginan untuk bermesraan, baginda memerintahkan untuk mengenakan kain, lalu baginda pun mencumbuinya.” ‘Aisyah رضي الله عنها berkata, “Padahal, siapakah di antara kalian yang mampu menahan hasratnya sebagaimana Rasulullah ﷺ menahan.” Hadith ini dikuatkan oleh Khalid dan Jarir daripada Asy Syaibani.” Mencium adalah dibenarkan.

  4. Sebahagian orang Kristian pula menolak larangan bersama dengan isteri ketika haid. Ini juga sesuatu yang melampau. Islam berada di tengah-tengah antara dua pendekatan yang melampau. Bagi yang pernah melakukannya, seseorang itu perlu bertaubat dan si suami perlu bersedekah dengan nilai 1 dinar emas (4.25g) atau 1/2 dinar emas. Jangan buat tak tahu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertaubat. Siapa pun tidak terlepas daripada berbuat silap.

Ayat 223

نِساؤُكُم حَرثٌ لَّكُم فَأتوا حَرثَكُم أَنّىٰ شِئتُم ۖ وَقَدِّموا لِأَنفُسِكُم ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّكُم مُّلٰقوهُ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.

  1. Allah memberi perumpamaan isteri seperti kebun tanaman atau ladang-ladang. Ini menunjukkan ia mestilah sesuatu yang boleh membuahkan hasil. Jika kebun atau ladang memerlukan penjagaan yang baik untuk membuahkan hasil yang baik, begitu jugalah perihalnya terhadap isteri. Hendaklah dijaga dengan baik juga. Dibenarkan untuk mendatangi isteri dari arah depan dan juga arah belakang, tetapi bukanlah melalui dubur kerana ia adalah perbuatan yang diharamkan.

  2. Daripada Ibnu Al Munkadir aku mendengar Jabir رضي الله عنهما berkata; “Orang-orang Yahudi berkata; ‘Apabila menggauli wanita melalui belakang maka mata anaknya akan menjadi juling’. Lalu Allah ﷻ menurunkan ayat; Isteri-isteri kalian adalah ladang kalian, maka datangilah ladang kalian dari mana engkau kehendaki.” (Al-Baqarah 223). (Hadith Bukhari No. 4164). Ayat ini juga berkait dengan amalan karut orang Yahudi yang gemar mereka perkara baharu dalam agama.

  3. Perbuatan bersama dengan isteri adalah suatu yang baik namun suami perlulah bijak dalam menilai situasi isteri, begitu juga isteri perlulah bijak dalam memenuhi keperluan suami. Walaupun bersama antara suami dan isteri adalah perkara yang baik, perlu juga kita jaga amalan-amalan baik yang lain. Jangan ditinggalkan apa yang telah diwajibkan. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai usaha untuk mendapatkan zuriat yang ramai kerana Nabi ﷺ suka jika umatnya ramai.

  4. “Wahai Abdullah, telah dikhabarkan kepadaku bahawa engkau berpuasa di siang hari dan solat malam (terus-menerus)?” Aku menjawab: “Benar, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Jangan lakukan itu. Berpuasalah dan berbukalah, solat malamlah dan tidurlah. Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak atasmu, matamu mempunyai hak atasmu, dan isterimu mempunyai hak atasmu…” (HR. Bukhari No. 1975). Dalam hubungan bersama juga kita perlu jaga hukum-hukumnya.

Ayat 224

وَلا تَجعَلُوا اللَّهَ عُرضَةً لِّأَيمَـٰنِڪُم أَن تَبَرّوا وَتَتَّقوا وَتُصلِحوا بَينَ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.

  1. Ayat ini adalah berkenaan sumpah yang tidak dianjurkan atau yang tidak sepatutnya dilakukan. Di zaman jahiliyah, masyarakat Arab terkenal dengan kesukaan mereka untuk bersumpah dalam percakapan mereka sehari-hari. Ada sumpah yang dibenarkan seperti dalam perkara yang besar dan penting, dan ada pula sumpah yang tidak dianjurkan. Antara sumpah yang tidak dianjurkan ialah menggunakan sumpah untuk menghalang seseorang itu daripada melakukan perkara yang baik.

  2. Contoh sumpah yang tidak patut ialah seperti seseorang yang bersumpah untuk tidak lagi pergi ke satu masjid tertentu, mungkin kerana ada perkara yang tidak disukainya tentang masjid itu. Ada juga orang yang bersumpah untuk tidak meninggalkan amalan turun-temurun yang tidak ada petunjuknya dari Nabi ﷺ tetapi diajarkan oleh guru mereka. Ada juga yang bersumpah tidak akan berjimak dengan isteri kerana isu tertentu, sedangkan jimak itu perkara yang baik.

  3. Dalam Surah An-Nur juga disebutkan larangan sumpah sebegini. "Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

  4. Setelah disebutkan tentang larangan sumpah yang tidak dibenarkan ini, Allah perintahkan supaya bertaqwa kepada Allah iaitu dengan mengikuti suruhan Allah dan meninggalkan larangan Allah. Jangan kita memandai-memandai dalam muamalah sesama manusia. Allah juga perintahkan kita untuk mendamaikan hubungan di antara manusia. “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu (yang berselisih)." Surah Al-Hujurat: 10.

Ayat 225

لّا يُؤاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما كَسَبَت قُلوبُكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ

Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

  1. Dalam masyarakat Arab, telah menjadi kebiasaan bagi mereka untuk bersumpah atas nama Allah. Perkara ini berlaku lebih awal sebelum diutusnya Nabi ﷺ lagi. Terkadang mereka mengucapkannya dalam keadaan tidak sedar kerana telah terlalu lazim. Contoh sumpah sebegini ialah "Dia telah sampai, wallahi". Biasanya ia disebut untuk perkara kecil. Sumpah sebegini tidak terikat dengan hukum Allah. Bagi yang tidak biasa, perbuatan ini seperti mempermainkan nama Allah.

  2. Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafsh ‘Umar bin Al-Khattab r.a., beliau berkata bahawa beliau telah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya setiap amalan tergantung pada niatnya. Setiap orang akan mendapatkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya untuk Allah dan Rasul-Nya. Siapa yang hijrahnya kerana mencari dunia atau kerana wanita yang dinikahinya, maka hijrahnya kepada yang dia tuju.” (HR. Bukhari).

  3. Walaupun ada sumpah yang terikat dengan hukum Allah, namun perbuatan ini perlu dielakkan. Dalam apa jua keadaan kita perlu berhati-hati dalam berkata-kata, sentiasa kawal perasaan dan jangan terikut-ikut dengan cara orang lain yang tidak sesuai dengan agama. Di dalam Mukminun ayat 3, disebutkan tentang sifat orang Mukmin; "Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna." Biarlah perkataan kita sentiasa berguna.

  4. Sumpah yang sengaja dilakukan dalam sedar tetapi melakukannya untuk menipu merupakan kesalahan besar. Sumpah sebegini tiada kaffarahnya (tebus) melainkan dengan bertaubat. Apapun kesalahan seseorang itu ada sahaja jalan keluarnya, bertaubat, tinggalkan perkara buruk itu dan menyesali perbuatan itu. Allah maha mengampunkan kesalahan hambanya yang bertaubat. Allah maha mengetahui mana satu sumpah yang tidak sengaja dan mana satu sumpah yang benar.

