Memaparkan catatan dengan label family. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label family. Papar semua catatan

Selasa, Julai 01, 2025

Sale Di IKEA Batu Kawan

Assalamualaikum dan selamat petang. Marilah kita merajinkan diri membuat catatan sedikit walaupun agak kekeringan idea untuk menulis. Risau juga bila kita komen-komen di blog orang nanti bila orang datang blog ini tengok catatan lama. Mesti orang tak mai dah blog ni haha. Susah juga nak konsinten berblog ni, dengan banyaknya platform-platform lain yang mungkin lebih menghiburkan tetapi blog juga ada masa-masa tertentu yang sedap untuk dilayan. Apatah lagi apa kita suka gaya tulis seseorang itu. Kadang-kadang dari segi konten itu tak berapa merujakan, tarikan yang lebih menarik kadang-kadang itu ialah gaya penulisan seseorang penulis itu. Kadang itu kagum dengan orang yang konsisten kemaskini blog dia tanpa gagal. Mungkin boleh kongsi sikit petuanya ya.

Ok berbalik kepada tajuk catatan. Dua minggu lepas kami ke IKEA Batu Kawan. Lama juga kami tak ke sini kerana mungkin tak ada apa sangat yang nak dibeli. Kebetulan pula ada sales dan sales ini masih berlanjutan sehingga hujung minggu ini. Kut-kut ada yang berhajat nak ke IKEA mungkin boleh adjust supaya dapat datang sewaktu sales ini. Apa yang aku suka dengan IKEA Batu Kawan ni ialah ia taklah secrowded cawangan Damansara atau Cheras. Mungkin sebab orang tak ramai sangat di kawasan ni dan agak keluar sedikit dari kawasan bandar besar. 

Pagi tu sebelum keluar puan isteri sempat memasak nasi lemak lauk sambal sotong. Dia kata makan kenyang-kenyang supaya kat IKEA nanti tak perlu makan heavy dah huhu. Lagi pun kat rumah ada banyak stok sotong habuan dari kawan yang balik dari mencandat sotong di Terengganu pada cuti hari raya haji yang lalu. Besar-besar sotongnya. Sebenarnya memang ada plan beberapa ketika sebelum ini untuk menggantikan rak di bilik anak yang dah reput. Kemudian ada satu almari di dapur pun dah agak reput tapi tak dibuang lagi. Cuma pindah ke tempat lain. Kami beli rak jenis Ivar System. Raknya jenis kayu dan open sahaja, untuk letak di dapur rasanya rak sebegini lebih praktikal berbanding almari sebab dari pengalaman bila letak suatu dalam almari makanya tak guna dah apa yang disimpan tu. Kalau di rak ni lebih nampak dan senang di capai. Ivar ni dia jenis perabot modular, bermakna part dia boleh tukar-tukar ikut jenis design yang kita nak. Menarik juga konsep ni, boleh gabung-gabungkan ikut keperluan kita, accessory pun banyak. 

Selain itu ada juga beli rak sangkut baju dan lain-lain benda-benda kecil. Standardlah benda-benda kecil ni banyak betul yang menarik perhatiannya. Benda yang tak guna pun kadang beli juga huhu. Satu masalahnya bila pergi IKEA ni dia akan ambil masa yang lama, sedar-sedar dah pukul 3 petang. Adoi. Balik rumah dah penat semacam lepas tu nak kena pasang pula barang-barang yang di beli tu. Dah lah tu penat ni. 

Selasa, Disember 31, 2024

Cuti Hujung Disember 2024

Assalamualaikum dan selamat pagi. Hari ini merupakan hari terakhir bagi tahun 2024, tepat jam 12 malam ini kita akan melangkah ke tahun 2025 pula. Banyak yang telah berlaku sepanjang 2024, semoga apa yang baik akan kita teruskan pada tahun 2025 dan apa yang buruk kita tinggalkan. Umur pun sudah semakin meningkat, apa lagi motivasi yang lebih baik untuk berubah selain meningkatnya umur bermakna semakin dekat kita dengan kematian.

Minggu lepas ni aku ambil cuti 4 hari ditambah dengan cuti Krismas bermakna sepanjang minggulah aku bercuti dari kerja. Perancangannya nak spend masa dengan ziarah emak di Gombak dua malam kemudian di Cyberjaya dua malam dan kemudian check-in Hotel Seri Pacific satu malam kerana puan isteri ada majlis makan malam UPSI Holdings.

