Memaparkan catatan dengan label kursus. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kursus. Papar semua catatan

Khamis, Disember 04, 2025

Menghadiri Latihan Aurora Endpoint di Dash Box Hotel Cyberjaya

Assalamualaikum dan selamat petang. Kali ni bukan catatan baiki-baiki atau DIY. Catatan kali ini adalah catatan santai-santai sahaja berkenaan satu latihan yang aku kena hadiri di Cyberjaya. Dari awal lagi boss dah cadangkan nama aku untuk hadir, dan aku pun berkira-kiralah macam mana nak pergi tu. Ada isu juga bila dapat email jemputan tetapi dalam senarai peserta tak ada pula nama, nasib aku contact urusetia untuk kepastian. Susah juga bila dapat maklumat last minute tetapi kita ni dari jauh, nak kena arrange transport dan sebagainya. Juga sebelum itu perlu kebenaran untuk bertugas di luar jabatan. Arrange punya arrange aku buat keputusan untuk naik bas huhu. Rasa malas pula nak bawa kereta tapi akhirnya menyesal pula kerana pada hari nak bertolak tu bas tak muncul. Haru betul bila dah 1 jam lewat mula aku cari contact bas. Bila call tak berangkat, wasap juga tak berjawab, last option terpaksa guna channel Redbus kerana aku beli tiket melalui Redbus. Mereka kata mereka sedang investigate, tiba-tiba muncul seorang perempuan berbangsa Cina tanya aku nak ke mana, aku cakaplah aku nak ke Putrajaya Sentral. Dia kata ada bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sahaja, aku pun ok sahaja sebab aku tengah terdesak. Dah lah dengan anak perempuan (Eryna) ikut sekali. Dua jam jugalah baru dapat naik bas berbanding jadual asal. Back story sebenarnya syarikat bas yang tak muncul tu yang inform perempuan Cina ni, suruh bantulah, sebenarnya aku terpaksa bayar tiket lain, dia kata Redbus yang akan refund semula. 

Perjalanan smooth sampai ke TBS, sampai-sampai terus aku ajak Eryna makan di tingkat 4. Selesai makan kami terus ambil Grab menuju Putrajaya Sentral. Wife ada tinggalan kereta di situ kerana dia outstation ke Terengganu pula hari tu. Sampai rumah terus rasa nak tidur sahaja sebab penat juga dan esoknya nak berbengkel latihan pula.

Esok paginya bermulalah sesi latihan selama dua hari di Dash Box Hotel Cyberjaya. Menarik tempat ni kalau ada anak kecil, kawasannya ada bilik-bilik dalam rumah berbentuk separuh bujur. Ada juga disediakan penginapan cabin. Di tengah kawasan ini ada kolam yang besar. Itulah tarikan utama kalau ada anak kecil. Dalam bengkel latihan itu ada juga jumpa kawan-kawan yang kenal, ada juga jumpa orang baru. Seronok juga kerana kami semua dari skip perkhidmatan teknologi maklumat, cuma tempat bertugas lain-lain. Apa pun kebanyakannya isunya sama sahaja dalam bidang IT ni. Terlalu banyak inisiatif baru menyebabkan beban kerja sentiasa bertambah. Trainer dari Australia pula, memang susah nak tangkap apa yang cuba disampaikan ditambah pula dengan sound system yang bergema dan kadang-kadang hujan juga. 

Hari Khamis malam Jumaat tu kami balik semula ke Penang dengan bas pada pukul 11 malam. Mulanya plan nak balik hari Jumaat tapi sebab akan skip Solat Jumaat jadi aku beli tiket malam itu terus. Masuk bas terus tidur, sedar-sedar dah sampai Penang Sentral. Sampai rumah ngam waktu Subuh. 

Serik pula rasa nak naik bas lain kali, kalau naik kereta memang selesa cuma penat drive. Kos pun tinggi juga. Apa pun Redbus dah refund semula, sepatutnya kena bagi lebihlah kan sebab bas tak muncul. Notification apa pun tak dapat.   

Selasa, Julai 02, 2024

Kursus Media Siri 3: Teknik Fotografi Profesional Dan Reka Grafik Bahan Promosi Kesihatan

Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Seperti sudah agak berhabuk jugalah blog ini kerana catatan terakhir adalah pada 23 Jun bermakna seminggu lebih jugalah tiada catatan baharu, pagi ini nak buat catatan sedikit tentang kursus yang telah disertai pada minggu lepas. Sebenarnya untuk tahun ini jumlah hari berkursus baru sehari, jadi disebabkan itu boss telah mengarahkan untuk sertai kursus dua hari ini. Jadi dapatlah 3 hari kursus. Dalam perkhidmatan kerajaan, setiap anggota perlu ada minimum 7 hari berkursus dalam setahun dan perkara ini dipantau sebagai pencapaian individu dan jabatan secara keseluruhannya.

Kursus ini dijalankan di National Productivity Corporation (MPC) di Kepala Batas. Ini kali pertama aku ke sini dan setibanya di tempat kursus aku tertanya-tanya apa fungsi MPC? Nampak seperti sebuah tempat berkursus yang agak lengkap. Suasananya juga agak kondusif. 

Setelah sarapan pagi di kafeteria kelas pun bermula, baru aku tahu yang pengajar bagi kursus fotografi ini ada seorang jurugambar sukan profesional. Beliau selalu ditugaskan untuk acara-acara peringkat antarabangsa termasuk Sukan Asia di China pada tahun 2023. Banyaklah dikongsikan pengalamannya semasa di kejohanan itu. Aku yang sukakan fotografi agak teruja juga dengan perkongsian pengalaman dan hasil gambar yang berjaya diambil pada ketika itu.   

Dari segi teori banyak perkara yang perlu dipertimbangkan untuk mengambil gambar, apa pun praktikal yang lebih penting dan skill akan dibentuk dari pengalaman. Selain itu seorang jurugambar juga perlu editing skill yang tinggi sebelum gambar digunakan untuk tontonan. Selain itu dalam kursus ini juga diajar kaedah fotografi menggunakan mobile phone. Hasil gambar dari mobile phone yang baru sekarang mampu mengalahkan DSLR dalam aspek tertentu. Sampai aku rasa macam dah sampai masa untuk aku upgrade iPhone XR yang aku guna sekarang.

Dalam pada berkursus itu kami diberi tugasan-tugasan luar untuk mengambil gambar, gambar yang dipilih akan dibentangkan untuk dikomen oleh pengajar dan urusetia. Bagus juga pengalaman begini. Camera roll pun agak banyak dengan gambar-gambar dan aku kongsikan sebahagiannya dalam catatan ini. 

Ahad, Jun 22, 2014