Ayat 226

لِّلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِن نِّسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ ۖ فَإِن فَاءُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

  1. Ayat ini berkenaan dengan sumpah ila'. Sumpah ila' ialah sumpah atas nama Allah oleh suami kepada isterinya untuk tidak bersama (berjimak) dengan isterinya. Perkara ini adalah lanjutan daripada amalan kebiasaan bangsa Arab yang suka bersumpah dan satu cara zalim suami terhadap isterinya. Sebelum turunnya ayat ini, seseorang suami yang membuat sumpah ila' kepada isterinya dengan tanpa had tempoh tertentu. Ini semestinya suatu perbuatan zalim kepada isteri.

  2. Ayat ini diturunkan untuk menegur atau membetulkan perbuatan zalim sumpah ila'. Ditetapkan tempoh yang dibenarkan bagi seorang suami untuk tidak bersama dengan isterinya selama empat bulan sahaja. Dalam masyarakat kita ada istilah yang lebih kurang sama iaitu istilah "gantung tak bertali". Islam menjaga kehormatan wanita dan mengehadkan perbuatan yang dibenarkan serta perbuatan yang tidak dibenarkan dengan mengehadkan tempoh masa tertentu.

  3. Hukum melakukan sumpah ila' adalah haram jika dalam tempoh 4 bulan suami tidak kembali bersama dengan isterinya. Sekiranya suami tetap tidak mahu bersama, suami perlu menceraikan isterinya dan sekiranya dia tidak menceraikan isterinya, maka qadhi berkuasa untuk memaksa penceraian berlaku demi menjaga kehormatan seorang isteri. Seorang suami yang melakukan sumpah ila' perlu membayar kafarah untuk menebus dosanya. Kafarah akan menyelesaikan sumpah ila'.

  4. Islam memberi ruang masa dan had masa tertentu dalam penyelesaian masalah hubungan suami isteri. Tidak wajar seorang suami membiarkan isterinya terkontang-kanting dalam tempoh yang melebihi had kerana isteri juga berkehendak hubungan jimak. Allah maha mengampuni perbuatan sumpah ila' sekiranya ia telah terbatal, iaitu dengan suami itu kembali bersama dengan isterinya dan juga telah selesai membayar kafarah mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Ayat 227

وَإِن عَزَمُوا الطَّلٰقَ فَإِنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

  1. Selepas tempoh empat bulan sejak sumpah ila' dibuat, suami perlu membuat keputusan. Penceraian tidaklah terjadi serta-merta; masih ada ruang untuk kembali sebelum keputusan cerai dibuat. Jika tempoh masa 'bertenang' untuk berfikir masak-masak sudah cukup dan tiada jalan lain, maka suami wajarlah melepaskan isterinya untuk hidup masing-masing. Ini juga bagi membolehkan isteri berkahwin semula dengan lalaki lain. Buat keputusan supaya tidak menzalimi orang lain.

  2. Allah mengingatkan tentang sifat maha mendengarnya kerana dalam masalah rumah tangga, biasanya akan berlaku pertengkaran. Berhati-hatilah dalam berkata-kata. Jangan bersumpah sesuka hati, jangan mengikut perasan dan jangan membuat keputusan ketika dalam marah. Kata-kata yang tidak baik semuanya akan dibicarakan di akhirat nanti. Isteri juga jangan gemar membuat provokasi, bukan hanya kata-kata bahkan Allah mengetahui isi hati manusia.

  3. Dalam masyarakat ada pula yang beranggapan bahawa jika suami tidak bersama isteri selama empat bulan maka isteri boleh menuntut cerai. Ini tidak benar. Sumpah ila' perlu berlaku dahulu. Dan keputusan perlu dibuat oleh suami setelah tempohnya. Bukan ia jatuh serta-merta. Jimak dapat membatalkan sumpah ila'. Ada juga keadaannya suami dan isteri tidak dapat bersama kerana tinggal berjauhan, kerana sakit atau sudah tua yang tidak memungkinkan jimak lagi.

Ayat 228

وَٱلْمُطَلَّقَٰتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَٰثَةَ قُرُوٓءٍ ۚ وَلَا يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ فِىٓ أَرْحَامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤْمِنَّ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ ۚ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِى ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوٓا۟ إِصْلَٰحًا ۚ وَلَهُنَّ مِثْلُ ٱلَّذِى عَلَيْهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci (daripada haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika benar mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

  1. Sekiranya isteri diceraikan, hendaklah seorang perempuan itu menunggu tempoh tiga kali suci sebelum mereka boleh berkahwin semula. Tempoh ini penting untuk menjaga nasab dengan memastikan rahim adalah kosong. Ia juga memberi tempoh rujuk kepada suami yang menceraikan isterinya bagi talak pertama dan talak kedua. Ia juga memberi tempoh bertenang dan tidaklah tindakan mana-mana pihak itu kelam-kabut. Tempoh iddah bagi yang mengandung adalah sehinggan bayinya lahir.

  2. Di zaman jahiliyah tidak ada peraturan yang jelas tentang tempoh iddah. Hak seorang wanita pada ketika itu berada pada titik terendah. Islam datang dengan peraturan-peraturan yang melindungi hak wanita. Tidak benar jika dikatakan Islam merendahkan wanita, sedangkan Islamlah yang menjaga hak wanita. Perkara seperti iddah tidak ada dalam amalan agama lain. Sekiranya perempuan itu ada bayi yang dikandungnya, hendaklah dia memaklumkan perkara tersebut.

  3. Dalam tempoh tiga bulan ini, sekiranya suami ingin kembali hidup bersama bekas isterinya, maka dia boleh rujuk semula. Tujuan rujuk semula ini hendaklah kerana ingin berdamai, bukan sengaja dibuat untuk menyeksa isteri itu. Di zaman jahiliyah, cerai dan rujuk semula ini tiada batas bilangan dan ada yang menggunakan ini untuk menyusahkan si isteri. Islam datang dan menetapkan bilangan cerai dan rujuk hanyalah dua kali. Tiada lagi rujuk setelah 3 kali cerai.

  4. Dalam tempoh iddah, tanggungjawab masing-masing masih berjalan seperti biasa. Suami dan isteri masih tinggal bersama. Lelaki diberi kelebihan 1 darjat berbanding isteri, ini menunjukkan keputusan di tangan suami dan isteri masih perlulah menghormatinya. Apa pun kelebihan sedikit itu, jangan disalahgunakan sehingga menzalimi pula. Suami dan isteri perlu mengetahui bahawa Allah maha berkuasa dan bijaksana dalam menetapkan hal-hal rumah tangga.

Tamat Ruku' 28 daripada 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah.

 

Isnin, September 07, 2026

Travelog Haji 5: Haji Adalah Arafah, Inilah Ketikanya

Assalamualaikum dan selamat pagi. Sambung siri Travelog Haji pagi ini. Lama betul tertangguh catatan ini sampaikan ada rakan jemaah haji yang bertanya akan sambungan penulisannya. Kepada yang ternanti-nanti kami mohon maaf. Susah juga nak cari mood dan banyak juga hal-hal lain yang menghalang. Apapun ayuh ikuti catatan pada hari yang ditunggu-tunggu iaitu hari Arafah. 

Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi ﷺ bersabda: Maksudnya: “Haji adalah Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (814)] 

Wukuf di Arafah adalah rukun haji, sesiapa yang berhaji tetapi tidak wukuf di Arafah maka tiadalah haji baginya. Begitulah pentingnya rukun yang satu ini. Wukuf di Arafah bermaksud berada dalam kawasan Arafah bermula waktu Zohor hingga tamat waktu Asar pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah. Ketika di khemah Mina aku selalu duduk di hujung khemah yang tiada lagi penghuninya. Bukan semua pengelola jemaah haji memulakan haji dari Mina, ada yang terus ke Arafah. Bahagian hujung khemah ini juga dijadikan tempat imam kerana kedudukannya paling hadapan apabila menghadap kiblat. Bila dah malam aku kembali ke tempat aku yang ada tilam untuk tidur. Malam tu aku memang tak boleh sangat nak tidur. Suasananya panas dan sempit dan masing-masing memakai ihram. Jika kita bergerak sedikit membetulkan baring sama ada ke kiri atau kanan pasti akan menyentuh orang sebelah, dan jika kita terlebih melunjurkan kaki, pasti akan menyentuh kaki orang yang di hadapan kita. Hampir Subuh, aku bangun untuk mandi dan bersiap untuk solat Subuh. Selepas Subuh kami di arahkan untuk bersedia untuk bergerak ke Arafah dengan bas. 

Tiba di Arafah kami dibawa ke khemah yang telah ditetapkan. Setibanya di Arafah, aku tertanya-tanya tentang di mana Jabal Rahmah? Rupanya kedudukan kami jauh dari Jabal Rahmah, semua jemaah haji dari pelbagai negara telah ditetapkan tempat-tempatnya dan kami semua tidak boleh keluar dari kawasan yang telah ditetapkan. Bayangkan jika tiada ketetapan ini, pasti semua orang akan bergerak ke Jabal Rahmah untuk berdoa di situ sedangkan seluruh kawasan Arafah adalah tempat yang dimustajabkan doa. Setibanya di Arafah kami bersarapan dahulu sebelum masuk ke khemah masing-masing dan diasingkan lelaki dan perempuan sama seperti di khemah Mina. Kami diminta untuk tidur dahulu sampai waktu Zohor supaya dapat mengumpul tenaga untuk kekal berdoa dari Zohor sampai Maghrib. Tempoh kira-kira 5 jam ini amatlah penting bagi semua jemaah haji. Aku sendiri sudah set dalam minda untuk tidak buang masa dalam tempoh yang sangat penting ini. Sebolehnya ketika waktu makan setelah Zohor itu makanlah ala kadar sahaja, sekadar mengalas perut kerana bukan keutamaannya untuk makan. Begitu juga rancang keperluan untuk ke tandas, jika tidak perlu jangan ke tandas kerana akan rugi banyak masa.  

Apabila hampir tiba waktu Zohor, kami mengemaskan tempat baring dan buat persediaan untuk solat berjemaah di dalam khemah. Kami jemaah MKM berada dalam khemah yang sama dengan jemaah Azzuha. Jemaah mendengar dengan khusyuk khutbah Arafah yang disampaikan mengikut khemah masing-masing. Ketika di Arafah, Nabi ﷺ ada kaedah khusus untuk bersolat iaitu solat Zohor dan Asar dilaksanakan secara jamak qasar dalam waktu Zohor, kemudian untuk solat Maghrib dan Isyak dilaksanakan secara jamak qasar dalam waktu Isya di Muzdalifah. Alhamdulillah khemah kami bersetuju mengikuti cara Nabi ﷺ bersolat. Setelah solat, kami keluar dari khemah dalam keadaan yang sangat tertib. Masing-masing menjaga adab kerana sedang berada dalam tempoh kritikal ibadah haji. Aku mula janji jumpa dengan isteri dan ambil makanan sedikit dan air yang mencukupi untuk melalui tempoh 5 jam ini. Kami mula mencari lokasi yang sesuai di luar sekitar khemah untuk mula berdoa. Aku dan isteri ambil tempat satu tempat seperti tempat makan yang ada meja dan kerusi. Ketika ini orang mula mengeluarkan koleksi doa masing-masing dan mula berdoa. Aku sendiri memulakan doa dengan membaca susunan doa dari kitab Doa-doa Dan Dzikir-zikir Dari Al-Quran dan As Sunnah As Shahihah Karya Syeikh Abdul Muhsin bin Hamd Al 'Abbaad Al Badr (Pengajar Di Masjid Nabawi-Ahli Hadits Madinah) yang diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Dr. Abdullah Roy, M.A semoga Allah merahmati keduanya. Dikongsikan juga link untuk download kitab himpunan doa ini. Setelah habis berdoa dengan kitab ini baru aku berdoa pula mana-mana kehendak diri dan juga doa kiriman orang lain. 

Dalam berdoa ketika Wukuf di Arafah ada satu teguran Allah dalam surah Al Baqarah ayat 200 dan 201 di mana. Ada sebahagian manusia berdoa hanya untuk dunia sahaja tetapi tidak berdoa untuk akhirat. Ini adalah sesuatu yang tidak patut dan ia juga adalah cara berdoa Musyrikin Mekah kerana mereka tidak percayakan hari akhirat. Berdoalah untuk kebaikan di dunia sedikit dan untuk kebaikan akhirat lebih banyak kerana itulah sebenarnya yang lebih kekal dan yang lebih lagi kita mahukan berbanding dunia. Jika mampu berdiri, berdirilah. Sebenarnya ketika ini kena paksa diri kita merendahkan ego kita serendah-rendahnya. Angkat tangan tinggi-tinggi dan berdiri doa kepada Allah. Sedangkan Nabi ﷺ yang mulia pun berdoa sebegitu. Setelah agak lama di luar dan cuaca semakin panas, aku mengajak isteri masuk ke khemah masing-masing dan sambung berdoa di dalam khemah. Dalam waktu Asar kami keluar semula dan sambung semula berdoa sampailah matahari terbenam. Sungguh menyayat hati situasinya ketika itu, cantik sekali kedudukan kami sebenarnya iaitu arah kiblat sama dengan arah matahari terbenam. Sambil berdoa, Allah tunjukkan keindahan matahari terbenam sedikit demi sedikit sampai tidak lagi nampak matahari itu. Ini menunjukkan masanya akan berakhir dan waktu Maghrib akan tiba, dan secara adatnya kesempatan ini tidak akan berulang lagi. Semoga Allah memakbulkan doa-doa semua yang berdoa pada hari Arafah. Semoga ada yang mendoakan kita semasa mereka berwukuf di Arafah pada tahun-tahun akan datang. Aamiin ya Rabbal 'alamin.   

Setakat ini dahulu, bersambung lagi untuk perjalanan ke Muzdalifah dan bagaimana situasinya bermalam berbumbungkan langit di Muzdalifah.    

Jumaat, Ogos 28, 2026

Tukar Bateri Jam Buruj Iconic dan Casio F-201WA-9ADF

Assalamualaikum dan selamat petang. Dah lama tak buat catatan projek-projek DIY. Sebenarnya banyak sahaja aku buat kerja-kerja DIY. Salah satu yang aku suka akhir-akhir ni ialah membongkar jam. Ada beberapa jam yang perlu dibaiki di rumah, ada yang habis bateri dan ada yang tali putus. Ada juga Apple Watch yang rosak semasa di Mekah baru-baru ni. Sampai terbuka screennya. Aku rasa mungkin sebab cuaca terlalu panas dan sebelum ini dah pernah buka screennya untuk ganti bateri. Biasanya kedai yang pasang dengan kilang yang pasang memang tak akan sama ketahanannya. 

Ada dua jam ni habis bateri iaitu Buruj Iconic dan Casio F-201WA-9ADF, talinya pun dan rosak jadi aku pun carilah bateri yang sesuai dan tali yang sesuai. Untuk jam Casio tu senang sahaja nak cari infonya tapi untuk jam Buruj Iconic tu susah sikit, jadi aku buka dahulu cover belakangnya untuk tengok code baterinya. 