Semasa di Gombak emak berhajat nak buat makan-makan bersama anak beranak. Semua adik beradik ada bersama keluarga kecuali yang bongsu kerana ada perancangan lain di Melaka. Ditambah pula dengan Abang Murad dan anaknya. Abang Murad yang juga pernah tinggal dengan kami dulu di Gombak dan Kuantan. Kami makan tengah hari di Taj Hadramawt di Taman Melati. Sedap dapat makan nasi arab ala Yamen.  

Keesokan harinya kami bersarapan di NZ Curry House bersama Acu dan Kak Misah yang tinggal berdekatan. Entah macam mana boleh terfikir untuk ziarah Pak Chek, Mak Long dan Pak Long di Juasseh, Negeri Sembilan. Emak bersetuju bila aku ajak ziarah dengan syarat kena bermalam di Cyberjaya supaya lebih dekat nak ke Juasseh esoknya. Bermalam lah emak di Cyberjaya untuk kali pertama. Bilik ada satu sahaja jadi yang lain-lain tidur di ruang tamu.

Pagi esoknya selepas bersarapan kami pun bertolak ke Juasseh dari Cyberjaya untuk ziarah Pak Chek, Mak Long dan Pak Long. Dalam perjalanan kami singgah beli lauk dan buah untuk orang di sana. Dapatlah emak melepas rindu kepada kakak dan adik dia yang semakin uzur. Petang selepas solat Jumaat dan makan tengah hari kami pun bertolak pulang ke Gombak menghantar emak semula manakala aku dan isteri ke Cyberjaya.

Hari Sabtu itu pula ada jemputan kenduri kawan sekolah isteri di Puchong. Lama tak makan lauk kenduri maka aku makan agak banyak juga, lauk pun sedap. Selepas itu kami check-in Hotel Seri Pacific kerana memenuhi jemputan majlis makan malam UPSI Holdings. Sedang aku baring-baring tiba-tiba ada makluman yang Pak Chek dah meninggal dunia dalam tidur. Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un, allahummaghfirlahu warhamhu waafihi wafuanhu. Rezeki kami datang berziarah semalamnya. Dapat berjumpa kali akhir. Aku dan isteri tidak ke pengkebumian kerana masih baru ziarah dan ada urusan lain. Aku pun dan agak penat ke sana ke sini dan esok paginya nak balik ke Penang.

Panjang ceritanya dalam permusafiran kali ini. itu tak cerita lagi dapat anak buah sepupu dan cucu saudara lagi dalam seminggu ni. Padat sungguh dengan peristiwa. Semalam (Isnin) masuk kerja dengan penat yang masih belum hilang lagi. 

Isnin, Februari 19, 2024

Membeli Tong Sampah Di IKEA Batu Kawan

Assalamualaikum dan selamat pagi. Ambil kesempatan sedikit pagi ni sebelum masuk kerja untuk buat catatan berkenaan aktiviti hujung minggu baru ni. Alkisah telah berlaku kejadian tong sampah dapur rosak. Tong sampah kami sebelum ini jenis plastik yang boleh dipijak untuk membukanya. Bila dah lama digunakan lama2 dah rosak sampai dah tak boleh nak buka penutupnya bila dipijak. Mulanya dah cari tong untuk menggantikannya di kedai yang pernah beli tong sampah seperti itu tapi bila tengok2 dah tiada jenis yang dikehendaki itu. Apalahkan pasal tong sampah pun nak update dalam blog.

Hari Sabtu baru ni selepas mengambil puan isteri di airport dah bagi tau nak ajak dia dan Eryna ke IKEA. Kadang2 idea ni muncul tiba2. Antara alasannya Eryna sejak cuti sekolah tak ke mana2. Jeles katanya tengok kawan2 dia pergi bercuti ke sana sini. Keduanya pasal tong sampah itulah. Kan kat IKEA ada jual, huhu memanglah ada jual tetapi harganya 5 kali lipat. Tapi kualitinya mesti berbezakan. Yang di IKEA ada yang di buat dari besi. Aku pun dan usha2 dahulu sebelum pergi tu. Model yang menjadi pilihan ialah MJOSA Harap tong sampah baru ni dapatlah berkhidmat dengan lebih lamakan.

