Assalamualaikum, selamat bertemu lagi dalam catatan yang masih dalam siri catatan Umrah 2024. Catatan kali ini cuma nak kongsikan berkenaan amalan mewakafkan Al-Qur'an untuk pembaca Al-Qur'an di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Sebelum kita nak mewakafkan Al-Quran kita kena tahu beberapa perkara kerana kita mungkin 'tertipu' atau 'sedikit tertipu' jika kita tidak faham mengenainya.
Pertamanya Al-Quran yang berada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah standard. Al-Quran yang digunakan adalah dari satu kilang Al-Quran di Madinah. Jadi untuk mewakafkan Al-Quran kena pastikan kita beli Al-Quran yang mereka terima. Al-Qur'an lain akan dikeluarkan dari masjid dan aku tidak tahu ke mana ia akan diletakkan.
Al-Quran di kedua2 masjid akan dicop sebagai wakaf, jika tidak dicop berkemungkinan juga akan dikeluarkan dari masjid. Jadi di mana nak dapatkan Al-Quran yang diterima ini? Kena dapatkan di kedai buku agama. Biasa nampak orang menjual Al-Quran yang mirip sama tetapi dijual di perkarangan masjid sebenarnya cetakan ini tidak diterima kerana bukan standard. Kalau untuk peribadi tiada masalah cuma untuk wakaf kena dapatkan naskah mushaf Madinah yang diterima.
Kita boleh semak pada helaian pertama selepas kulit luar, ada seperti kalimah2 tertentu bila dilihat pada cahaya. Ada 3 jenis Al-Quran paling biasa dalam masjid iaitu kulit hijau resam ustmani saiz kecil, kulit biru tulisan lama (biasa orang Pakistan/ India guna) saiz kecil dan kulit biru resam ustmani saiz besar. Paling biasa orang guna ialah yang warna hijau saiz kecil tu, jadi kalau nak wakaf bagus ambil saiz ini. Harga senaskah adalah dalam SAR40-SAR45.
Kepada yang nak beli untuk dibawa balik atau untuk hadiah aku sarankan belilah yang original Mushaf Madinah ini kerana kualiti cetakannya sangat baik dan kertas yang digunakan pun nipis dan bagus.