Setelah dibeli dan baterinya sampai, aku cubalah pasang, sekali rupa-rupanya untuk jam Buruj Iconic tu ada dua baterinya. Di bawah bateri yang besar ada pula bateri yang kecil. Baru aku tahu untuk jam yang combine analog dan digital ni akan guna dua bateri. Dah lah aku kena order sekali lagi untuk jam analog punya bateri. Baterinya punyalah halus. untuk bateri besar ia menggunakan bateri CR2025 dan untuk bateri yang kecil ia gunakan bateri SR621SW. Perlukan ketenangan dan kesabaran untuk menukarnya. 

Apapun semalam berjaya juga aku selesaikan. Jam Buruj tu dah aku pakai hari ni. Lama tak pakai jam pemberian isteri ni. Yang menariknya model jam ni dan tak dijual lagi. Bila dilihat di webnya, dah tak ada model ni. Yang ada hanya ada model yang digital sahaja atau  analog sahaja. Yang menariknya lagi jam ni ada tarikh hijri dan boleh set waktu solat. Membantu juga kalau malas nak tengok kat phone.   

Sabtu, Ogos 15, 2026

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 27/40 (Ayat 217-221)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 27/40 (Ayat 217-221)

Ruku' 27 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah berkisar tentang bulan-bulan haram, hukuman bagi pemurtad, hukum arak dan judi, perintah melayani anak yatim dengan adil dan larangan berkahwin dengan lelaki atau perempuan musyrik.

Ayat 217

يَسأَلونَكَ عَنِ الشَّهرِ الحَرامِ قِتالٍ فيهِ ۖ قُل قِتالٌ فيهِ كَبيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَكُفرٌ بِهِ وَالمَسجِدِ الحَرامِ وَإِخراجُ أَهلِهِ مِنهُ أَكبَرُ عِندَ اللَّهِ ۚ وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ ۗ وَلا يَزالونَ يُقٰتِلونَكُم حَتّىٰ يَرُدّوكُم عَن دينِكُم إِنِ استَطٰعوا ۚ وَمَن يَرتَدِد مِنكُم عَن دينِهِ فَيَمُت وَهُوَ كافِرٌ فَأُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۖ وَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu daripada ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) daripada ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

  1. Ayat ini berkaitan dengan satu peristiwa yang melibatkan sahabat Nabi ﷺ, iaitu Abdullah bin Jahsy r.a. Beliau telah diarahkan ke suatu tempat di Nakhlah (antara Mekah dan Taif) bersama 8 orang pemuda lagi untuk memerhati pergerakan Quraisy. Mereka terserempak dengan kafilah Quraisy dan terjadi pembunuhan terhadap seorang Quraisy bernama Amr bin al-Hadrami. Apabila orang Quraisy tahu, Islam dituduh mencabul kesucian bulan haram kerana ketika itu bulan Rejab.

  2. Abdullah bin Jahsy r.a. terpaksa membuat keputusan membunuh Amr bin al-Hadrami kerana sekiranya mereka dilepaskan, kemungkinan mereka akan memberitahu kehadiran mereka kepada pembesar Quraisy dan mereka semua akan dibunuh. Perkara ini diketahui oleh Nabi ﷺ dan mereka ditegur. Lalu bersedihlah mereka kerana tidak mengikut apa yang diperintahkan sehingga turun ayat ini (Al-Baqarah 217). Allah tetap melarang membunuh di bulan haram, kemudian membuat perbandingan.

  3. Perbandingan perbuatan membunuh di bulan haram dengan perbuatan musyrikin Mekah: 1. Mereka menghalang orang menerima Islam dan melarang dakwah Nabi, ﷺ, 2. Perbuatan mereka menolak kebenaran Islam adalah kekufuran, 3. Mereka menghalang orang Islam beribadah di Masjidil Haram, 4. Mereka mengusir Nabi dan orang Islam dari Mekah, dan 5. Mereka kekal mahu melakukan kesyirikan dalam kehidupan. Semua ini lebih besar daripada dosa membunuh seorang kafir di bulan haram.

  4. Selain daripada lima perkara itu, Allah menyebutkan isi hati sebenar musyrikin Mekah. Walaupun Nabi ﷺ dan sahabat telah berhijrah ke Madinah, mereka masih tidak puas hati. Sebolehnya mereka mahu umat Islam kembali kepada kekufuran dan melakukan kesyirikan bersama mereka. Allah mengingatkan sekiranya ada yang berpaling murtad, kemudian seseorang itu mati, maka dia mati sebagai seorang kafir. Semua amalan baiknya sebelum ini tidak dikira dan nerakalah tempatnya.

Ayat 218

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah

serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka

itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

  1. Sambungan kepada kisah Abdullah bin Jahsy r.a. yang membunuh musyrikin Mekah bernama Amr bin al-Hadrami pada bulan haram, lalu Allah membandingkan kesilapannya itu dengan 5 perbuatan buruk musyrikin Mekah. Allah menyebut mereka sebagai orang yang beriman. Tidaklah sama kesilapan yang dilakukan orang beriman dengan kesilapan orang yang mensyirikkan Allah. Maka hendaklah kita memastikan perkataan dan perbuatan kita tidak mensyirikkan Allah sedikit pun.

  2. Allah juga menyebutkan mereka sebagai golongan yang berhijrah. Hijrah mereka bukan sahaja hijrah lokasi dari Mekah ke Madinah, malah lebih daripada itu, hijrah juga merangkumi perbuatan dan amalan kita seharian yang hendaklah sentiasa berubah menjadi lebih baik. Selain itu, ada juga hijrah hati, iaitu daripada mencintai kenikmatan dunia kepada mencintai Allah dan Rasul-Nya dengan lebih utama. Hijrah juga bermaksud menahan diri dari apa yang dilarang Allah.

  3. Allah juga menyebutkan mereka sebagai golongan yang berjuang di jalan Allah. Kepatuhan mereka dalam melaksanakan perintah Nabi ﷺ untuk memantau di antara Madinah dan Mekah termasuk dalam ibadah berjuang di jalan Allah. Risiko yang mereka hadapi adalah bahawa mereka mungkin akan dibunuh jika pembesar Mekah mengetahuinya. Kerana itu juga mereka mengambil keputusan untuk membunuh seorang dan menawan dua orang lagi daripada kafilah musyrikin Mekah.

  4. Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada seorang pun yang dimasukkan syurga oleh amalannya.” Dikatakan: Tidak juga denganmu, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Tidak juga aku, kecuali bila Rabbmu melimpahkan rahmat padaku.” (Hadith riwayat Muslim No. 5037). Orang yang berjuang di jalan Allah adalah golongan yang sentiasa inginkan rahmat daripada Allah. Allah Maha mengampuni dosa orang yang tersilap dan bertaubat dari kesilapan.

Ayat 219

۞ يَسأَلونَكَ عَنِ الخَمرِ وَالمَيسِرِ ۖ قُل فيهِما إِثمٌ كَبيرٌ وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ وَإِثمُهُما أَكبَرُ مِن نَّفعِهِما ۗ وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ قُلِ العَفوَ ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.

  1. Ayat ini mengisahkan para sahabat yang mula tertanya-tanya tentang arak dan judi. Kedua-dua perkara ini adalah perlakuan Arab jahiliah. Para sahabat tertanya-tanya hukumnya kerana mereka nampak keburukan pada keduanya. Arak menghilangkan kewarasan akal dan judi pula menghilangkan harta benda. Arak adalah apa-apa sahaja yang memabukkan, antara maksud khamar ialah apa sahaja yang memabukkan termasuklah arak. Judi pula adalah apa sahaja yang dipertaruhkan.