Selain dari itu beli juga satu bench rak kasut. Lama juga nak beli ni untuk ganti rak kasut lama yang dah mereput. Rak yang dibeli ini ada dua tingkat dan kalau campur yang di lantai jadi 3 tingkatlah. Model yang dipilih ialah TJUSIG. Ada dua saiz dan aku pilih yang panjang. Selain jadi tempat letak kasut boleh juga duduk2 di atasnya. Item ketiga yang dibeli ialah kerusi SMALLEN untuk Eryna guna di meja belajarnya. Kerusi yang dipakai sekarang dah ada problem katanya. Bila tengok ok je cuma kerusi lipatlah. Yang baru beli ni boleh pusing2. Selesalah sikit kut. 

Selain itu ada lagi tambahan2 item2 kecil lain. Standardlah tu mesti nak capai sana sini item2 yang menarik. Kami juga makan tengan hari di restoren IKEA ni. Aku perasan walaupun cuti sekarang orang dah tak berapa ramai sangat. Mungkin sebab dah banyak tempat2 lain lebih menarik dan IKEA ni produk dia tak banyak pembaharuan. Tak tahulah yang di cawangan lain. Untuk makan kami ambil set Combo Keluarga. Jenuh juga nak menghabiskannya. Bila yang lain dah surrender awal, bapaklah yang kena habiskan. 

Korang beli apa je kat IKEA? 

Sabtu, Oktober 21, 2023

Hari Jaya Waris SMK Pauh Jaya

Assalamualaikum semua, selamat berhujung minggu bersama keluarga. Apa perancangan hangpa hujung minggu ini? Pagi ni nak update sikit berkenaan Hari Jaya Waris SMK Pauh Jaya semalam. Mungkin ada yang tertanya2 apa Hari Jaya Waris tu? Ia adalah hari di mana ibu/ bapa atau penjaga ke sekolah untuk bertemu guru kelas untuk membincangkan keputusan peperiksaan. Kali ini adalah untuk peperiksaan pertengahan tahun. Mungkin hujung tahun nanti ada satu kali lagi sesi ini. 

Ahad, Oktober 08, 2023

Apa Yang Menarik Di Ho Chi Minh City, Vietnam?

Assalamualaikum dan selamat malam semua, ketika entry ini ditulis jam menunjukkan jam 9.50 malam. Kugagahkan juga untuk menulis sedikit catatan berkenaan trip pendek ke Ho Chi Minh City, Vietnam 2 minggu lepas. Ada aku blogkan sebelum ini kisah sebelumnya. Posting ini aku nak sampaikan dengan cara lain sedikit berbanding trip2 yang pernah aku sampai sebab sejujurnya tak banyak tempat yang aku lawati semasa di Ho Chi Minh City (HCMC). Trip ini sekadar nak mengukuhkan ikatan keluarga atau orang sekarang suka sebut bonding. Satu perkara lagi wife kurang sihat sewaktu di sana dan cuaca agak panas jadi memang tiada mood nak join tour. Harga untuk join tour juga boleh tahan mahalnya. 

Posting ini nak highlightkan apa yang menarik di HCMC berdasarkan pengamatan selama 4 hari 3 malam di sana. Ikuti kupasan satu persatu di bawah:   

Tinggal di Jalan Malaysia

Kepada yang nak ke sana dicadangkan untuk tinggal di Jalan Malaysia berdekatan Ben Thanh Market. Sebenarnya jalan ni bukanlah namanya Jalan Malaysia, cuma gelaran yang di beri kerana kebiasaan orang Malaysia akan tinggal di sini kerana ada beberapa kedai Melayu di sana yang menyediakan menu seperti di Malaysia. Yang pentingnya halal kerana sukar untuk mencari makanan halal di Vietnam ini.

Boleh menggunakan mata wang Ringgit Malaysia

Ada kedai2 yang menerima mata wang Ringgit Malaysia di sini terutamanya di Jalan Malaysia dan di Ben Thanh Market. Jadi kalau dah habis duit Dong pun masih boleh shopping menggunakan duit Malaysia. 

Jutawan Segera

Kalau tukar duit Vietnam automatik akan jadi jutawan segera. RM100 bersamaan dengan 500,000 Dong Vietnam. Kalau tukar RM1000 dan dapat 5juta Dong. Harga barangan di sana lebih kurang sahaja dengan harga barangan di Malaysia cumanya makanan halal agak mahal, iyalah sebab tak banyak dan susah nak dapatkan. Jadi kena prepare untuk seorang makan makanan berat dalam RM20 kat sana.