  2. Hinggalah turun ayat ini yang menyatakan arak dan judi, padanya adalah dosa besar. Disebutkan "padanya adalah dosa besar" bermaksud ia merangkumi semua orang yang terlibat dalam penghasilan arak dan pertaruhan judi. Pun begitu, Allah tetap menyebutkan pada keduanya masih ada sedikit manfaat. Mungkin pada waktu-waktu tertentu atau dalam situasi kesihatan tertentu masih ada manfaatnya juga. Apapun keburukannya jauh lebih besar dari manfaatnya.

  3. Setelah turun ayat ini ramai para sahabat meninggalkan arak namun masih ada yang belum meninggalkan sepenuhnya. Larangan ini belum lagi mengharamkan arak secara penuh kerana pengharaman arak dilakukan secara berperingkat. Ini baru amaran pertama dan ia mengajak manusia berfikir dan berkira-kira untuk melakukannya. Ada lagi dua peringkat sebelum pengharaman arak secara sepenuhnya. Dikatakan apabila turun ayat ini Madinah bergenang dengan arak yang dibuang.

  4. Di antara hikmah pengharaman arak secara berperingkat ialah kerana arak telah menjadi budaya masyarakat ketika itu, jika diharamkan serta merta mungkin ramai yang keluar dari Islam. Kaum Muslimin sedang dalam proses memperkukuhkan iman setelah aqidah mereka kukuh. Tanpa iman yang kukuh, pengharaman secara total akan menyebabkan masyarakat memberontak. Allah Maha Mengetahui sifat manusia dari satu zaman ke zaman yang lain. Allah juga mahu manusia berfikir.

  5. Soalan kedua yang ditanya oleh sahabat Nabi ﷺ ialah tentang infaq. Sebelum ini telah dinyatakan kepada siapa infaq perlu disalurkan, kini pertanyaannya adalah apa yang perlu diinfaqkan itu. Setelah soalan menghindar dosa, sahabat mahu tahu bagaimana mencari pahala pula. Allah menyebutkan yang diinfaqkan ialah apa yang lebih ada pada seseorang setelah cukup keperluannya. Allah tutup ayat ini dengan peringatan supaya manusia sentiasa berfikir tentang sesuatu.

Ayat 220

فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۗ وَيَسأَلونَكَ عَنِ اليَتٰمىٰ ۖ قُل إِصلاحٌ لَّهُم خَيرٌ ۖ وَإِن تُخالِطوهُم فَإِخوٰنُكُم ۚ وَاللَّهُ يَعلَمُ المُفسِدَ مِنَ المُصلِحِ ۚ وَلَو شاءَ اللَّهُ لَأَعنَتَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

  1. Dalam ayat sebelum ini, telah diterangkan tentang arak, judi dan infak. Kesemuanya, Allah minta kita berfikir tentang baik buruknya. Dalam ayat ini pula, Allah menyambung bahawa baik dan buruk itu perlu pertimbangan dunia dan akhirat sekali. Jangan hanya pertimbangkan dunia sahaja. Ayat ini pula berkisar tentang anak yatim. Para sahabat bukan sahaja bertanyakan tentang perkara buruk tetapi juga perkara baik seperti infak dan penjagaan anak yatim.

  2. Perkara yang baik perlu pertimbangan akal dan bagi perkara ibadah, ia perlu ada anjurannya di dalam al-Quran ataupun sunnah Nabi ﷺ. Kita tidak boleh menganggap sesuatu yang baik itu ibadah juga jika tiada suruhannya dalam agama. Allah menyebutkan bahawa membaiki kehidupan anak yatim adalah sesuatu yang amat baik. Anak yatim ialah kanak-kanak yang belum baligh dan telah kematian bapanya. Jika hanya kematian ibu, ia tidak dikira sebagai anak yatim.

  3. Nabi ﷺ bersabda: “Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi ﷺ mengisyaratkan dengan dua jari baginda ﷺ) di syurga”. (Riwayat Muslim No. 2983). Dua jari yang rapat itu menunjukkan rapatnya Nabi ﷺ dengan orang yang menjaga kebajikan anak yatim di syurga nanti. Para sahabat juga ingin tahu kerana risau akan ancaman terhadap orang yang memakan harta anak yatim seperti dalam Surah Al-Nisa ayat 6.

  4. Sebenarnya jika anak yatim itu mempunyai harta, bukanlah tidak boleh langsung guna hartanya. Dalam masyarakat, ada yang terlalu takut termakan harta anak yatim sehingga tidak berani nak berkongsi makan dengannya. Mereka perlu dianggap seperti sebahagian daripada kita juga. Allah maha mengetahui kadar yang sesuai, yang boleh digunakan sekiranya anak yatim itu berharta. Allah juga maha berkuasa untuk membalas perbuatan buruk sama ada di dunia atau di akhirat.

Ayat 221

وَلا تَنكِحُوا المُشرِكٰتِ حَتّىٰ يُؤمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌ مُّؤمِنَةٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكَةٍ وَلَو أَعجَبَتكُم ۗ وَلا تُنكِحُوا المُشرِكينَ حَتّىٰ يُؤمِنوا ۚ وَلَعَبدٌ مُّؤمِنٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكٍ وَلَو أَعجَبَكُم ۗ أُولٰئِكَ يَدعونَ إِلَى النّارِ ۖ وَاللَّهُ يَدعو إِلَى الجَنَّةِ وَالمَغفِرَةِ بِإِذنِهِ ۖ وَيُبَيِّنُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).

  1. Persoalan seterusnya dari siri persoalan para sahabat kepada Nabi ﷺ ialah tentang siapa yang boleh dikahwini. Asbabun nuzul ayat ini adalah tentang seorang sahabat yang telah masuk Islam dan berjumpa kekasih lamanya yang masih musyrik. Jumhur ulama menetapkan ahli kitab tidak termasuk dalam larangan ini kerana firman Allah: (Dan dihalalkan mengahwini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al-Kitab sebelum kamu.

  2. Walaupun perkahwinan dengan ahli kitab dihalalkan, bukan bermaksud ia digalakkan. Kita dilarang berkahwin dengan orang musyrik kerana bimbang terjerumus dalam kesyirikan dan ahli kitab juga melakukan kesyirikan dan mengubah agama asal mereka, cuma asal mereka bertauhid kepada Allah yang satu, sebahagian mereka juga beriman kepada nabi yang diutuskan. Sekiranya mereka masuk Islam untuk berkahwin, itu lain ceritanya. Perkahwinan dengan mereka menjadi halal.

  3. Mungkin ada yang mempertikaikan orang yang masuk Islam kerana perkahwinan ini. Sebenarnya, ini tidak wajar. Nabi ﷺ sendiri berkahwin dengan Safiyyah yang asalnya Yahudi. Ada juga kisah Usamah bin Zaid r.a. yang membunuh musuh yang mengucapkan syahadah ketika perang. Apabila Rasulullah ﷺ mengetahuinya, Usamah dimarahi. Cara apa pun seseorang itu masuk Islam, jangan kita persoalkan. Boleh jadi mereka lebih tinggi kedudukannya dari kita di akhirat nanti.

  4. Allah juga menyebutkan bahawa hamba yang beriman lebih baik kedudukannya daripada seseorang musyrik walaupun kita menyukainya. Tidak sama kedudukan orang beriman dengan yang kafir. Ada kisah seorang sahabat yang berlebihan memarahi hamba berkulit hitam yang beriman dan bertanya kepada Nabi ﷺ. Atas rasa bersalah beliau memerdekakan hamba itu dan kemudian mengahwininya. Walaupun bekas hamba, tetapi keimanannya talah mengangkat darjatnya semasa di dunia lagi.

  5. Selain itu, bagi para wali pula, tidak dibenarkan menikahkan wanita Islam dengan orang kafir dan juga ahli kitab. Dalam keluarga tetap suami adalah ketua, jadi mahu tak mahu seorang orang perempuan itu terpaksa mengikut kehendak suaminya. Seorang wanita Islam hanya berkahwin dengan lelaki Islam juga. Lebih mulia seorang hamba lelaki yang beriman daripada seorang yang merdeka tetapi kafir. Perkahwinan yang tidak menepati syariat hanya membawa ke neraka.

Tamat ruku' 27 dari 40 ruku' dalam Surah Al-Baqarah.

 

Khamis, Ogos 13, 2026

Review Buku Malam Pertama di Alam Barzakh

Uploaded Image

Assalamualaikum dan selamat tengah hari. Telah sampai satu buku bertajuk Malam Pertama di Alam Barzakh semalam. Buku ini di tulis oleh Dr Ariful Bahri iaitu seorang pendakwah yang terkenal kerana beliau telah diberikan ruang untuk mengajar di Masjid Nabawi. Jika seseorang berada di Madinah, usahakan untuk hadir ke kuliahnya berdekatan Pintu 19 setiap selepas Subuh dan selepas Maghrib. Rugi jika terlepas mendengar kuliahnya.

Aku mula dapat mendengar kuliah Dr Ariful secara bersemuka  pada 2024 ketika mengerjakan umrah. Sebelum-sebelum itu ada juga tonton video-video pendeknya. Setelah mengenali beliau aku mula mencari siapa lagi ustaz yang diberi kerusi untuk mengajar di Masjid Nabawi dan aku dapati yang pertama adalah Dr Abdullah Roy yang aku ikuti program belajar secara online melalui Halaqah Silsilah Ilmiah sehingga sekarang. Kemudian Dr Firanda juga ada diberi kerusi untuk mengajar di Masjid Nabawi. Boleh follow platform-platform media sosial mereka semua.

Baru-baru ini telah berlangsung satu acara bedah buku yang dihadiri sendiri Dr Ariful di Universiti Malaya. Teringin sangat nak hadir sebenarnya sebab yang pertama kerana rindu kuliahnya, semasa berhaji sempat berada di Madinah dalam 10 hari, sebolehnya akan ikuti kuliah Dr Ariful ni dua kali sehari. Tarikan kedua ialah kerana ia dilangsungkan di Auditorium Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, tempat aku pernah berkuliah satu masa dahulu. Apa pun selain menghadiri acara secara bersemuka, penganjur ada juga menyediakan video berbayar dan menjual buku Malam Pertama di Alam Barzakh secara atas talian. 

Panjang pula intro, bila nak review ni... Buku ini asalnya ditulis pada tahun 2025 dan dicetak untuk edaran Malaysia pada tahun ini (2026) melalui syarikat Akar Digital. Jumlah muka surat sebanyak 213 muka surat. Buku ini dimulakan dengan Pendahuluan dan diikuti 5 bab. Aku baru selesai membaca 2 bab dan masih ada 3 bab yang belum selesai. Jadi review ini mungkin ada sambungannya. 

Pendahuluan buku Malam Pertama ini dimulakan dengan ringkasan fasa-fasa kehidupan yang setiap manusia lalui. Apabila disebut tentang penciptaan manusia selalu fasa dimulakan dengan proses gabungan air mani pembentukan nuthfah, 'alaqah dan mudhgah. Sebenarnya awal dari itu tetap sahaja manusia itu dijadikan dari tanah. Seorang bapa dan seorang ibu juga makan dari makanan yang terbit dari tanah, dari dan binatang yang makan makanan yang tumbuh dari tanah. Setelah itu manusia akan hidup dan kemudian mati. Fasa inilah yang disebutkan sebagai Alam Barzakh, sama ada seseorang itu dikuburkan atau tidak, tetap sahaja fasa barzakh ini dilalui sehingga ke fasa seterusnya iaitu hari kebangkitan. 

Bab Pertama bertajuk Definisi Barzakh dan Keberadaannya. Dalam bab ini dihuraikan tentang hakikat dunia. Dunia hanyalah tempat persinggahan dan betapa kita perlu menjalani kehidupan dunia sebagai mana seorang musafir yang melalui satu tempat. Apa yang dilakukan sepanjang berada di dunia dan bagaimana orang alim, para nabi dan rasul melalui fasa dunia. Dunia adalah tempat untuk meraih redha Allah dan menyiapkan bekalan untuk ke fasa yang seterusnya. Bagi orang beriman, kematian ialah suatu yang menggembirakan kerana mengharapkan pertemuan dengan penciptanya iaitu Allah dan bagi orang yang ingkar pula, kematian adalah suatu yang ditakuti. Penulis mengupas hakikat barzakh yang merupakan fasa peralihan dari alam kehidupan dan alam akhirat. Semua manusia akan melaluinya. Bagaimana pun di dalam surah Nuh A.S. ayat 25, Allah menyebutkan kaum nabi Nuh A.S. yang ditenggelamkan terus dimasukkan ke neraka kerana mereka menolak kebenaran selama 950 tahun. Lama sangat bro, nak menerima kebenaran pun...     

Bab Kedua bertajuk Awal Perjalanan di Alam Barzakh. Bab ni bila dibaca dari satu helaian ke satu helaian akan buat bulu roma meremang. Penulis menceritakan perbezaan apa yang akan di hadapi oleh orang beriman dan apa pula yang di hadapi orang yang tidak beriman. Dikupas hadith panjang tentang apa yang berlaku di dalam kubur, bagaimana roh orang beriman dihantar ke langit dengan iringan malaikat, kubur yang diluaskan dan adanya peneman kerana amalanya ketika di dunia benar sahih sebagaimana yang Allah mahukan seseorang itu beramal. Begitu pula sebaliknya kepada orang yang tidak beriman. Kemudian penulis mengupas tentang permasalah roh dan jasad, bagaimana hubungannya dalam fasa-fasa sebelum lahir hingga ke hari akhirat. Seterusnya penulis mengupas tentang perbezaan alam dunia dan alam barzakh, perihal alam barzakh yang gelapnya mencengkam, peristiwa himpitan kubur, firnah kubur dan azab kubur.

Semua penceritaan ini lengkap dengan sumbernya dari Al-Quran dan hadits Nabi ﷺ. Setakat ini dahulu review buku ini. Dah nak Zohor... Ada lagi tiga bab akan direview kemudian dengan izin Allah juga. Terima kasih kepada yang berminat membaca sehingga habis.   

Isnin, Ogos 10, 2026

Jumpa-jumpa Rakan Haji Di Coffee Bean Gravitas

Assalamualaikum dan selamat petang. Catatan ringkas tentang aktiviti pada hari Sabtu yang lalu. Ini kali kedua aku buat jumpa-jumpa dengan sahabat-sahabat yang sama berhaji baru ni. Sebelum ini aku berjumpa dengan dua orang sahabat dan seorang mutawif kami semasa aku balik kampung ke Gombak. 

Kali ini aku merancang untuk kumpulkan beberapa pasangan yang tinggal berdekatan di Pulau Pinang. Sebenarnya aku rancang untuk buat perjumpaan ini pada hujung minggu sebelumnya tetapi disebabkan keadaan mata puan isteri yang masih baru operate jadi kami tangguhkan sampailah ke hari Sabtu baru ni.