Makanan halal yang banyak di Jalan Malaysia

Terdapat lebih kurang 5 kedai makan yang menyajikan makanan ala Melayu seperti di Malaysia. Ok masakannya dan cepat juga siap. Bolehlah tukar2 kedai untuk ubah selera. Kalau lama di sana mungkin buntu juga rasanya. 

Terdapat kominiti Melayu Champa yang boleh berbahasa Melayu

Tedapat komuniti Melayu Champa di sana yang boleh berbahasa Melayu, bolehlah sembang2 dalam bahasa Melayu dengan orang tempatan di sana. Mereka peramah dan boleh dipercayai. 

Terdapat masjid di beberapa tempat di HCMC

Ada beberapa masjid di HCMC, aku sempat singgah ke satu masjid iaitu Masjid Al-Muslimin. Masjid ini dibina oleh orang Pakistan/ India yang sampai ke sini. Mungkin ada juga masjid orang Melayu tempatan tetapi aku tak berkesempatan untuk singgah kerana bilangan hari yang sedikit dan memerlukan kenderaan.

Shopping barangan fake yang banyak pilihan

Terdapat banyak pilihan barangan tiruan, aku kurang berminat dengan barangan tiruan ini, cuma kalau nak mencari beg memang banyak dan rasanya ada yang tidak sampai ke Malaysia. 

Kopi

Vietnam terkenal juga dengan kopinya. Ada ladang kopi yang besar di Vietnam dan sedap juga kopinya. Di Pasar Ben Thanh ada kedai2 yang menjual kopi yang di kisar dari biji kopi, kita boleh pilih beberapa jenih kopi dan kita boleh campur2 kalau mahu. harganya juga tidaklah mahal.

Tempah baju sehari siap

Ini antara sebab utama kami ke sana. Puan isteri perlu ada suit lengkap dan di HCMC kita boleh tempah suit lengkap dan boleh siap dalam masa sehari atau dua hari. Aku sempat juga menempah sehelai seluar. Cantik juga buatannya dan kita boleh request macam mana yang kita mahu.  

Boleh menggunakan aplikasi Grab untuk ke mana-mana

Untuk ke mana2 kita boleh menggunakan applikasi Grab sedia ada. Dari Airport sampai ke hotel baru dalam RM20, jadi tak risaulah untuk kena tipu dengan teksi atau charge yang tinggi. Dapat pemandu yang tak berbahasa inggeris pun tak mangapa kerana apa yang ada diapps telah memadai. Kalau link debit card ke credit card ke dia akan charge terus jadi tak perlu bayar cash.

Gedung Uniqlo yang besar

Kami ke 2 pasaraya besar di sana iaitu Saigon Centre dan Vincom Square. Banyak butik2 brand international yang susah nak jumpa di Malaysia. Dan Uniqlo di sana sangat besar, ada yang sampai bertingkat2. Pilihannya jauh lebih banyak berbanding apa yang biasa ada di Malaysia. Banyak juga offer2 yang menarik. 

Persepsi buruk terhadap komunis/ sosialis

Vietnam merupakan sebuah negara bekas komunis yang berevolusi menjadi negara sosialis. Biasanya kita yang mengamalkan demokrasi akan dimomokkan dengan teruknya kehidupan di negara yang tidak mengamalkan demokrasi seperti tiada kemodenan, tiada kebebasan dan kehidupan yang susah. Hakikatnya tidak banyak beza pun jika dibandingkan HCMC dengan Kuala Lumpur. Kalau kita pandang sedikit kepada sejarah, banyaknya tamadun manusia yang hebat2, yang kekal beratus2 tahun bukanlah dibina atas demokrasi pun.   

Selasa, November 16, 2021

Teluk Cempedak Berwajah Baharu

Assalamualaikum. Ada satu lagi posting tertinggal dari trip ke #Kuantan baru ni. Teluk Cempedak yang sangat signifikan dengan Kuantan. Kali ni tak mengimbau apa2 pun cuma nak lihat perubahan yang telah berlaku. 