Sebenarnya aku bukan tak boleh jumpa kawan-kawan yang lelaki ni, kalau dirancang senang sahaja nak jumpa. Aku rasa perlu juga untuk libatkan orang perempuan juga. Bagus juga untuk kita create circle baru yang melibatkan keluarga dan yang menjurus kepada akhirat juga. Sedikit sebanyak mengingatkan diri kita, ibadah haji itu tidak terus terhenti setelah selesai haji.

Kami berjumpa di Coffee Bean di Gravitas, kami semua tinggal berdekatan dan senanglah untuk jumpa. Aku ada juga jemput jemaah yang sedikit jauh tapi tidak dapat hadir, aku juga ada jemput seorang mutawif tetapi qadarullah dia tak dapat juga hadir walaupun awalnya seperti boleh hadir. Tak mengapa, mungkin ada kesempatan lain.

Walaupun kami dalam jemaah yang sama tetapi perjalanan haji kami tidaklah sama, ada yang sampai sebulan lebih awal dan pulang lebih awal. Ada juga yang tinggal di khemah yang berlainan semasa masyair haji. Apapun yang menyatukan seorang Muslim dengan Muslim yang lain itu bukanlah pengalaman yang berbeza tetapi persamaan yang ada dan rasa ingin berkongsi. 

Sebelum berpisah sempat juga aku pass baton kepada seorang tu supaya dia pula akan rancang pertemuan selanjutnya. Mungkin boleh tambah ahli lain lagi dan apa yang penting bagi setiap hubungan itu ialah supaya sentiasa mengharapkan keredhaan Allah atas ukhuwah yang dibina.  

Selasa, Julai 28, 2026

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 26/40 (Ayat 211-216)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 26/40 (Ayat 211-216)

Ruku' 26 dari Surah Al-Baqarah ini berkisar tentang: 1. Tingkat orang beriman lebih tinggi daripada orang kafir pada hari Kiamat, 2. Manusia adalah satu umat yang mempunyai satu agama, 3. Ujian adalah jalan ke Syurga, 4. Sedekah dan diwajibkan berperang (untuk tujuan yang benar).

Ayat 211
  

سَل بَني إِسرٰئيلَ كَم ءَاتَينَـٰهُم مِّن ءَايَةِۭ بَيِّنَةٍ ۗ وَمَن يُبَدِّل نِعمَةَ اللَّهِ مِن بَعدِ ما جاءَتهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

Bertanyalah kepada Bani Israil, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepadanya, maka (hendaklah dia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya.

  1. Allah mencontohkan Bani Israil sebagai pedoman buat kita, Bani Israil telah diberikan petunjuk, begitu juga kita. Mereka berbangga dengan bangsa mereka yang diutus banyak nabi dan kitab. Mereka mengaku sebagai ahli kitab, namun sebenarnya mereka memilih-milih apa yang ada di dalam kitab. Ada yang diamalkan dan ada yang dibiarkan. Yang tidak kena dengan nafsu, mereka akan tolak ke tepi. Jangan sampai kita mencontohi perangai buruk mereka ini.

  2. Allah suruh bertanya kepada Bani Israil yang ada di Madinah pada ketika itu tentang banyaknya bukti yang menunjukkan kebenaran agama yang telah dibawa oleh para nabi. Berapa banyak mukjizat yang telah Allah berikan kepada nabi di zaman mereka agar dapat memberi mereka keyakinan untuk beriman. Namun, mereka memilih apa yang mereka sukai dan mengganti yang tidak mereka sukai dari kitab mereka. Dalam masyarakat Islam sekarang pun ada yang berperangai begini.

  3. Telah banyak nikmat yang telah Allah kurniakan kepada mereka. Di kalangan mereka ada yang mengambil hukum dari ahli kitab mereka walaupun tidak bertepatan dengan wahyu. Mereka utamakan amalan pendeta-pendeta mereka berbanding amalan yang ditunjukkan para nabi. Dalam masyarakat kita pun sama, mengaku Al-Qur'an sebagai kitab, tetapi mengambil hukum agama dari kitab-kitab lain. Mengaku nabi ﷺ sebagai contoh, tetapi lebih mencontohi manusia lain dalam beramal.

Ayat 212
 

زُيِّنَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَيَسْخَرُونَ مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا ۘ وَالَّذِينَ اتَّقَوْا فَوْقَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ وَاللَّهُ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturan-Nya).

  1. Dunia ini diperhiaskan dengan indah sehingga ia menjadi idaman bagi orang kafir untuk menguasainya. Mereka ingin menguasai dunia ini semata-mata atas dorongan nafsu mereka. Setelah menguasai dunia dengan kesungguhan mereka, mereka menghina pula orang Islam yang tidak dapat menikmati habuan dunia. Mereka bebas melakukan kerosakan dari dalam kesyirikan dan tingkah laku mereka. Sebolehnya mereka mahukan orang Islam mengikuti jejak mereka tanpa batasan syariat.

  2. Allah mengabarkan dunia ini hanyalah tempat permainan untuk bermegah-megah. Hakikatnya, apa yang dimegahkan itu akan hancur juga. Nabi ﷺ telah membuat perbandingan nilai dunia berbanding akhirat seperti sisa air pada jari yang dicelupkan ke dalam air laut berbanding lautan yang luas. Nilai dunia cukup rendah, bahkan jika dibandingkan dengan sayap nyamuk, lebih bernilai sayap nyamuk. Bahkan dunia juga lebih rendah nilainya berbanding bangkai anak kambing.

  3. Orang Islam yang dihina di dunia lebih tinggi kedudukannya daripada orang kafir di hari akhirat nanti. Kita disuruh untuk mencari rezeki di dunia, tetapi jangan sampai semua itu menyebabkan kita mengabaikan tanggungjawab kita kepada Allah. Hal akhirat perlu dipertimbangkan terlebih dahulu berbanding hal dunia. Kita perlu bertaqwa iaitu dengan melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan barulah kita berkedudukan tinggi berbanding orang kafir.

Ayat 213

كانَ النّاسُ أُمَّةً وٰحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيّينَ مُبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ لِيَحكُمَ بَينَ النّاسِ فيمَا اختَلَفوا فيهِ ۚ وَمَا اختَلَفَ فيهِ إِلَّا الَّذينَ أوتوهُ مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ ٱلبَيِّنَـٰتُ بَغيًا بَينَهُم ۖ فَهَدَى اللَّهُ الَّذينَ ءَامَنُواْ لِمَا اختَلَفوا فيهِ مِنَ الحَقِّ بِإِذنِهِ ۗ وَاللَّهُ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, – mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya).

  1. Walaupun di dunia ini ada pelbagai-bagai bangsa, hakikatnya semua manusia adalah daripada umat yang satu. Kita semua dikurniakan akal untuk menjalankan kehidupan. Asal semua manusia adalah Nabi Adam dan Hawa. Asalnya semua keturunan mereka beriman kepada tuhan yang satu iaitu Allah. Dalam pada keturunan membiak, mula timbul perselisihan antara satu kelompok dengan kelompok yang lain. وٰحِدَةً juga bermaksud tauhid iaitu umat yang bertuhankan tuhan yang satu.

  2. Allah mengutuskan nabi bagi setiap kaum supaya manusia kembali kepada agama tauhid yang menyembah Allah. Allah berfirman dalam surah Fatir ayat 24: "Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan." Tujuan diutuskan rasul ialah memberi khabar gembira buat yang taat dan memberi ancaman kepada yang ingkar.