Tempat jauh lagi dikenang inikan pula tempat ponteng sekolah dulu2 😝

 










 

Selasa, Oktober 12, 2021

Ada Bangkai Ular Sawa Di Pantai Bersih, Butterworth

Hujung minggu baru ni sajalah ajak wife dan anak berjalan waktu petang, masa tu dah pukul 6. Gagah juga nak keluar berjalan2, wife dan Eryna ikut sahaja walaupun tak tahu ke mana mereka akan dibawa. Aku terus menuju ke Pantai Bersih di Butterworth. Adalah jumpa roadblock polis mungkin bertujuan untuk check penunggang motor sebab tempat ni memang selalu jadi port mat2 motor. Lebih lagi bila pengumuman kebenaran rentas negeri telah dibuat.

Sampai di sana terus cari parking dan terus menuju ke arah batu2 pemecah ombak di tepi pantai. Terus lah ingat nak duduk2 pada satu spot tu tapi ada bau busuk semacam. Mula2 ingatkan bau ikan atau memerang laut ke, sekali wife nampak bangkai ular sawa yang agak besar juga. Sebahagiannya dah mereput. Ooh rupa2nya bau bangkai ular sawa. Terus kami beredar dari situ dan mencari spot lain.

Sempatlah duduk2 sebentar sambil mengambil2 gambar di situ. Anak rasa gayat pula dengan batu2 ni, sebelum2 ni macam takde masalah pun. Mungkin sebab terkejut pasal bangkai ulat tadi, rasa takut tu muncul. Lain kali kalau nak datang kena datang awal lagi dan dapatkan parking yang menarik supaya dapat ke pantai yang lebih menarik. Harap2nya tidaklah akan jumpa lagi bangkai ular ni, betul2 potong keseronokan yang dicari. 

Ikuti gambar2 di bawah dan jangan lupa meninggalkan jejak di ruangan komen.









 Sekian.

 

Selasa, November 03, 2015

Tanjung Bungah, Pulau Pinang

Lama tak meninjau-ninjau pantai
Peace yo
Dulu rasanya takde lagi bangunan ni
Konon-konon tengah tahan bangunan
Apahal pulak tu?

Peace yo!

Jumaat, November 08, 2013

Batu Ferringhi & Masjid Terapung Tanjung Bungah

Mengambil kesempatan sempena cuti Awal Muharam kami ke Batu Ferringhi untuk mandi-manda dan bersantai di tepi pantai.

















Sempat juga singgah Masjid Terapung Tanjung Bungah. Kalau tak silap mula-mula sampai masjid ini sebelum ini pun masa Maal Hijrah.





Cc: +mel a

Selasa, September 18, 2012

Sekitar Majlis Perkahwinan adik ipar Ahmad Aidil van Ziden di Senggarang, Johor

Hujung minggu lepas aku dan keluarga ke Johor, jarang-jarang sebenarnya menjejak kaki ke Tanah Johor ni. Ada majlis perkahwinan adik ipar yang kedua akhir di Senggarang. Kami bergerak pada petang Jumaat dan tidur di Klang, rumah kakak ipar. Keesokan paginya kami terus ke Parit Raja dan berehat di homestay yang disediakan. Di sebelah malamnya berlangsung majlis akad nikah. Ada juga hantaran-hantaran yang dibetulkan last minute, bila dah ramai banyaklah idea-idea baru mencantikkan hantaran. Ikuti gambar-gambar di bawah.


Majlis akad nikah di sebelah malam

Tok Kadi sedang membuka laptop besarnya



Dengan jelas dan tertib tok kadi memberi taklimat


Lain tempat lain caranya


Pengantin berdebar-debar


Pengantin sedang di nikahkan


Kesian pengantin tergagap-gagap bila membaca jawi


Banyak prosidur di Johor ni, kalau Pahang rasanya simple sahaja


Ikrar pada wali pengantin perempuan


Lega mereka, baru dapat berdiri


Aku, @melamyra dan @erynazu di pelaminan

Majlis selesai dekat pukul 10, selepas makan malam di rumah pengantin kami pun pulang ke homestay, sampai terus cari katil dan zzz kepenatan.

Majlis Perkahwinan keesokan harinya 


Pengantin lelaki dan keluarga berarak menuju rumah pengantin perempuan


Pengapit pula yang seronok!


Lajunya berjalan


Penat pengapit mengipas kedua mempelai


Potong kek selepas masjis makan beradab

Selesai majlis dan makan kami pun pulang ke Klang, seronok bila konvoi beramai-ramai walaupun penat. Tidur semalaman di Klang kemudian keesokan harinya balik ke Penang. Malamnya sempat juga check email PPG USM yang bertimbun-timbun. 

7 PM masih di ofis.