  3. Setelah diutuskan nabi untuk setiap kaum, Allah utuskan pula kitab kepada mereka. Inti semua kitab adalah mengajak manusia memilih jalan yang benar dengan mentauhidkan Allah. Kitab juga merupakan panduan untuk menyelesaikan perselisihan antara manusia. Setiap konflik di kalangan manusia ada penyelesaiannya di dalam kitab yang diutuskan. Bagi umat akhir zaman, ada keistimewaan tertentu iaitu Allah sendiri akan menjaga Al-Quran supaya terpelihara kandungannya.

  4. Allah memberi pimpinan hidayah bagi orang yang mahu beriman. Ada di antara manusia yang menerima hidayah ilmu, tetapi tidak menerima hidayah amal yang benar seperti yang diajarkan nabi. Dalam setiap hati manusia telah diterapkan kecondongan untuk mencari kebenaran dan kebenaran itu ada dalam wahyu yang diturunkan. Selain mencari kebenaran melalui wahyu yang diturunkan, kita juga diajar supaya berdoa kepada Allah agar memberi petunjuk ke jalan yang lurus.

Ayat 214

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

  1. Ayat ini diturunkan ketika Perang Khandaq atau dikenali juga sebagai Perang Ahzab. Khandaq merujuk kepada strategi peperangan dengan menggali parit, manakala Ahzab merujuk kepada banyaknya musuh daripada pelbagai kelompok bersekutu untuk menjatuhkan Islam di Madinah pada tahun kelima Hijrah. Allah mengingatkan kaum muslimin tentang ujian berat yang mereka hadapi. Kaum muslimin tidak boleh mengharapkan bantuan Allah dengan mudah sebelum mereka diuji.

  2. Walaupun ayat ini berkaitan dengan Perang Ahzab, ia merupakan peringatan buat kita. Mungkin hidup kita senang, tetapi sebenarnya kita perlu bimbang kerana orang beriman sepatutnya diuji. Yang beriman akan menghadapi ujian yang lebih tinggi lagi. Kita perlu selalu ingat bahawa kita belum lagi diuji. Rasulullah ﷺ bersabda: “Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya sedang kuat, maka ujiannya akan ditambah.” (Musnad Ahmad No. 1481).

  3. Penting untuk kita pelajari sejarah ujian-ujian yang menimpa para nabi terdahulu. Begitu juga apa yang menimpa Nabi Muhammad ﷺ, para sahabat dan kaum muslimin dalam menyebarkan Islam hingga hari ini. Ketika Perang Khandaq, kaum muslimin diuji dengan tiga perkara utama iaitu: 1. Kemiskinan dalam pada kaum muslimin dikepung, 2. Penyakit yang banyak menimpa orang Islam yang dikepung, dan 3. Goncangan emosi dan perasaan putus asa dari pertolongan Allah.

  4. Dalam situasi dikepung, ada yang tertanya-tanya tentang bilakah pertolongan Allah akan sampai. Dari satu sudut, kaum Muslimin seperti tidak sabar, tetapi persoalan ini timbul kerana ujian yang mereka hadapi ketika itu amat berat. Mereka telah kehabisan makanan, hinggakan Nabi ﷺ mengikat perutnya dengan batu dalam pada menahan kelaparan. Allah menjawab: pertolongan-Nya sudah dekat. Kita perlu sentiasa sabar dalam menghadapi ujian walau seberat mana pun ia.

Ayat 215

يَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ ۖ قُل ما أَنفَقتُم مِّن خَيرٍ فَلِلوٰلِدَينِ وَالأَقرَبينَ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰكِينِ وَابنِ السَّبيلِ ۗ وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

  1. Dalam surah Al-Baqarah ayat 195 telah diperintahkan infaq kepada orang Islam, dalam ayat ini, para sahabat bertanya tentang infaq itu. Apabila tidak jelas tentang sesuatu ibadah, kita boleh sahaja bertanya tentangnya kepada orang yang berilmu. Sahabat bertanyakan tentang apakan yang boleh diinfaqkan. Di dalam hadith ada disebutkan tentang ayat ini dan sahabat yang bertanya itu ialah Amru bin al-Jamuh R.A. Beliau merupakan seorang sahabat yang berharta.

  2. Apa yang boleh diinfaqkan ialah harta benda yang baik. Tidak diperintahkan untuk infaq sesuatu yang buruk. Sekiranya kita ingin berinfaq, bagus sekiranya kita tahu tujuan infaq itu juga, pastikan ianya untuk perkara yang baik sahaja. Selain itu, sahabat juga ingin tahu, ke mana infaq itu perlu disalurkan. Allah menyebutkan turutannya adalah: 1. Kedua ibu bapa, 2. Kaum kerabat yang susah, 3. Anak yatim, 4. Orang miskin, dan 5. Orang yang dalam perjalanan.

  3. Allah juga menyebutkan tentang apa sahaja kebaikan yang buat, Allah mengetahuinya. Infaq sebenarnya tidak terhad kepada harta benda sahaja. Boleh jadi perbuatan membantu, meluangkan masa bersama, menjaga dan membahagiakan lima golongan yang disebutkan juga dikira sebagai infaq, dan kesemuanya termasuk dalam pengetahuan Allah. Semua perkara baik yang kita lakukan akan dibalas oleh Allah, terdapat hadith tentang galakan infaq walaupun dengan separuh kurma.

Ayat 216

كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ وَهُوَ كُرهٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

  1. Ayat ini merupakan perintah jihad kepada umat Islam. Ia diturunkan di Madinah, di mana umat Islam sudah mula ada kekuatan berperang. Ketika di Mekah umat Islam belum diperintahkan jihad walaupun untuk mempertahankan diri hinggakan terpaksa berhijrah untuk menyelamatkan agama dan nyawa. Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa mati, sedangkan dia tidak pernah berjihad dan tidak mempunyai keinginan untuk jihad, maka dia mati dalam satu cabang kemunafikan.”

  2. Jihad menjadi wajib dengan 4 keadaan: 1. Ketika telah berada dalam peperangan ke atas Islam, 2. Setelah diwajibkan pemimpin Islam, 3. Apabila negara Islam diserang negara kafir, dan 4. Apabila seseorang itu diperlukan untuk berperang kerana kepakaran. Selain dan 4 keadaan ini, jihad menjadi fardhu kifayah. Orang yang berperang menyelamatkan umat Islam dari berdosa kerana tidak berperang. Jihad ini perlu dilakukan berdasarkan syariat bukan sendiri-sendiri.

  3. Jihad ini tetap diwajibkan walaupun orang tidak menyukainya. Jika dibandingkan hidup aman dengan perang, mesti orang akan pilih aman. Dalam situasi tertentu, aman itu bukan selamanya. Sekiranya tidak bertindak, musuh akan mengumpul kekuatan. Kuasa Rom di utara dan Parsi di Timur bila-bila masa sahaja boleh menyerang Mekah sekiranya umat Islam tidak menguasai Mekah. Tujuan utama jihad adalah menghilangkan kesyirikan yang ada di sekeliling Kaabah.

  4. Pertimbangan manusia selalu tersilap kerana "boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu." Di zaman ini manusia bukan hanya tersalah pertimbangan sendiri malah ada yang mengikuti pula pertimbangan akal orang kafir dalam menghancurkan umat Islam. Hakikat sebenarnya sesuatu perkara itu hanya Allah yang tahu. Penting untuk sorang Islam faham hikmah untuk tiap sesuatu.

Tamat tadabbur ruku' 26 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah.